DIGITAL Nasional Berhad (DNB) yang ditubuhkan pada 1 Mac 2021 adalah anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan. Ia diberi mandat oleh kerajaan untuk menjadi pihak neutral tunggal bagi melaksanakan infrastruktur dan rangkaian 5G ke seluruh negara.
Pada hujung 2021, rangkaian 5G dilancarkan dengan menyediakan liputan di ibu negara, diikuti pelaksanaannya ke seluruh negara dalam jangka masa tiga tahun seterusnya.
Kejayaannya membanggakan di mana pada 2 Januari lalu, DNB mengumumkan pelaksanaan rangkaian 5G mencecah hampir 50 peratus liputan di kawasan berpenduduk (COPA) setakat akhir 2022 sekali gus melepasi sasaran awal sebanyak 40 peratus.
Pelaksanaan rangkaian 5G dijangka menelan belanja keseluruhan kira-kira RM16.5 bilion untuk 10 tahun. RM4 bilion akan disalurkan kepada Ericsson sebagai penyedia perkakasan rangkaian (NEP), RM7.7 bilion untuk pembangunan infrastruktur, RM3.6 bilion bagi perbelanjaan korporat dan operasi manakala RM1.2 bilion yuran kawal selia.
Model dilaksanakan oleh DNB dalam penyediaan 5G ialah rangkaian borong tunggal (SWN) tetapi pada Disember 2021 terdapat desakan untuk menukar model ini menjadi dwirangkaian borong (DWN).
Asas-asas yang biasa digunakan untuk mencadangkan penukaran ini ialah bagi mengelak kewujudan monopoli, memberikan transparensi serta inklusiviti. Pernah disebut kebimbangan DNB boleh bertukar menjadi 1MDB (1Malaysia Development Berhad).
Kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob waktu itu meredakan kebimbangan ini dengan menjelaskan perbezaan DNB dan 1MDB. Antaranya, kos pembangunan 5G ini adalah daripada pinjaman bank tanpa tanggungan gerenti dan liabiliti kerajaan.
Berdepan dengan tekanan, Ketua Pegawai Eksekutif DNB, Ralph Marshall mengakui pada 12 Februari 2022 bahawa DNB tidak akan mampu bertahan dalam bentuknya sekarang jika kerajaan membenarkan kewujudan pembekal rangkaian borong kedua. Turut menyokong waktu itu ialah seorang penasihat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Brett Haan yang menyatakan SWN DNB ialah model yang beliau cadangkan kepada negara-negara lain untuk digunakan, dan penukarannya akan memberi kesan negatif kepada Malaysia.
DIPLOMAT
Lima diplomat dari Amerika Syarikat, Jepun, United Kingdom, Australia dan ketua delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia juga mengutus surat kepada Menteri Kewangan waktu itu mengingatkan kepentingan menjaga keyakinan pelabur luar kepada Malaysia. Tiga pakar luar, iaitu Grant Forsyth, David Levin dan Profesor William Webb pula menulis artikel panjang lebar bagi menerangkan kebaikan SWN berbanding DWN.
Antara poin yang dinyatakan ialah DWN sebenarnya dikatakan tidak akan mendorong kepada peningkatan persaingan dan inovasi.
Lanjutan perbincangan kerajaan, Kementerian Kewangan serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengumumkan pada 16 Mac 2022 untuk mengekalkan SWN dengan membuka ruang bagi syarikat telekomunikasi memegang ekuiti dalam DNB. Kerajaan yang memiliki 100 peratus ekuiti DNB kini bersetuju menawarkan sehingga 70 peratus pegangan ekuiti DNB kepada syarikat telekomunikasi untuk membolehkan mereka terbabit dalam pelaksanaan rangkaian 5G negara, manakala kerajaan akan terus memegang 30 peratus.
Begitupun, setelah berlaku pertukaran kerajaan, mesyuarat Kabinet kerajaan perpaduan pada 7 Disember 2022 mengarahkan Kementerian Komunikasi dan Digital serta Kementerian Kewangan meneliti, menilai dan memberi cadangan tentang langkah-langkah perlu diambil ke atas pelaksanaan rangkaian 5G di seluruh negara.
Seterusnya pada 3 Mei lalu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengumumkan kerajaan akan memperkenalkan rangkaian kedua 5G melalui satu entiti baharu yang akan diwujudkan pada awal 2024 serta menukar model pelaksanaan 5G ketika ini daripada SWN kepada DWN.
Jelas beliau, pelaksanaan rangkaian 5G dengan model SWN melalui DNB akan diteruskan sehingga mencapai 80 peratus liputan kawasan berpenduduk menjelang akhir 2023 dan selepas itu, model SWN akan beralih kepada model DWN pada Januari 2024.
Sejak pengumuman ini dibuat, banyak maklum balas diberikan oleh pelbagai pihak. Di Parlimen, Rodziah Ismail dari Ampang bertanyakan sama ada keputusan ini boleh mengakibatkan kemudaratan seperti kemungkiran kontrak antarabangsa, pelanggaran tatakelola baik, risiko keselamatan siber, lonjakan implikasi kewangan kepada kerajaan dan kenaikan taraf 5G buat pengguna.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Jaring Communications Sdn. Bhd., Dr Mohamed Awang Lah percaya firma-firma telekomunikasi tidak boleh dibenarkan mempunyai infrastruktur 5G mereka sendiri kerana monopoli penting dalam aset penting negara.
Pemilik The Edge, Tan Sri Tong Kooi Ong pula mengeluarkan tulisan yang mempertikaikan sama ada langkah ini akan benar-benar meningkatkan persaingan antara firma-firma telekomunikasi dan memberikan harga internet lebih murah kepada rakyat. Kata beliau, ini sukar berlaku kerana DNB hanya boleh menjual borong kepada firma-firma telekomunikasi yang mengawal harga kepada pelanggan. Dan ini menjadi sebab mengapa SWN diwujudkan, iaitu untuk memecahkan pegangan oligopoli ke atas ekosistem selular.
Lebih penting lagi, DNB di bawah model SWN mampu berdiri sendiri dari sudut kewangan dengan pinjaman bank. Tetapi bila ada DWN sebagai pilihan maka kemampuan DNB untuk menjana kewangan akan bermasalah dan menyebabkannya berhadapan krisis kewangan.
Bila dibiarkan DNB bersaing dengan firma-firma telekomunikasi yang mungkin menawar harga lebih murah, maka pada akhirnya DNB akan menghadapi masalah dan terpaksa memindahkan beban itu kepada rakyat atau kerajaan.
Masih belum terlewat untuk kerajaan mengkaji dengan lebih teliti keputusan menukar model pelaksanaan 5G ketika ini daripada SWN kepada DWN. Memang ciri-ciri demokrasi seperti keterbukaan itu lazimnya bagus tetapi ada waktu dan ketikanya ia boleh merugikan negara. – UTUSAN
PENULIS ialah pembangun perisian bebas.











