PENGGUNAAN kalimah Allah dalam kalangan bukan Islam khususnya penganut Kristian menjadi satu isu yang membawa kepada perpecahan antara rakyat Malaysia sejak sekian lama.
Dalam surat bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 19 Mei 1986 ada disebut betapa Kabinet telah membincangkan perkara bahasa kebangsaan untuk agama Kristian dan memberi tanggungjawab kepada Timbalan Perdana Menteri, Tun Ghaffar Baba menentukan perkataan yang boleh diguna dan tidak boleh diguna.
Penggunaan kalimah-kalimah Allah, Kaabah, Baitullah dan solat, selain al-kitab, firman, rasul, syariat, iman, ibadah, Injil, wahyu, nabi, syukur, zikir dan doa telah diberikan tatacara dalam memo Ghaffar kepada Dr. Mahathir pada 16 Mei 1986.
Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri pada 2 April 2011 cuba mengemukakan penyelesaian 10 perkara bagi pertikaian ini. Antaranya membenarkan penganut Kristian mencetak, mengimport dan menggunakan kitab Injil berbahasa Melayu/Indonesia yang menggunakan kalimah Allah di dalamnya tetapi mensyaratkan mesti disertai logo ‘Penerbitan Kristian.’ Bagaimanapun, penyelesaian 10 perkara ini tidak terlaksana menyebabkan kes dibicarakan di mahkamah.
Salah satu kes tersebut melibatkan Jill Ireland yang memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mencabar penyitaan lapan cakera padat bertajuk Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah, Hidup Benar Dalam Kerajaan Allah dan Ibadah Yang
Benar Dalam Kerajaan Allah yang dirampas daripadanya pada 11 Mei 2008 di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang. Dalam permohonan kebenaran semakan kehakiman pada 20 Ogos 2008, beliau meminta dibuat perisytiharan mengenai hak perlembagaan berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan Kristian.
Dalam kes ini, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Nor Bee Ariffin memutuskan pada 10 Mac 2021 bahawa penganut Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab lain, iaitu Kaabah, Baitullah dan solat dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.
Nor Bee melalui penghakiman penuh setebal 96 muka surat pada 17 Mac 2021 menyifatkan arahan Bahagian Kawalan Penerbitan KDN adalah tidak konsisten, tidak sah dan tidak rasional kerana ia adalah pengharaman penuh dan ini bercanggah dengan keputusan Kabinet yang membenarkan kalimah Allah digunakan secara bersyarat.
Kemenangan Jill ini bagaimanapun dirayu oleh KDN dan kerajaan pada 12 Mac 2021. Tetapi kelmarin keadaan menjadi kecoh bila maklumat tersebar bahawa KDN dan kerajaan menarik balik rayuan terhadap keputusan tersebut di mana notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada 18 April lalu.
Lantaran itu, bergemalah bermacam-macam kecaman ke atas kerajaan seperti “Tindakan unilateral yang tidak menghormati Islam, perlembagaan dan institusi yang bersumpah serta dipertanggungjawabkan untuk memeliharanya pada semua masa” atau “Ia boleh menjejaskan kesejahteraan dan keseimbangan masyarakat berbilang kaum dan agama dalam negara ini.”
PAKATAN RAKYAT
Saya secara peribadi tidak terkejut dengan penarikan balik rayuan ini, malah mengalu-alukannya kerana ia selaras dengan gagasan Madani
Jika diteliti segala kenyataan Anwar sejak masih dalam Pakatan Rakyat (PR) lagi, jelas beliau komited dalam membenarkan kalimah Allah digunakan oleh semua pihak asal sahaja ia tidak disalahgunakan.
Anwar turut menjelaskan bahawa dasar PR adalah saling hormat-menghormati di antara penganut agama berbeza dan inilah juga dasar kerajaan perpaduan sekarang.juga salah satu prinsip gagasan Madani.
Dalam kenyataan lain pada 23 Januari 2013, Anwar menyebut terdapat kebimbangan mengenai penyalahgunaan kalimah Allah. Contohnya, konon ada pihak yang mengedarkan salinan Bible bahasa Melayu kepada kanak-kanak Islam, tetapi ditegaskan jika ini benar maka siasatlah dan dakwalah mereka yang terlibat.
Pada 16 Januari 2014 pula, Anwar menegaskan PR tetap berpegang kepada pendirian bahawa masyarakat bukan Islam di negara ini dibenar menggunakan kalimah Allah tetapi tertakluk kepada beberapa syarat, antaranya bukan dengan tujuan memurtadkan umat Islam.
Malah, pendirian PR ini diperkukuhkan oleh kenyataan akhbar berulang kali Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang. Antaranya yang terkenal ialah pada 4 Januari 2010 dan 8 Januari 2013 selepas Mesyuarat Majlis Presiden PR bahawa “Islam tidak menghalang penganut agama lain menggunakan kalimah Allah dalam amalan mereka” cuma ia “tidak wajar disalah gunakan oleh pihak lain terhadap masyarakat Islam sehingga menimbulkan kekeliruan.”
Abdul Hadi malah menyebut penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam dalam al-Quran (Ali-Imran: 64) sebagai dalil hujah beliau ini.
Malah, pada 12 Mac 2021 pun Abdul Hadi masih menyebut, “Orang bukan Islam, termasuk yang melantik banyak Tuhan atau ateis, tidak harus dilarang menyebut atau menulis kalimah Allah walaupun mengikut kepercayaan masing-masing” asalkan bukan bertujuan mengelirukan atau menghina penganut Islam.
Oleh itu, semua pihak termasuk Pas tidak harus bermain politik dalam isu ini. Berpeganglah dengan kebenaran yang telah dinyatakan sebelum ini.
Sudah sampai masanya untuk isu ini diselesaikan selama-lamanya bagi keharmonian negara dan penarikan balik rayuan ini adalah langkah tepat ke arah itu.
Langkah KDN mengkaji dan mengemas kini satu arahan yang lebih menyeluruh bagi menangani isu penggunaan kalimah Allah, Baitullah, solat dan Kaabah agar selari dengan kepentingan dan kemaslahatan masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia adalah satu langkah tepat yang perlu disokong bagi menyelesaikan isu ini. – UTUSAN
DR. Mazlan Che Soh ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban.










