PADA Jumaat lalu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, mengumumkan dalam satu kenyataan akhbar bahawa pasukan petugas pelaksanaan dwirangkaian 5G berjaya mencapai persetujuan berkaitan penyertaan ekuiti dalam Digital Nasional Berhad (DNB) termasuk perjanjian akses 5G.
CelcomDigi, Maxis, Telekom Malaysia, U-Mobile dan YTL Communications akan memuktamadkan proses pemegangan saham dalam DNB. Seterusnya menyokong pembangunan rangkaian 5G oleh DNB sehingga mencapai 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk menjelang penghujung 2023 sebelum beralih kepada model dwirangkaian seawal Januari 2024.
Menurut Fahmi, sepertimana komitmen diberikan sebelum ini, Maxis telah memulakan proses untuk menandatangani perjanjian itu bersama DNB selepas beberapa isu berkaitan perkara tersebut dimuktamadkan pada 11 Julai lalu. Pelanggan Maxis diumumkan akan mula menikmati perkhidmatan 5G setelah mendapat kelulusan pemegang sahamnya dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM), bulan depan.
Tambahnya, setakat 30 Jun lalu, DNB telah membangunkan infrastruktur rangkaian 5G meliputi 64.7 peratus liputan di kawasan berpenduduk. Ujarnya, ia sekali gus menunjukkan syarikat itu berada di landasan tepat bagi mencapai sasaran ditetapkan. Selain itu, syarikat penyedia perkhidmatan juga diumumkan akan mengambil semua tindakan tata kelola sewajarnya bagi menyempurnakan proses ini.
Ini adalah satu berita besar untuk pelabur dan penganalisis sektor telekomunikasi tempatan, malangnya ia tidak mendapat reaksi hangat seperti sepatutnya. Agak pramatang untuk seorang menteri mengumumkan sedemikian tatkala EGM itu sendiri belum berlaku.
Fahmi juga tidak menyebut mengenai harga ekuiti atau sama ada kerajaan akan mempunyai sebarang ekuiti dalam DNB sesudah kelima-lima syarikat penyedia perkhidmatan itu memuktamadkan perjanjian penyertaan ekuiti dalam DNB.
NEUTRAL
Berdasarkan kepada struktur asal model rangkaian borong tunggal (SWN), DNB adalah syarikat dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan) dan bank tidak memerlukan apa-apa jaminan daripada kerajaan kerana perjanjian akses mewajibkan syarikat penyedia perkhidmatan 5G melalui DNB. Ini selaras dengan matlamat penubuhan DNB pada 1 Mac 2021 dengan mandat oleh kerajaan untuk menjadi pihak neutral tunggal bagi melaksanakan infrastruktur dan rangkaian 5G ke seluruh negara.
Walaupun wujud desakan untuk menukar model SWN menjadi dwirangkaian borong (DWN) kononnya untuk mengelak kewujudan monopoli, memberikan transparensi serta memberikan inklusiviti, Kementerian Kewangan serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengumumkan pada 16 Mac 2022 untuk mengekalkan SWN tetapi dengan membuka ruang bagi syarikat penyedia perkhidmatan memegang ekuiti dalam DNB.
Kerajaan waktu itu bersetuju untuk menawarkan sehingga 70 peratus pegangan ekuiti DNB kepada syarikat telekomunikasi bagi membolehkan mereka terbabit dalam pelaksanaan rangkaian 5G negara manakala kerajaan akan terus memegang 30 peratus.
Pengumuman Fahmi pada 3 Mei lalu bahawa kerajaan akan memperkenalkan rangkaian kedua 5G melalui satu entiti baharu yang akan diwujudkan pada awal 2024 serta menukar model pelaksanaan 5G kepada DWN bagaimanapun tidak disertakan perincian mengenai agihan ekuiti ini.
Dalam pengumuman terbaru beliau pada Jumaat lalu juga tidak dijelaskan sama ada kelima-lima syarikat penyedia perkhidmatan itu akan bertanggungjawab 100 peratus kepada dana DNB tanpa mendapat apa-apa jaminan daripada kerajaan sesudah perjanjian penyertaan ekuiti ini dimuktamadkan.
BANKRAP
Sudah berulang kali ditegaskan bahawa DNB di bawah model SWN adalah berdaya maju dari sudut kewangan melalui pinjaman bank tanpa jaminan tetapi bila ada DWN sebagai pilihan maka DNB akan menghadapi masalah untuk menjana kewangan malah boleh bankrap.
Mengapa Fahmi tidak mendengar keluhan Ketua Pegawai Eksekutif DNB, Ralph Marshall pada 12 Februari 2022 bahawa DNB tidak akan mampu survive dalam bentuknya sekarang jika kerajaan membenarkan kewujudan pembekal rangkaian borong kedua?
Jika dibiarkan DNB bersaing dengan firma-firma telekomunikasi yang mungkin menawarkan harga 5G lebih murah kepada pelanggan, maka pada akhirnya DNB akan menghadapi masalah dan mungkin terpaksa menaikkan harga khidmat 5G kepada pelanggan.
Sebab itulah perkara paling penting wajib dijelaskan segera oleh Fahmi ialah bagaimanakah rakyat yang menggunakan 5G akan mendapat manfaat daripada ekuiti baharu DNB dan perjanjian akses 5G tetapi bila ini tidak dijelaskan oleh beliau, maka timbul banyak keraguan dalam kalangan rakyat mengenainya.
Bila syarikat penyedia perkhidmatan menjadi pemegang saham terbanyak/tunggal dalam DNB dan bila model SWN ditukar kepada DWN, bagaimana kerajaan akan memastikan pengguna dan peniaga akan mendapat akses kepada 5G yang berkualiti pada separuh harga khidmat 4G?
Sebelum ini di bawah model SWN, DNB tidak berorientasikan keuntungan dan bergerak atas asas pengembalian kos. Inilah punca mengapa DNB mampu mengurangkan kos menghasilkan liputan 5G kepada 13 sen/GB berbanding 50 sen/GB sekali gus membolehkan semua syarikat penyedia perkhidmatan menyediakan khidmat 5G kepada pelanggan pada harga RM1/GB atau separuh daripada RM2/GB yang dijual oleh khidmat 4G.
Semoga kesemua ini akan diberikan penjelasan segera oleh Fahmi bagi memastikan ekuiti baharu DNB dan penukaran model SWN kepada DWN benar-benar diasaskan kepada prinsip madani, khususnya mewujudkan sistem adil dan bermanusiawi yang dapat menjamin kesejahteraan rakyat. – UTUSAN
PENULIS ialah pembangun perisian bebas dan pendukung perisian sumber terbuka.










