CADANGAN Perdana Menteri untuk sekolah memuatkan semula kegiatan mencuci tandas merupakan penegasan madani yang tepat dan jelas. Walaupun tidak tertera antara enam Rukun Madani yang tercatat secara rasmi sewaktu dilancarkan awal tahun ini, namun kebersihan semestinya sebahagian daripada iman mengikut sebuah hadis Rasullulah SAW sekali gus mengatasi mana-mana rukun yang dirangka manusia untuk pelbagai tujuan, Rukun Negara misalnya. Tidak salah kalau ia dianggap sebagai rukun tambahan yang ketujuh. Maksudnya, tidak lengkap madani tanpa kebersihan – bukan sahaja tandas, malah keseluruhan jiwa raga.
Pun begitu, tandas cukup utama kerana ia kemudahan awam merangkai di mana sahaja, seantero. Dan umumnya menimbulkan rasa malu amat sangat bagi masyarakat kita semenjak begitu lama lagi. Ramai mengkritiknya sebagai pencemaran paling jijik dan hodoh bagi satu rumpun bangsa yang terkenal dengan kehalusan tatasusila di mata dunia.
Tetapi seelok sahaja masuk ke kamar kecil, masing-masing bersifat sebaliknya, malah mengaibkan. Jika disukat dengan hadis berkenaan, iman yang tersisa mungkin tidak seberapa, atas pelbagai sebab yang menodai kesucian asas agama itu sendiri. Kotor, berbau, becak, berdaki, pembaziran sumber, kerosakan alat, tidak kemas dan bermacam lagi berbanding keadaan tandas di Jepun umpamanya. Mengapa? Orang Jepun mungkin tidak menganuti Islam, tetapi amalannya mantap.
Dalam bab ini, Muslim jati kecewa.
Rahsianya cukup mudah. Budaya Jepun diasuh sejak bangku sekolah lagi. Bak kata pepatah, melentur buluh biar semasa rebungnya. Tapi kita tidak akur. Maka iman pun susut hari demi hari. Dalam perkembangan terbaharu, tandas menjadi sarang mencuba cecair vape mulai 1 April lalu apabila racun nikotin tidak lagi di bawah kawalan Akta Racun 1952.
Lagipun, kita lebih cenderung kepada penarafan itu dan ini. PISA dan TIMSS-lah, QS dan THE-lah. Megah berkokok sedangkan ekor berlumuran najis sebagaimana tandas kita! Malah ada yang merungut, sukar untuk berwuduk di tandas-tandas awam.
Ini memandangkan amalan pembersihan amnya ala kadar sahaja. Pancut air sana sini, sapu dan lap sedikit sebanyak. Asalkan tidak berbau, okey sahaja. Jadi, banyak menggunakan pewangi tiruan. Ditambah pula poster pemandangan indah seberang laut untuk mengaburi deria. Walhal daki lama yang menebal terbiar sahaja, baik di bangunan tersergam indah di Putrajaya berhampiran Pejabat Perdana Menteri.
Tidak melutut dan menyental bersungguh-sungguh dengan berus serta bahan pencuci tulen sebagaimana amalan cucian di Jepun. Dikeringkan terlebih dahulu sebelum dibenarkan pihak awam menggunanya. Dan para pengguna akan meninggalkan tandas tersebut sebersih sebelum digunakannya. Kitaran ini berterusan seharian suntuk sebagai lambang ketamadunan amat tinggi. Esok disental semula.
Adakah ini bakal tanda aras baharu di bangku sekolah dalam memperkenalkan budaya kebersihan jati, atau ikut sesuka sahaja seperti menjaga laman sekolah umumnya? Tidak seperti di Jepun lagi sekali, tatkala alam sekitar mereka memukau pandangan, berhias budaya ukiran tradisional, pepohon bonsai atau susun atur ikebana bunga mekar dengan dedaun hidup menghijau. Bukan bikinan bunga plastik berdebu kerana jarang dicuci atau diperindah. Asalkan ada!
CABARAN PEMBUDAYAAN
Walhal semua ini amat mudah jika peka dan prihatin serta berbudaya. Tidak perlu teguran Perdana Menteri yang sibuk dengan urusan ‘tandas’ lebih besar. Guru besar atau pengetua dan naib canselor sudah memadai. Itupun sudah tinggi tahapnya. Malangnya ini bukan budaya yang ada.
Bagaikan pahat dan pemukul. Pahat pun kurang tajam. Terpaksa dipukul beberapa kali, baru bergerak. Hatta tumpuan dialih ke makmal, perpustakaan, bilik sumber dan ruang aktiviti komputer. Tandas jauh sekali. Umpama ditiadakan sahaja!
Semasa pandemik sekalipun, tandas terbiar sahaja sungguhpun kebersihan menjadi tonggak utama memutuskan rantaian rebakan virus dengan tuntas. Tidak ada pihak yang ambil berat termasuk ibu bapa serta masyarakat umum.
Terkini, kedengaran saranan pembersihan tandas sebagai hukuman buat yang nakal. Atau pilih bulu kerana ada yang tidak setuju anak mereka membersih tandas. Sedangkan ini tidak dilakukan di rumah sendiri, mengapa pula di sekolah?
Oleh demikian, untuk membudayakan kebersihan amnya dan tandas khususnya akan menjadi bebanan budaya amat sarat sekali. Takut-takut pembudayaan sekadar melepaskan batok di tangga sahaja. Apatah lagi tiada markah atau ‘peperiksaan’ rasmi untuk direkod atau dipertontonkan. Lantas kebersihan masih di takuk lama. Melainkan Perdana Menteri turun padang termasuk tandas.
Ini belum lagi di jabatan-jabatan kerajaan dan penglibatan penjawat awam khususnya para guru sebagai teladan kepada pelajar. Semoga tiada lagi tandas jenis VIP (orang kenamaan) dan rakyat, atau guru dan murid kerana sama-sama bersih.
Yang dikumuhkan pun sama juga!
Apa pun, sudah ada contoh untuk memberi sedikit sinar harapan hasil daripada peraduan tandas terbersih antara institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta sempena Majlis Sambutan Hari Tandas Sedunia Peringkat Kebangsaan (2021/2022) anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menang dua hadiah utama melalui Kulliyyah Kesihatan Bersekutu di Kampus Kuantan sebagai juara, manakala Pusat Kajian Asasi di Kampus Gambang menjadi naib juara.
Malangnya, diberitakan tiada pemenang tempat ketiga kerana tiada yang layak dari mana-mana IPT lain. Kalau ini halnya, sememangnya ia amat mendukacitakan kerana seperti dikatakan, acap kali kita berkokok yang IPT kita kelas dunia itu dan ini. Bagaimana pula ekornya? Tidak kelas dunia? Betapa tidak, jika peraduan anjuran kementerian tidak pun terkesan!
Akhir sekali, pada hakikatnya kebersihan tidak terletak pada aspek luaran semata-mata jika ingin merasai tahap madani sebenarnya. Ia wajar dicermin juga oleh aspek dalaman yang suci murni, jiwa raga melewati enam rukun. Selagi aspek ini secara gabungan, tidak dapat membudayakan kebersihan, selama itulah kemelut kebersihan menghantui keimanan kita! – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










