DUA dekad lalu, Malaysia melalui Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) melunaskan satu amanah besar apabila membuka pintunya kepada para pelajar Bosnia, anggaran 100 orang. Ketika itu, Bosnia sedang menghadapi peperangan hebat dengan jirannya dan terpencil daripada bantuan antarabangsa. Namun, Malaysia tidak ketinggalan menghulurkan bantuan dengan menawarkan tempat belajar di UIAM.
Ia dipermudahkan sebagai satu langkah kemanusiaan serta amanah digenggam oleh UIAM khususnya kepada mereka yang tidak berpeluang melanjutkan pengajian kerana halangan tertentu. Apatah lagi dengan momokan terhadap umat Islam sebagai pengganas dan menyempitkan usaha mendapat tawaran belajar di negara-negara bukan Islam khususnya.
Inspirasi yang dibawa oleh Perdana Menteri ketika itu mendapat sokongan penuh daripada pelbagai pihak. Kesudahannya menjadi contoh berani dalam melunaskan fardu kifayah, sekali gus menyelamatkan sebuah negara yang cuba ditakluki oleh kuasa Barat. Usaha murni ini berjaya bukan sahaja dari segi pendidikan tetapi melebar kepada sektor lain dalam perkembangan dua hala. Ini diperluaskan lagi hasil daripada para alumni UIAM memegang tampuk kuasa serta pengaruh dalam menentukan kemakmuran bersama.
Pastinya sumbangan Malaysia dan UIAM terpahat dengan jelas sehingga hari ini. Namun, selepas ini keadaan agak reda secara perbandingan seantero. Kisah Bosnia ditelan zaman walaupun UIAM terus membangkitkan citra para pelajar yang tidak mampu. Pelajar antarabangsa turut diundang dan ditawarkan tempat untuk belajar dan berkarya. Bukan mencari ‘harta’ dan ‘angka’ seperti kini.
Maka lebih 100 pelajar mewakili negara mereka belajar di UIAM pada suatu ketika. Apa pun selepas tragedi 9/11 di New York melibatkan runtuhan dua bangunan tertinggi dunia, menyukarkan semula pelajar Muslim mencari peluang belajar. Dihantui aliran Islamofobia dunia Barat khususnya Amerika Syarikat (AS).
Kemudian cetusan kebencian golongan Muslim pelbagai negara di seluruh dunia. Baik dalam kalangan orang Muslim sendiri akibat sengketa antara mereka. Anak muda pantas menjadi mangsa pelarian melakar masa hadapan serta negara bangsa masing-masing.
Kenangan Bosnia mula mekar kembali apabila bilangan pelarian meningkat di pelosok dunia angkara peperangan tidak bersempadan. Ia menyaksikan jumlah pelarian terbesar yang tidak berdosa membawa untung nasib sendiri. Tanpa pelajaran dan pendidikan, nasib mereka lebih menggila. Menagih belas kasihan yang ada. Nasib sabut timbul, nasib batu tenggelam.
Tiada pelarian yang lebih buruk nasibnya selain golongan Rohingya dari negara tetangga Indo-China, antara terkejam kepada warganya berbanding bila-bila masa di bawah penjajahan Inggeris. Malah ada pihak di peringkat antarabangsa yang menganggap keadaan Rohingya mirip jenayah kemanusiaan sejagat. Mereka tidak peduli.
TANPA PRASANGKA
Mereka diusir dari tanah tumpah darah, beratus ribu ramainya ke negara jiran. Sekian ramai pula bertaburan jauh dan dekat termasuk Malaysia.
Bumi bertuah ini pernah menjadi persinggahan perantauan sejak lama sehingga ada yang mesra hidup bersama.
Rohingya tiada beda. Sudah ada juga yang cakna membanting tulang dalam hidup berkelana sekeluarga. Malaysia terkesan oleh mereka dan sebaliknya. Orang berbudi kita berbahasa – amalan kita. Jadi, mengapa Rohingya tidak dibela, sekurang-kurangnya memberi anak-anak mereka peluang membaca dan mengira? Lantas tercetuslah langkah insani menyekolahkan mereka sebagaimana anak-anak Bosnia terdahulu kala.
Semoga mereka turut berguna membentuk negara bangsanya. Menghentikan dusta yang dilontarkan kepada mereka oleh kerajaan durjana. Mereka ingin berjuang menegakkan hak berasaskan ilmu, bukan mengganas seperti didakwa – dakyah lama!
UIAM melakukan segalanya berasaskan wawasan universiti, iaitu memartabatkan kehidupan insan dan peradaban. Dan misi berbunyi, mengilhamkan pemimpin untuk kerahmatan seluruh alam. Maksudnya, menzahirkan seorang khalifah yang amanah dan berilmu serta membawa keberkatan untuk semua. Dengan cara tidak langsung, UIAM mencorakkan masa hadapan pendidikan sejagat melalui hikmah dan roh Islaminya tanpa perlu memanjat anak tangga liga penarafan dunia yang direka-reka. Rohnya tiada!
Jadi, jangan salah sangka. Terburu-buru buta. Hak kita terus terpelihara. Namun, hak yang teraniaya perlu dikota juga sebagai penyampai amanah seorang khalifah. Tidak perlu curiga atau syak wasangka. Bak kata Menteri Pendidikan Tinggi, melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam berdasarkan kelayakan dengan kuota terhad. Tidak dibuka sewenang-wenangnya dan tidak ada layanan istimewa diberikan kepada mereka. Nyahkan kebimbangan kerana pengawasan ketat dilakukan oleh kementerian, apatah lagi menggunakan dana daripada pihak Qatar untuk meyakinkan ketelusan serta kebertanggungjawaban.
Malaysia sebuah negara yang ramai pelajar antarabangsa datang untuk belajar, tidak melihat pengambilan pelajar Rohingya sebagai satu keganjilan. Perdana Menteri turut akur sebagai tuntutan melunaskan fardu kifayah bersama pihak Qatar yang mempunyai kepercayaan penuh terhadap negara ini dan universitinya.
Mengikut Penasihat Kementerian Pengajian Tinggi, pengambilan pelarian Rohingya akan bermula tidak lama lagi di UIAM dengan dibiayai menerusi sumbangan Dana Qatar Untuk Pembangunan berjumlah AS$50 juta (RM231 juta).
Justeru, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (Menteri Pendidikan Tinggi) meminta masyarakat simpati terhadap mereka untuk mengubah penghidupan. Sekali gus membantu mereka mencorakkan masa hadapan yang cerah.
“Tiada apa yang hendak ditakutkan, alangkah indahnya kita dapat menjadikan mereka manusia, takkan kita tiada sifat ihsan kepada mereka? Kita hendak jadikan mereka berjaya kerana mereka juga saudara Islam. Kalau balik negara akan dibunuh.
“Kalau kita dapat lahirkan mereka yang berjaya, mereka boleh betulkan masyarakatnya. Kalau kita tidak mulakan, mereka akan membiak dan menimbulkan masalah kepada kita,” kata Mohamed Khaled.
Semoga sejarah Bosnia berulang dan pendidikan Rohingya mengota janji pengorbanan menjelang Hari Raya Aidiladha yang menuntut pengorbanan paling suci. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).











