Masalah air di Kedah sudah selesaikah?

Masalah air di Kedah sudah selesaikah?

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PILIHAN raya negeri (PRN) bakal berlangsung di enam negeri tidak lama lagi sekitar akhir Julai atau awal Ogos ini. Tiga negeri milik Pakatan Harapan (PH), iaitu Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan manakala tiga lagi negeri milik Pas, iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.

PRN kali ini berlangsung dalam suasana yang berlainan daripada kebiasaan. Sebelumnya pernah berlangsung PRN berasingan daripada pilihan raya umum (PRU) tetapi hanya melibatkan satu negeri untuk satu PRN tertentu, namun kali ini enam negeri sekali gus.

Kebiasaannya, prestasi kerajaan Pusat atau kerajaan negeri akan menjadi salah satu penentu utama parti mana yang akan menjadi pilihan pengundi dalam PRU atau PRN. Satu kaedah pengukur prestasi ialah sejauh mana janji-janji dalam manifesto tercapai.

Tulisan ini mengukur tahap pencapaian kerajaan negeri Kedah ke atas manifesto PRU, iaitu Manifesto Gagasan Sejahtera (GS) Kedah PRU14. Dinamakan begitu kerana Pas bersama Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) waktu itu bertajuk Penyelesaian Untuk Kesejahteraan Rakyat.

Dalam pada itu, kita perlu berlaku adil kepada kerajaan negeri Kedah diketuai Menteri Besarnya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor kerana tidak memerintah sepenuh penggal berikutan terbentuk di pertengahan penggal pada 17 Mei 2020.

Manifesto GS mempunyai 15 agenda teras, iaitu pentadbiran; hal ehwal agama Islam; pendidikan; kebajikan; ekonomi; air dan tanah; perumahan; pembangunan wanita dan keluarga serta belia dan pembangunan insan.

Selainnya ialah sukan, rekreasi, kebudayaan dan kesenian; infrastruktur dan kemudahan asas; pertanian, penternakan dan perikanan; pihak berkuasa tempatan; integrasi kaum serta keselamatan dan alam sekitar.

Kita ambil dua contoh perincian setiap satu daripada 15 agenda teras ini, iaitu air dan tanah serta infrastruktur dan kemudahan asas.

Di bawah agenda teras air dan tanah, ada lima janji dibuat, iaitu:

(a) Melaksanakan Pelan Induk Industri Air Negeri Kedah.

(b) Memberi 20 meter padu air secara percuma kepada pengguna miskin.

(c) Mempermudahkan proses memberi hak milik dan menyelesaikan permohonan tanah tertunggak.

(d) Meningkatkan pendapatan hasil bumi dengan membangunkan tanah terbiar.

(e) Mempertahankan Tanah Simpanan Melayu dan mengawal penyalahgunaan status tanah secara berleluasa.

BERAYA

Di bawah agenda teras infrastruktur dan kemudahan asas juga ada lima janji dibuat, iaitu:

(a) Komitmen jangka panjang untuk mewujudkan persekitaran serta kemudahan yang lengkap dan berkualiti.

(b) Menambah baik kemudahan asas sedia ada dan mengenal pasti serta menyediakan kemudahan-kemudahan baharu sesuai dengan tahap pencapaian kemajuan masyarakat.

(c) Berusaha menyelesaikan masalah bekalan air kepada rakyat secara berperingkat dengan sempurna.

(d) Memperbanyak lampu jalan di kawasan luar bandar dengan keutamaan menggunakan teknologi hijau.

(e) Menyediakan peralatan kecergasan awam di taman rekreasi.

Seharusnya pengundi yang matang akan meminta penjelasan daripada kerajaan negeri, sejauh mana semua janji ini telah dilaksanakan? Penjelasan itu pula perlulah secara konkrit dengan data lengkap. Sebagai contoh, berapa banyak pemberian hak milik dan penyelesaian permohonan tanah tertunggak dibuat untuk tempoh 2020 hingga 2023? Berapa luas tanah terbiar yang telah dibangunkan? Berapa banyak pendapatan hasil bumi ditingkatkan?

Penelitian ke atas setiap satu daripada janji-janji terangkum dalam Manifesto GS atau manifesto parti-parti politik lain akan membantu mewujudkan pengundi matang yang membuat keputusan berdasarkan pertimbangan akal rasional.

Satu isu yang mendatangkan masalah besar kepada Muhammad Sanusi dan kerajaan negeri adalah bekalan air. Masalah ini sebenarnya sudah lama berlaku tetapi setelah Muhammad Sanusi menjadi Menteri Besar, beliau dengan segera berjanji untuk menyelesaikannya.

MISKIN

Ini juga selaras dengan Manifesto GS untuk melaksanakan Pelan Induk Industri Air Negeri Kedah, memberi 20 meter padu air secara percuma kepada pengguna miskin dan berusaha menyelesaikan masalah bekalan air kepada rakyat secara berperingkat dengan sempurna.

Janji Muhammad Sanusi ini terpampang dalam laporan media massa waktu itu, antaranya beliau menyebut, “Paling lambat tahun 2023 kita akan ada infrastruktur air lebih baik dan dapat selesaikan masalah air.”

Malangnya sehingga sekarang, pertengahan 2023, masalah air ini terus berlaku, malah semakin membarah khususnya sewaktu sambutan Hari Raya Aidilfitri pada pertengahan April lalu yang menyaksikan ramai perantau Kedah kembali ke negeri itu untuk beraya.

Masalah ini dapat dilihat dalam satu kenyataan akaun Facebook milik Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Dr. Mohd. Hapiz Mahaiyadin berbunyi:

“Masalah air di utara Kedah terutamanya Kodiang dan Kubang Pasu meninggalkan trauma kepada kami sejak berzaman. Apabila tiba hari raya, mesti air akan tak ada. Hari raya yang sepatutnya gembira bertukar malapetaka. Sudahlah balik beraya kena tempuh 9-10 jam kesesakan jalan raya. Sampai rumah, air pula tak ada. Minta SADA dan kerajaan selesaikan isu air ini sebelum saya mula tambun tanah untuk buat rumah di sini. Jangan sampai saya pindah ke sempadan negeri Perlis. Bagus zaman DS Shahidan Kasim ni, dia jaga betul bab air negeri dia.”

Air adalah isu yang kritikal kerana ia menyentuh kehidupan harian rakyat. Inilah antara perkara-perkara utama dalam manifesto yang perlu kepada penjelasan kerajaan negeri Kedah dan kerajaan negeri lain yang terlibat dalam PRN ini bagi menarik hati rakyat untuk mengundi mereka. – UTUSAN

Dr. Hirwan Jasbir Jaafar ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Perniagaan & Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×