Mampukah pekerja ‘tua’ serap teknologi digital?

Mampukah pekerja ‘tua’ serap teknologi digital?

GOLONGAN pekerja perlu bersedia bergerak seiring perkembangan teknologi supaya mampu kekal berdaya saing dan meneruskan survival kehidupan. – UTUSAN/MOHD. FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENURUT kaji selidik sentimen pekerjaan terkini oleh penyedia maklumat ganjaran dan gaji, Employment Hero, kira-kira 76 peratus pekerja di Malaysia dan Singapura bimbang pekerjaan mereka akan digantikan oleh teknologi. Sebelum ini, seorang penyelidik, Ben Goertzel yang juga pakar kecerdasan buatan (AI) menganggarkan teknologi ini berupaya menggantikan kira-kira 80 peratus pekerjaan manusia dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Senario seperti ini menunjukkan lebih banyak tugas dan kerja manusia mula diambil alih oleh teknologi digital sehingga dilihat menjadi ancaman kepada masa depan kerjaya golongan pekerja. Misalnya, kewujudan AI generatif seperti ChatGPT semakin mencetuskan kebimbangan pelbagai pihak. ChatGPT adalah satu laman yang membantu pengguna untuk menjawab sebarang persoalan dalam masa singkat dan memberikan maklumat tepat secara dalam talian.

Fenomena revolusi teknologi seperti ini menyebabkan pekerja kelihatan terpaksa bersaing dengan teknologi untuk terus kekal relevan dan mempertahankan kerjaya masing-masing. Jelas, ini bukan satu tugas mudah memandangkan teknologi terus berkembang pesat secara drastik. Bagi individu yang leka dan tidak mahu terus berusaha untuk meningkatkan kemahiran dan kualiti diri, pastinya dengan mudah menjadi mangsa korban teknologi seperti ini. Ringkasnya, bakal hilang pekerjaan masing-masing.

Justeru, golongan pekerja perlu bersedia dengan kekuatan, kemahiran serta kemampuan tersendiri bagi memenuhi keperluan serta ekspektasi majikan dan industri selain bergerak seiring perkembangan teknologi supaya mampu kekal berdaya saing dan meneruskan survival kehidupan.

Jujurnya, kita perlu sedar dan akui betapa evolusi perkembangan teknologi bakal memberi impak besar kepada sektor pekerjaan dalam pelbagai industri dan individu di semua peringkat. Justeru, mahu tidak mahu, kita tidak boleh mengelak atau lari daripada kenyataan betapa lebih separuh pekerjaan di Malaysia juga berdepan ancaman dan risiko untuk diautomasi sekali gus mengurangkan peranan manusia.

Industri 4.0 misalnya adalah ‘kilang pintar’ di mana sebuah sistem gabungan siber dan fizikal berkemampuan memantau proses fizikal kilang serta membuat keputusan sendiri (bersifat autonomi). Sistem fizikal ini mampu berkomunikasi dan bekerjasama antara semua sistem dan manusia secara langsung melalui laman web. Situasi seperti ini sekali lagi mencetuskan persoalan, sejauh mana golongan pekerja di negara ini mampu mempertahankan kedudukan dan pekerjaan masing-masing?

Hakikatnya, kita tidak boleh menghalang mahupun mengawal perubahan dan perkembangan teknologi serta kesannya kepada pelbagai sektor pekerjaan. Dalam pada itu, kita juga sedar ia merupakan ancaman besar kepada pekerja dalam semua bidang industri. Jadi, bagi memastikan kekal relevan dan terus boleh bekerja, setiap pekerja perlu berubah mengikut arus perubahan yang sedang rancak berlaku. Secara prinsipnya, Industri 4.0 mahupun AI memerlukan golongan pekerja yang berkemahiran tinggi, efisien dan efektif agar dapat bekerja bersama-sama dengan robot mahupun pelbagai sistem automasi bakal diguna pakai untuk merancakkan proses pengeluaran dan produktiviti. Jika tidak, kemungkinan besar tugas kita bakal diambil alih sepenuhnya oleh robot dan sistem komputer.

TUTUP PINTU

Dalam konteks ini, pekerja sebagai pemain utama dalam proses tersebut wajar menilai kemampuan dan kemahiran masing-masing. Kita perlu menilai dan tanya diri, adakah sudah bersedia dengan segala kemahiran yang dituntut oleh teknologi terbaru ini? Harus diingat, kegagalan untuk mengasah bakat dan kemahiran akan menyebabkan kerja kita diambil alih oleh orang lain ataupun berlaku secara automasi.

Jadi, kita perlu rebut peluang untuk ubah minda dan cara kerja seterusnya, mencari ruang untuk menajamkan kemahiran masing-masing. Dewasa ini sudah banyak agensi kerajaan dan swasta menawarkan pelbagai program dan latihan untuk meningkatkan kemahiran pekerja bagi memenuhi keperluan evolusi teknologi digital, maka eloklah kita ambil peluang untuk menyertai program tersebut demi survival kerja dan masa depan masing-masing. Jangan esok umpama sudah kecurian baru hendak tutup pintu, kita menyesal apabila mendapati diri ini tidak lagi relevan dalam sektor pekerjaan berpaksikan teknologi digital sepenuhnya.

Dalam pada itu, kita juga berharap majikan membuka peluang kepada pekerja untuk menambah kemahiran diperlukan. Hanya majikan yang tahu kemahiran perlu dimiliki oleh pekerja untuk terus memacu produktiviti masing-masing. Justeru, laburlah sedikit dalam program-program pembangunan kendiri dan peningkatan bakat serta kemahiran para pekerja supaya mereka mendapat peluang sewajarnya untuk terus bersaing dalam cabaran begitu kompetitif ini. Sesungguhnya pelaburan dalam pemerkasaan bakat dan modal insan tidak pernah mengecewakan.

Kita percaya akan ada segelintir pekerja terutama yang senior mahupun orang lama akan mula rasa tertekan dengan pelbagai ancaman dan tuntutan dibawa oleh teknologi digital ini. Sudah semestinya mereka mula berkira-kira, apakah bakal menjadi korban evolusi teknologi di mana tugasan yang mereka lakukan selama ini bakal diganti oleh sistem automatik seterusnya bakal menjadi penganggur dan hilang mata pencarian? Hal ini pasti akan memberi pelbagai kesan sosial dalam masyarakat, jadi majikan perlu terus membantu golongan ini dengan memberi motivasi dan ruang untuk meningkatkan kemahiran masing-masing dan kekal relevan.

Besarlah juga harapan agar majikan tidak pula mengambil peluang ini untuk mengetepikan pekerja tempatan atas alasan kurang berkemahiran dengan membawa masuk lebih ramai pekerja asing. Ini jelas tidak sihat untuk pembangunan negara secara keseluruhannya. Ingatlah, sampai bila kita mahu bergantung harap kepada pekerja asing? Sudah tiba masanya pekerja tempatan mengambil alih peranan mereka dan membangunkan negara mengikut acuan kita sendiri.

Tuntasnya, kerjasama dan komitmen pekerja serta majikan akan membolehkan golongan pekerja dapat terus kekal relevan dan tidak menjadi mangsa perkembangan teknologi. Teknologi perlu diterima sebagai alat yang boleh digunakan untuk manfaat kepada kesejahteraan manusia dan pembangunan negara, bukannya sebagai satu ancaman. – UTUSAN

PENULIS ialah penganalisis isu semasa dan pentadbir di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×