TEMA Hari Alam Sekitar Sedunia pada 5 Jun lalu berkisar tentang usaha mencari penyelesaian, menghentikan serta mengurangkan pencemaran plastik. Perwakilan lebih 200 negara bermesyuarat di Paris dalam usaha mencari penyelesaian sama ada mengehadkan pengeluaran plastik sebagai sasaran utama atau bertukar ke ekonomi kitaran seperti disaran sektor petrokimia.
Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyasarkan pengurangan sisa plastik sebanyak 80 peratus menjelang 2040. Turut menjadi agenda adalah bagaimana suatu mandat global serta penyelesaian peringkat kebangsaan boleh dijadikan komponen dalam perjanjian pencemaran plastik PBB.
Tanpa menidakkan plastik sebagai salah satu krisis alam sekitar global yang paling cepat meningkat, kita harus berani menilai semula keutamaan negara dalam senarai panjang berkait alam sekeliling. Sebagai sebuah negara membangun, apa jua isu alam sekitar harus dinilai dari aspek upaya biaya, kebolehlaksanaan dan kebertanggungjawaban kesemua pemegang taruh.
Hakikatnya, pencemaran plastik merupakan isu yang sepatutnya boleh dikawal secara dalaman ketika rundingan anjuran PBB di Paris menambah baik kerangka perundangan kawal selia pencemaran plastik. Malah, penghasilan Pelan Hala Tuju Malaysia ke arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018-2030 harus dipuji. Cumanya, kekerapan pertukaran pimpinan politik serta pilihan pembuat dasar di kementerian yang banyak membantutkan rencana ini.
Ini berbeza dengan konflik air sama ada sesama negeri-negeri mahupun dengan negara jiran yang penuh cabaran dan berliku. Dasar pemisahan kuasa Kerajaan Persekutuan merangkumi aspek bekalan air, sungai dan terusan; pengeluaran; pengagihan dan pembekalan kuasa air sedangkan kawasan tadahan dan rizab sungai adalah milik kerajaan negeri sering menimbulkan pertikaian.
Pengasingan kuasa terhadap sumber dan pembekalan air ini bakal menjadi lebih parah dalam dekad akan datang seiring peningkatan permintaan akibat pembangunan dan pertambahan penduduk serta industri.
Seharusnya satu titik noktah pada kadar segera dicadangkan agar persengketaan air antara negeri di utara Semenanjung ketika ini contohnya, tidak merebak kepada perbalahan sempadan geopolitik yang tidak berkesudahan malahan sia-sia.
Umum sering menganggap Malaysia tidak sepatutnya berhadapan masalah bekalan air ketika musim kemarau kerana negara ini mempunyai limpahan air dan hujan yang banyak setiap tahun. Namun, ciri, keupayaan dan kemampuan setiap kawasan tadahan menyerap air adalah berbeza-beza dan berkemungkinan tidak pada tahap optimum akibat perubahan guna tanah dan perubahan iklim.
Dalam usaha memastikan akses kepada air minuman yang selamat dan sanitasi sebagai mengupaya hak asasi manusia seperti mana diterima pakai oleh PBB, Malaysia perlu memberi tumpuan kepada empat punca utama isu ini yang terkait dengan perubahan iklim, pengurusan syarikat air, pengurusan permintaan serta kewajaran subsidi berlebihan.
PERUBAHAN IKLIM
Tidak banyak yang boleh dilakukan negara ketika cuaca panas dan kering dialami sekarang dipacu oleh fenomena El Nino menurut Agensi Makanan dan Pertanian PBB (UNFAO). Namun, perancangan dan polisi yang berfokus data dan sains diperlukan dalam aspek pengurusan air semasa kemarau memandangkan kita terlalu fokus kepada banjir.
Merakyatkan sektor bekalan air amat diperlukan terutama apabila mentafsir keputusan kerajaan negeri Perak yang enggan berunding dengan Pulau Pinang mengenai perbekalan air serta tidak melaksanakan Projek Skim Pemindahan Air dari Sungai Perak (SPRWTS) kepada Pulau Pinang yang walaupun dihormati, namun pastinya menyebabkan pengguna menjadi mangsa.
Tentunya faktor pembeli dan penjual menjadi pemberat dalam keputusan tersebut, namun situasi ini agak janggal ketika Sabah menerima geran persekutuan sebanyak RM320 juta bagi kerja jangka pendek untuk menyelesaikan isu air. Kegusaran air akan bertambah parah jika berlaku pencemaran manakala kerajaan negeri mula membenarkan penerokaan kawasan tadahan masing-masing.
Jelas, isu air memerlukan penyelesaian peringkat perlembagaan berasaskan data dan merentasi semangat kenegerian. Pelaburan dalam bentuk menyimpan air bagi kegunaan rakyat negeri adalah difahami, namun lebih baik jika kerjasama negeri berjiran digembleng untuk melaksanakan strategi pengurusan lembangan rentas sempadan politik. Negeri tidak harus mengongkong sumber air masing-masing, sebaliknya harus berkongsi kemakmuran dengan membuka kemungkinan meneroka sumber baharu seperti air bawah tanah.
Pada masa sama, Kerajaan Persekutuan harus lebih tegas dalam isu air tidak berhasil (NRW), iaitu air terawat yang tidak sampai kepada pengguna. Penyaluran dana dan modal besar perlu dipantau rapi terutama demi tiada ketirisan serta memastikan pengupayaan modal insan tempatan diberi keutamaan dalam menghasilkan penyelesaian yang mampan.
Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) melaporkan, purata NRW negara adalah 37.2 peratus pada 2022 membabitkan pembaziran 7.084 juta liter air terawat setiap hari dengan jumlah kerugian sekitar RM2 bilion setahun. Peratusan tinggi ini tidak boleh diterima dan syarikat harus dipertanggungjawabkan dalam menghasilkan strategi mengatasi lebih berkesan. Dana sejumlah RM2 bilion oleh Kerajaan Persekutuan bagi mengatasi kerugian operator air tidak harus dijadikan amalan berikutan bakal menjadikan syarikat kurang kompetitif, kekal bersifat monopoli dan membebankan rakyat pada akhirnya.
Selaras perkembangan semasa, tarif air perlu dinilai semula oleh kerajaan melalui mekanisme imbangan kos dengan sasaran hanya isi rumah yang layak perlu diberikan subsidi bersasar. Ini perlu dituruti dengan perubahan sikap oleh masyarakat dan industri dalam meningkatkan kecekapan penggunaan air.
Langkah berani dalam menilai semula tarif kelihatan seolah memakan diri ketika pilihan raya semakin mendekat, namun kesepakatan kerajaan perpaduan perlu digembleng dengan menjadikan tarif air sebagai isu larangan semasa kempen politik.
Apabila air diberi nilai yang sewajarnya dan kerjasama perkongsian sumber air rentas sempadan negeri menjadi realiti di Malaysia, maka hasrat dan tekad untuk menyelesaikan isu air seluruh negara akan lebih mudah tercapai. – UTUSAN
DR. Mohd. Yusoff Ishak ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Perhutanan & Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM).










