GENDANG perang pilihan raya di enam negeri mula kedengaran. Justeru, pengundi sudah perlu dididik cara-cara mengenali calon bebas rasuah.
Menjadi ‘adat’ kepada ahli politik di serata dunia yang secara tiba-tiba menjadi kaya semasa mereka berkuasa. Syak dan kebimbangan mengenai kemungkinan penglibatan mereka dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa pasti ada. Walaupun tidak secara automatik menunjukkan rasuah, namun peningkatan kekayaan ketara boleh menjadi petunjuk jelas potensi penglibatan mereka dengan jenayah ini.
Penyelidikan Malaysian Corruption Barometer bagi 2014 dengan jelas menunjukkan parti politik adalah institusi mempunyai rasuah paling tinggi. Inilah juga yang sering dilihat oleh seluruh rakyat.
Rasuah melibatkan penyalahgunaan kuasa untuk keuntungan peribadi boleh memberi kesan merugikan terhadap pembangunan dan kesejahteraan negara. Ahli politik yang mengumpulkan kekayaan semasa berkhidmat pastinya telah menyalahgunakan kuasa mereka dan memanipulasi sumber kerajaan untuk keuntungan kewangan peribadi.
Mereka boleh terlibat dalam nepotisme dan kronisme seperti mengkayakan individu tertentu sama ada rakan atau ahli keluarga dengan memberikan kontrak, projek atau faedah berkaitan.
Sesetengah ahli politik juga mengeksploitasi kedudukan mereka untuk terlibat dalam aktiviti perniagaan haram, memanfaatkan maklumat dalaman atau perlakuan curang bagi mengumpulkan kekayaan. Mereka berpotensi menggunakan hubungan politik untuk mendapatkan kontrak yang menguntungkan atau terlibat dalam amalan perniagaan rasuah.
Peningkatan kekayaan secara tiba-tiba boleh menjadi petunjuk pencucian wang di mana dana diperoleh secara haram diubah sebagai pendapatan atau pelaburan sah. Ahli politik boleh menggunakan skim kewangan yang kompleks atau akaun di luar negara untuk menyembunyikan asal-usul dana tersebut dan menggabungkannya ke dalam sistem kewangan sah.
Kemewahan ahli politik yang berlaku secara tiba-tiba secara tidak masuk akal pasti menyoroti kepentingan ketelusan dan tanggungjawab dalam jawatan awam. Jika terdapat mekanisme pemantauan lemah, pengisytiharan kewangan tidak memadai atau pemeriksaan terhadap harta ahli politik yang terhad, menjadi lebih mudah untuk rasuah dan penyalahgunaan kuasa tidak dikesan. Adalah penting untuk pihak berkuasa terutama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat sebarang kecurigaan rasuah atau penyalahgunaan kuasa apabila ahli politik mengalami peningkatan kekayaan yang ketara semasa berkhidmat.
Penyiasatan kes rasuah memang tiada tarikh luput. Walaupun ahli politik ini telah bersara puluhan tahun, SPRM tetap perlu laksanakan siasatan apabila terdapat aduan atau bukti penting melibatkan mereka pada ketika berkuasa tiba-tiba timbul kembali.
Kehidupan mereka yang berlebihan dan melampaui batasan pendapatan juga adalah petunjuk penting. Penggunaan sistem money trail pasti boleh membawa mereka ke muka pengadilan bersama bukti nyata.
Mengenal pasti dan menangani ahli politik terlibat rasuah merupakan tugas kompleks yang memerlukan kerjasama pelbagai pihak di peringkat dalam negara dan antarabangsa. Masyarakat antarabangsa menemui beberapa cara untuk mengenal pasti dan memerangi ahli politik yang mengamalkan rasuah.
PELAPOR
Perjanjian antirasuah antarabangsa ditandatangani kerajaan bertujuan memerangi rasuah seperti Perjanjian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Rasuah (UNCAC) atau Perjanjian Antirasuah Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) adalah alat amat penting. Perjanjian ini menyediakan rangka kerjasama pelbagai negara dalam mencegah, menyiasat dan memfailkan pendakwaan terhadap rasuah melibatkan ahli politik.
Perjanjian ini juga mengukuhkan mekanisme ketelusan dan tanggungjawab di peringkat antarabangsa untuk mengenal pasti dan menangani ahli politik yang mengamalkan rasuah. Mekanisme ini merangkumi pemantauan dan pelaporan tahap rasuah di negara berbeza, melakukan penilaian dan menggalakkan inisiatif antirasuah menerusi penilaian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau badan bebas yang relevan.
Menggalakkan kerjasama antarabangsa dalam ketelusan kewangan dan pemulangan harta adalah penting dalam memerangi rasuah. Pelbagai negara boleh bekerjasama untuk mengesan dan mendapatkan semula harta yang diperoleh melalui amalan rasuah oleh ahli politik. Inisiatif seperti Inisiatif Pemulihan Aset Dicuri (StAR) dan Pasukan Kewangan Tindakan (FATF) menyediakan rangka kerja untuk kerjasama antarabangsa dalam perkara ini.
Perlindungan kepada pelapor (whistleblower) adalah standard antarabangsa untuk melindungi pemberi maklumat yang membantu mendedahkan ahli politik terlibat rasuah. Dengan memastikan perlindungan undang-undang bagi individu yang melaporkan rasuah, lebih ramai orang mungkin muncul dengan maklumat tentang amalan rasuah melibatkan ahli politik.
Sekatan dan larangan perjalanan oleh badan penyiasatan antarabangsa dan kerajaan juga penting. Langkah ini pasti akan membataskan kemampuan mereka untuk mengakses sistem kewangan antarabangsa dan berjalan dengan bebas serta menghantar mesej yang kuat bahawa rasuah tidak akan ditoleransi.
Mekanisme semakan negara sahabat menjadi satu cara berkesan untuk menilai dan memantau usaha antirasuah. Melalui mekanisme ini, negara sahabat boleh menilai kemajuan masing-masing dalam memerangi rasuah termasuk mempertanggungjawabkan ahli politik atas tindakan mereka. Perjanjian bantuan dan kerjasama undang-undang antara negara boleh memudahkan perkongsian maklumat, bukti dan kepakaran yang membawa kepada pendakwaan serta pencegahan berjaya.
Ramai rakyat yang sedang susah sebaliknya ahli politik kelihatan hidup dengan cukup mewah dan berlebih-lebihan. Selaku pembuat undang-undang, ahli politik diharapkan mematuhi undang-undang ini dan menjadi contoh teladan terbaik.
Bagi mendapatkan sokongan dan kepercayaan berterusan rakyat, SPRM mesti bertindak dengan berani, cepat bersama komitmen tinggi untuk menyiasat sebarang aduan i secara profesional tanpa sebarang rasa fear or favour.
Tiada siapa pun yang boleh dilindungi atau terselamat daripada perundangan negara yang tercinta ini. Rakyat akan bersama mendukung segala usaha SPRM. – UTUSAN
PENULIS ialah Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW).










