ORANG Melayu termasuk pengundinya yang meliputi kira-kira 60 peratus daripada 21 juta orang harus berwaspada.
Tidak boleh lagi mentah-mentah menerima pakai cakap ‘tetamu yang mahu perjuangkan nasib bangsa dan agama’.
Apa lagi yang muncul secara tiba-tiba dalam saat politik berkecamuk hari ini yang perpaduan Melayu dan penyatuan ummahnya tidak boleh dituntut. Sedangkan sebenarnya ia wujud apabila keikhlasan dan kejujuran dalam perjuangan itu “nampak dan kelihatan berfungsi”.
Seperti besi kersani yang tidak tersepuh dengan saja-saja malah telah dibakar, dilebur dan diasah menjadi keris waja yang kukuh lagi gagah berani, begitulah kerajaan yang seharusnya terus memperjuangkan perpaduan Melayu dan penyatuan ummah. Perlu istiqamah dalam bab ini kerana jika sekadar untuk menguntungkan politik cuma dianggotai ahli, mereka sebenarnya bukanlah mewakili majoriti rakyat.
Diakui tradisi politik kuasa orang Melayu harus dikekalkan demi menjamin sifat dominan Melayu dalam politik dan pentadbiran negara. Namun perlu serius mencari kembali unsur-unsur tradisi perjuangan itu. Kalau tercicir dicari, kalau hanyut dipintas. Jika ini tidak diamalkan Melayu itu akan hilang sifat bangsanya sendiri.
Segala kemungkaran politik, undang-undang, ekonomi, pentadbiran harus dipulihkan. Mana-mana pemegang kuasa, baik dalam parti masing-masing mahukan induk dan kerajaan harus tidak lagi mendabik dada dengan kuasa yang ada. Sehinggakan ‘menindas’ mereka yang bertembung pendapat dan aliran dengan mereka.
Hak penentu bukan lagi melalui tohmahan atau penyalahgunaan kuasa atau undang-undang yang dipinda sewenang-wenangnya. Tetapi seharusnya melalui suara rakyat.
KLISE ‘SUARA RAKYAT’
Nampak klise bila istilah ‘suara rakyat’ senantiasa didendangkan. Namun kita wajar balik ke pangkal jalan. Banyak kemusnahan telah kita cipta dan lakukan terhadap orang Melayu dalam lima tahun ini.
Pepatah Inggeris berkata, Beware of Greeks bearing gifts atau “Berjaga-jagalah apabila orang Greek membawa hadiah”. Wilayah Troy jatuh ke tangan orang Greek kerana mereka menerima hadiah kuda kayu yang diberi oleh orang Greek. Begitu juga dengan orang yang akan datang dalam politik ‘kacau’, lantas membuat janji-janji menjelang pilihan raya yang memikat nafsu rakyat. Mereka sanggup membuat apa jua janji kerana mereka tahu tidak tidak mampu bertanggungjawab menunaikan janji-janji itu.
Apa yang pasti, perubahan paling kritikal yang orang Melayu mahukan hari ini adalah perubahan minda yang dikawal. Maksudnya – apabila tempurung yang terlangkup diterbalikkan, orang Melayu bersedia untuk menerima evolusi. Kawalan ini penting kerana perubahan sebenarnya sudah lama datang dan jangan terkejut dan sukar menerima – yang akibatnya menyebabkan kembali berkurung di bawah tempurung yang lain pula.
Untuk berjaya hari ini dalam menongkah arus cabaran Malaysia Baharu, orang Melayu harus mempercayai kebolehan diri supaya mampu menjadi pesaing hebat dengan golongan lain. Melayu, apa lagi orang mudanya harus mengubah pemikiran yang terlalu bergantung kepada keistimewaan diberi kerajaan.
Kebergantungan dengan keistimewaan inilah dilihat menggugat kemampuan kaum Melayu untuk bersaing. Kalau diperhatikan, bukannya kerajaan sejak dahulu tidak berusaha meningkatkan keupayaan orang Melayu dalam ekonomi negara termasuk mengimbangi kedudukan sosial kaum itu dengan kaum-kaum lain.
Sebutlah apa sahaja. Kalau dikutip sekilas dari angka dan statistik, pencapaian Melayu/Bumiputera sehingga hari ini juga gahnya terpamer di atas kertas. Sejak 1970, kadar kemiskinan yang dahulunya pada tahap 49.3 peratus, telah berkurangan kepada 3.8 peratus pada 2009 dan terus menyusut hari ini.
Selepas mencapai kemerdekaan, pelbagai instrumen dan institusi diwujudkan demi kepentingan Melayu serta bumiputera, antaranya Lembaga Tabung Haji, Felda, RISDA, Felcra, UDA, DARA, Jengka, Ketengah, Kesedar, Mara dan UiTM. Institusi-institusi bumiputera ini ternyata membawa banyak manfaat kepada pemerkasaan ekonomi dan pendidikan bumiputera.
Melalui agenda pemerkasaan bumiputera menerusi Universiti Teknologi Mara (UiTM) bilangan pelajarnya sehingga hari ini telah mencecah lebih 170,000 orang di 36 kampus UiTM seluruh negara. UiTM sebagai institusi bumiputera berjaya melahirkan seramai lebih 700,000 graduan anak-anak Melayu dan bumiputera yang berjaya, antaranya menjadi golongan profesional dan teknokrat di pelbagai bidang serta sektor. Tetapi adakah ini semua benchmark atau penanda aras pencapaian orang Melayu? Ya, tapi tidak menyeluruh, belum mencapai piawaian Melayu tinggi.
BUANG ‘TONGKAT’
Corak pemikiran kaum Melayu masih bergantung kepada ‘tongkat’ (keistimewaan) yang disediakan. Bahkan, sekarang ini dilihat sebagai excess baggage – sesuatu yang orang Melayu bawa dari dahulu hingga sekarang.
Teringat kita kepada dokumen disediakan oleh MacMichael pada tahun 1946 untuk ditandatangani oleh Raja-Raja Melayu. Taktik personaliti Inggeris itu benar-benar lembut gigi daripada lidah. Berjaya dia mendapatkan tandatangan Raja-raja Melayu bagi tujuan merompak mereka daripada kedaulatan yang ada.
Tapi mujurlah ada Datuk Onn Jaafar. Dengan pertolongan beberapa orang pegawai Inggeris yang sayangkan orang Melayu seperti Swettenham dan Braddell, patahlah rancangan MacMichael itu.
Hari ini tahun 2023, jangan lagi pisang berbuah dua kali. Perbuatan MacMichael itu kita boleh fahami kerana mereka penjajah. Cuma jangan sampai muncul MacMichael Melayu dalam kalangan kita.
Usah percaya 100 peratus terhadap ‘tetamu tidak diundang yang konon membawa mesej ‘memperjuangkan nasib Melayu dan ummah’. Sudah banyak retorik yang dimainkan terlalu nyaring oleh parti tertentu, tetapi terbukti ia hanyalah teater politik dengan pelakonnya harus berusaha mendapat sorakan penonton (rakyat). Matlamatnya untuk mendapat sorakan penonton bahawa merekalah pejuang kepada penyatuan Melayu, walhal ini semua hanyalah lakonan teater politik semata-mata.
Main wayang dengan berselindung di sebalik teater ‘perjuangkan Melayu dan penyatuan ummah dan Islam’ begitu menjengkelkan.
Sedangkan nawaitu sebenar hanyalah kuasa dan mahu menjadi king maker.-UTUSAN