Jayakan agenda Sekolah Amanah sekarang!

Jayakan agenda Sekolah Amanah sekarang!

MENTERI Pendidikan, Fadhlina Sidek bersama warga pendidik di Sekolah Kebangsaan (SK) Kanchong Darat, Banting, Selangor yang dianugerahkan Sekolah Terbaik Dunia 2023 bagi kategori Gaya Hidup Sihat, baru-baru ini. – UTUSAN/ AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAMPAKNYA sejarah berulang kembali. Tahun lalu, dua sekolah kebangsaan (SK) kita tersenarai 10 terbaik di dunia. Ini amat mengemparkan kerana selama ini wiridnya adalah sekolah kita tercicir dalam perbandingan antarabangsa.

Dan dikata tidak setara mengikut ukuran Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) seperti Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) serta Kajian Trend Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS).

Ia memberi latar dan alasan mengapa PISA dan TIMSS diutamakan. Mengapa tidak ukuran lain dalam konteks lebih intim dan sesuai bagi negara ini? Yakni dalam acuan sendiri sebagai sebuah negara berdaulat dan merdeka dengan menganjurkan kekuatan serta keunikannya tersendiri.

Memuatkan artikel berkaitan…

Meningkatkan nilai warisan serta sejarah beratus tahun usianya. Kan kita terkenal sebagai negara majmuk yang berjaya? Pelbagai kaum, bangsa, budaya dan agama yang biasa mesra dan sejahtera dalam ungkapan jata negara berbunyi Bersekutu Bertambah Mutu. Hidup berharmoni lagi berkualiti antara satu sama lain, malah Malaysia, truly Asia, jolokan terkenal seantero.

Tiada negara OECD mendekatinya, namun kita termakan ciri-ciri yang dipelawas untuk mewarnai pertiwi bertuah ini. Secara langsung sekolah kita terpesong daripada fahaman falsafah pendidikan asal yang menjiwai ungkapan jata tadi. Ia tidak lagi bermutu kerana tidak lagi bersekutu akibat dasar pecah dan perintah penjajah seiras OECD bagi memudahkan penaklukan minda generasi yang ada dan seterusnya.

Terlupa kepada ibunda dalam menumpahkan taat setia. Kita global tanpa berpijak bumi nyata. Malaysia, tidak lagi sebenarnya Asia. Ia tiga negara dalam satu, rekaan pecah dan perintah yang sukar dipulihkan dalam kerangka OECD yang lebih menyebelahi acuan mereka sendiri.

Apa pun, pada tahun ini lagi sekali dua SK lain tersenarai antara 10 terbaik seantero. Satu kebetulan? Mengapa berburuk sangka apabila kita berjaya dan setuju jika sebaliknya?

Petanda minda terjajah hanya mampu mengakui yang buruk supaya mudah diheret ke hulu ke hilir melalui ekosistem kontang nilai jatinya. Oleh kerana itu jugalah khabarnya tahun lalu sambutan penyenaraian antara 10 teratas diterima dingin sahaja daripada pihak berwajib.

Sekadar mengambil maklum dan tidak melebihi itu. Ada pula laporan yang sekolah berkenaan dimarahi kerana tidak mendapat kebenaran terlebih dahulu untuk disenaraikan. Karenah birokrasi. Wallahuaklam.

Kalaulah betul, ia amat mengecewakan kerana penyenaraian tersebut adalah pengiktirafan dunia antara puluhan ribu sekolah seluruh dunia. Apatah lagi bagi sekolah tempatan serba ‘biasa’ tetapi ‘berisi.’ Hanya isinya bukan OECD – yakni mengutama kebestarian sendiri yang lebih meyakini.

Ini ada kaitannya dengan hasil program Sekolah Amanah (SA) yang lebih satu dekad usianya. Tercetus semasa Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 diusulkan untuk membawa transformasi pendidikan. SA merupakan pilihan yang amat memberangsang di seluruh negara.

TRANSFORMASI BERANI

Pelbagai projek dilaksanakan secara berperingkat demi meyakini semua pihak termasuk ibu bapa dan masyarakat amnya. Para pelajar SA pintar, cerdas, berbakat, petah, cekal dan berani. Mereka menyerlah dan lincah melangkaui enam aspirasi pelajar tertera dalam PPPM seadanya. Mereka tidak segan silu bertanya itu dan ini.

Tidak syak lagi ia satu transformasi rentas sempadan pelbagai bentuk segera membuktikan keupayaan yang ada. Tetapi persoalannya, mengapa masih tidak diarusperdanakan sebagai acuan Malaysia yang mantap dan jati? Mengapa tidak diberi pengiktirafan sewajarnya selepas bertahun-tahun menempa nama? Mengapa tidak yakin acuan sendiri sebagai sumbangan bermakna? Masih belum ada jawapan memuaskan, baik daripada kerajaan silih berganti, menteri datang dan pergi. SA terus dipencilkan walaupun sekolah yang ada rata-rata perlu diganti! Segera!

Tahun ini, dua sekolah memenangi Anugerah Sekolah Terbaik Dunia iaitu SK Seri Permai, Bayan Baru, Pulau Pinang dan SK Kanchong Darat, Banting, Selangor. SK Seri Permai tersenarai bagi kategori Inovasi dalam membangunkan inovasi meja dan ruang simpanan buku dikenali sebagai Smart and Easy Table (SnET) 2.0. Ia bertujuan mengatasi masalah beg berat ke sekolah – suatu masalah berpuluh tahun menghantui pihak kementerian.

SK Kanchong Darat pula tersenarai dalam kategori Gaya Hidup Sihat dengan membawakan inovasi Program Minda Sihat, Warga Hebat bagi menggalakkan murid hadir ke sekolah sekali gus menangani isu obesiti kanak-kanak.

Pemenang bagi setiap hadiah dipilih berdasarkan kriteria oleh juri terdiri daripada ahli akademik, pendidik, pertubuhan bukan kerajaan, usahawan sosial, kerajaan, masyarakat sivil dan sektor swasta dari seluruh dunia.

Pada 2022, dua sekolah terlibat adalah SK Kempadang, Kuantan, Pahang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampong Jawa, Klang, Selangor.

Oleh itu, kali ini bukan lagi kebetulan tetapi kenyataan. Kementerian kali ini lebih ghairah meraikan kejayaan mereka. Lebih terangsang dan teruja! Namun, beranikah mereka melangkah ke hadapan untuk membawa SA ke medan perdana sebagai model pendidikan hari muka yang berjaya di pentas dunia?

Sekali gus menentukan perubahan sejajar dengan aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Agenda 2030 Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) apatah lagi PPPM yang akan tamat dua tahun sahaja lagi.

Maksudnya, berapa yakinkah untuk membuktikan kepada dunia yang pendidikan kita tidak tercicir berbantukan pencapaian model pendidikan SA? Atau sebaliknya, terus dibaham ejekan serta sindiran kerana tersilap langkah atau dayus dalam mencari perhitungan baharu yang serba segar dalam acuan sendiri. Ketikanya sudah tiba, tepuk dada tanya selera dalam menzahirkan amanah besar yang dipikul. – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×