PRN DUN Kedah paling panas? - Utusan Malaysia

PRN DUN Kedah paling panas?

Muhammad Sanusi Md Nor berucap di Himpunan Jentera Pilihan Raya Perikatan Nasional Kedah di Padang Awam Guar Chempedak, Yan, pada Mei lalu. - MINGGUAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK lama lagi Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi enam Dewan Undangan Negeri (DUN) melibatkan Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu bakal berlangsung. Antara enam DUN tersebut, PRN bagi DUN Kedah dipercayai paling panas. Ada beberapa faktor dan fakta menarik untuk diberi perhatian dalam PRN Kedah kali ini.
Sudah tentu ramai menjangkakan kemenangan selesa berpihak kepada Perikatan Nasional (PN). Apa tidaknya kerana dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 baru-baru ini, PN menang 13 daripada 14 kerusi Parlimen di Kedah. Pakatan Harapan (PH) hanya menang di Parlimen Sungai Petani. Barisan Nasional (BN) pula kalah teruk tanpa sebarang kerusi.
Bersandarkan kepada hakikat ini, PN sangat yakin boleh memenangi 33 daripada 36 kerusi DUN Kedah.
Dalam PRU14 pada 2018, Pas berjaya memenangi 15 kerusi DUN, PH 18 kerusi dan BN 3 kerusi. Berdasarkan rekod PRU14 dan 15, PN yang ditunjangi oleh Pas bersama Bersatu yakin boleh mencapai sasaran itu dalam PRN Kedah kali ini.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor juga optimis PN boleh menang di tiga kerusi iaitu DUN Kota Darul Aman, Bakar Arang dan Sidam yang menjadi kubu kuat PH walaupun bekerjasama dengan BN. Beliau mempunyai keyakinan seperti itu kerana melihat momentum sokongan rakyat dalam PRU15 sangat besar kepada PN. Jadi, tiada masalah untuk PN mengekalkan kuasa dengan majoriti besar melebihi dua pertiga.
Sasaran yang diletakkan oleh Menteri Besar Kedah itu selaku Ketua Pengarah Pilihan Raya bagi PN tidak mustahil untuk dicapai. Namun, momentum PRU15 dan PRN bagi DUN sedikit sebanyak sudah berubah. Pasca PRU15 meninggalkan beberapa ruang yang menjejaskan rentak kekuatan PN. Mengapa? Ini kerana ahli-ahli Parlimen PN yang menang dalam PRU15 masih belum menunjukkan prestasi dan mutu kerja yang tinggi. Hal ini boleh menjadi beban kepada PN kerana pengundi sangat tertunggu-tunggu pelbagai aktiviti dan program dianjurkan oleh PN bersama komuniti setempat.
Apabila momentum mula menurun, maka PN sukar untuk menarik semula sokongan itu. Apatah lagi kini penyokong PN sudah mula memberi perhatian kepada dasar-dasar Malaysia Madani oleh Kerajaan Perpaduan.
Lagi pun, kepemimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim terus berhasrat membantu membangunkan Kedah. Terbaharu, beliau mengumumkan peruntukan sebanyak RM8.9 juta bagi membantu institusi-institusi pendidikan Islam bagi meningkatkan lagi tahap dan mutu pendidikan di Kedah.
Dasar Malaysia Madani adalah senjata Kerajaan Perpaduan untuk menghancurkan ego Muhammad Sanusi. Paling ditakuti oleh PN adalah cita-cita besar Kerajaan Perpaduan mahu merampas Kedah.
Dalam PRU14, PH menang 18 kerusi sebelum berlakunya aktiviti melompat parti selepas Langkah Sheraton. Sebab itu, PH yakin mampu meraih kemenangan dan menubuhkan kerajaan di Kedah. PH lebih yakin kali ini kerana sudah bekerjasama dengan BN atas nama Kerajaan Perpaduan.
Pemerhatian juga perlu difokuskan kepada kekuatan Bersatu. Kedudukan Bersatu dalam PRU15 banyak bergantung kepada Pas. Semasa kempen, jentera Pas bekerja kuat memastikan calon Bersatu mencapai kemenangan. Namun, adakah jentera Bersatu bersedia membantu calon Pas dalam PRN ini?
Selain itu, krisis kepimpinan dalam Bersatu masih terkesan selepas pemilihan parti itu sebelum ini. Bahkan beberapa pemimpinnya beralih arah bersama Pejuang. Kumpulan yang tidak sehaluan dengan kepimpinan Bersatu sedia ada mengambil sikap tunggu dan lihat. Sokongan kumpulan ini adalah berbelah bahagi kepada PN.
Jadi, PRN Kedah kali ini memang panas. Ia boleh disoroti melalui beberapa isu hingga banyak serangan politik dituju kepada Menteri Besar Kedah.
Antaranya isu air mentah ke Pulau Pinang, pembatalan pembinaan lapangan terbang di Kulim, pajakan Pulau Pinang dan sambutan hari raya di Alor Setar serta pameran LIMA di Langkawi. Namun, reaksi dan jawapan daripada Menteri Besar itu terhadap setiap isu yang dibangkitkan menyebabkan penyokong Kerajaan Perpaduan tidak berpuas hati. Bahkan menjadi lebih panas hingga ada laporan polis dibuat untuk menyiasat Muhammad Sanusi.
Serangan bertali arus kepada beliau secara tidak langsung mempromosi serta mempopularkan pemimpin dari Jeniri itu. Ini memberi kelebihan kepadanya. Jadi, sosok tubuh ini tidak perlu lagi diperkenalkan kerana umum sudah mengenalinya. Kelebihan ini meletakkan beliau begitu lantang melaungkan kemenangan berpihak kepada PN.
Atas sebab itu, sasaran pihak PH dan BN adalah untuk menumbangkan beliau di DUN Jeniri. Jika Muhammad Sanusi kalah, maka tiada lagi kelibatnya sebagai Menteri Besar. Namun, kekalahan Muhammad Sanusi tidak bererti PN pun turut kalah. PN pun sudah bersedia dengan pemimpin yang bakal menerajui Kedah jika berlaku kekalahan itu.
Dalam pada itu, Kerajaan Perpaduan perlu beringat. Jangan senjata makan tuan. Dek terlalu obses untuk merampas Kedah dan ‘mengajar’ Muhammad Sanusi menjadikan “apa yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran”. Fokus sangat besar kepada DUN Kedah, tetapi kemungkinan boleh tewas di DUN Negeri Sembilan dan Selangor. Atau, sekurang-kurangnya PN menambah bilangan kerusinya di kedua-dua DUN tersebut termasuk di DUN Pulau Pinang.
Jadi, sama-samalah kita menunggu detik bersejarah dalam politik tanah air dengan berlangsungnya PRN di enam DUN ini.
Semua pihak masing-masing ada keyakinan untuk mencapai kemenangan. Namun, semua itu terletak di tangan pengundi khususnya bagi kumpulan pengundi muda dan pertama kali bagi yang berusia 18 tahun ke atas. Nasihat saya, turunlah mengundi. Tunaikanlah hak anda. Kuasa memilih di tangan masing-masing, demi masa hadapan negara.

Prof. Madya Dr. Malike Brahim dari Pusat Pengajian Kerajaan, Universiti Utara Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya