MODAL insan merupakan sumber penting bagi pertumbuhan dan pembangunan sesebuah negara. Malaysia turut tidak terkecuali. Pada hari ini, Malaysia menikmati kadar literasi sebanyak 96.1 peratus dan berada di tangga ke-25 daripada 141 negara di dunia dari segi pembangunan modal insan menjadikannya negara Asia Tenggara kedua tertinggi selepas Singapura.
Tidak dinafikan Malaysia telah mengorak langkah positif dalam meningkatkan pendidikan, kemahiran dan latihan bagi modal insannya sejak tiga dekad lalu. Sebahagiannya hasil usaha Human Resource Development Corporation (HRD Corp) yang bernaung di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM).
Tidak dinafikan HRD Corp di bawah pimpinan Datuk Shahul Dawood selaku Ketua Pegawai Eksekutifnya telah menunjukkan komitmen yang teguh dalam meningkatkan pembangunan modal insan tempatan di negara ini melalui inisiatif-inisiatif positif dan berkesinambungan. Bagaimanapun, pada masa sama, negara ini masih perlu menangani beberapa isu utama untuk memperkuat usaha pembangunan modal insan serta meningkatkan daya saing global dalam jangka panjang.
Baru-baru ini, HRD Corp menganjurkan Minggu Latihan Nasional (NTW) 2023, inisiatif pertama dalam sejarah negara ini berfokus pada latihan yang memungkinkan rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang untuk menikmati program latihan secara percuma dan memupuk semangat pembelajaran sepanjang hayat dalam diri mereka.
Berdasarkan maklum balas diterima, NTW 2023 mendapat sambutan hebat daripada masyarakat. Dari 22 hingga 28 Mei lalu, NTW 2023 mendapat lebih 129,000 pendaftaran dan 503,000 jam latihan, melebihi sasaran awal, 125,000 pendaftaran dan 500,000 jam latihan. Ini menunjukkan rakyat kita telah mendapat manfaat besar daripada 21,473 kursus latihan bernilai RM215 juta yang disediakan secara percuma semasa NTW 2023.
Selepas kejayaan NTW dan pengumuman ia akan menjadi acara tahunan, HRD Corp telah menggandakan usahanya untuk membangunkan pembangunan modal insan tempatan. Pada 1 Jun lalu, siri pertama Persidangan dan Pameran Modal Insan Nasional (NHCCE) 2023 diadakan di Pulau Pinang. Diperkenalkan pertama kali pada 2001, NHCCE adalah persidangan pembangunan modal insan mengumpulkan pemikir-pemikir cemerlang dari peringkat antarabangsa dan dalam negara untuk menghasilkan penyelesaian pembangunan modal insan yang moden dan inovatif.
Dalam penganjuran kali ke-21 ini, HRD Corp memberi perhatian kepada suara komuniti dan melaksanakan persidangan ini di semua wilayah utama negara selain Lembah Klang. Langkah ini sejajar dengan konsep Malaysia Madani yang menitikberatkan pembangunan lestari dan inklusif dalam kalangan semua lapisan masyarakat sekali gus membuka peluang untuk pembangunan ekonomi yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat.
Dalam ucapan sewaktu merasmikan NHCCE 2023 Wilayah Utara, Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar mengucapkan tahniah kepada HRD Corp kerana mengulangi kejayaan penganjuran NHCCE 2022 di Kuala Lumpur yang disertai lebih 2,500 perwakilan dari seluruh negara termasuk Asia Tenggara dengan memperkenalkan siri peringkat wilayah selaras dengan kehendak pemain industri dan masyarakat.
TESLA
Sivakumar berkata, Malaysia menyaksikan komitmen pelaburan dari syarikat-syarikat besar dunia seperti Tesla, AMD Global Services dan Amazon Web Services di mana pelaburan ini akan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat di samping menjadi pemangkin kepada perkembangan infrastruktur teknologi dan mengangkat aktiviti ekonomi bernilai tinggi.
Bagaimanapun, kita tidak boleh berpuas hati dengannya kerana persaingan global semakin sengit untuk menarik pelaburan asing. Malah rakan serantau kita seperti Indonesia, Vietnam dan Filipina semuanya telah memulakan usaha intensif dan proaktif bagi menarik lebih banyak syarikat multinasional ke negara mereka.
Bagi menjadikan Malaysia lebih menarik kepada pemain global, kita mesti sentiasa menambah baik persekitaran perniagaan dan salah satu aspek terpentingnya ialah pembangunan tenaga kerja yang dinamik, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi melalui percambahan bakat.
Dalam konteks ini dan dengan kefahaman terhadap inklusiviti dan kelestarian, maka penganjuran siri kedua NHCCE 2023 di Sabah pada 4 hingga 5 Julai ini perlu dipandang tinggi.
Negeri-negeri Borneo, iaitu Sabah dan Sarawak sering dianggap kurang berkembang berbanding Semenanjung dan NHCCE 2023 Wilayah Borneo adalah inisiatif yang tepat untuk mengubah persepsi ini.
Dengan Lebuh Raya Pan Borneo yang hampir siap dan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Jabatan Kerja Raya Sabah dan Sarawak mempunyai kuasa untuk mentadbir projek pembangunan persekutuan berjumlah sehingga RM50 juta, kedua-dua negeri Borneo ini dijangka mengalami peningkatan aktiviti ekonomi.
Maka dengan adanya peningkatan projek pembangunan infrastruktur serta pelaburan asing secara langsung ini, pasti permintaan terhadap tenaga kerja tempatan yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi akan meningkat.
Justeru, NHCCE 2023 Wilayah Borneo akan memainkan peranan penting dalam membangkitkan perbincangan yang kritikal mengenai pembangunan modal insan tempatan di kawasan ini. Perbincangan ini akan membolehkan organisasi dan syarikat di kawasan tersebut menyedari kepentingan pembangunan modal insan serta menerima pendekatan baharu dalam mengekalkan, memperkasa, dan menarik bakat tempatan.
Ini penting kerana setiap wilayah di negara ini perlu memiliki kelebihan ekonomi disokong oleh tenaga kerja tempatan yang kukuh untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi dengan ekonomi membangun.
Adalah penting bagi sesebuah negara untuk memberi keutamaan kepada pembangunan modal insan tempatannya dan kami menghargai langkah kerajaan memberi penekanan kepada pembangunan di wilayah Borneo. – UTUSAN
DR. Mohd. Noor Yazid ialah Profesor Madya di Kluster Pembangunan & Etnografi, Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorIIS), Universiti Malaysia Sabah (UMS).










