MUKADIMAH
SOALAN pertama temu bual dengan Ketua Pegawai Strategi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), NURHISHAM HUSSEIN adalah mengenai desakan pelbagai pihak termasuk ahli politik yang menghumbankan idea supaya pencarum dibenarkan membuat pengeluaran kali kelima.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL dan NIZAM YATIM, Nurhisham yang berkelulusan dalam bidang ekonomi dan sains politik menasihatkan niat itu tidak diteruskan kerana kesan teruk kepada pencarum dan agensi tersebut yang kini mengendalikan aset bernilai RM961.1 bilion apabila tidak dapat melabur sebanyak dikehendaki pada masa depan yang boleh menjejaskan pendapatannya.
Ia sama seperti nasihat pakar strategi ketenteraan terhebat dari China, Sun Tzu, iaitu pedang terbaik (caruman KWSP) yang dihumbankan ke dalam air laut yang masin akhirnya akan berkarat (susut) juga.
Setelah mendengar penjelasan hampir sejam beliau di ibu pejabat baharu KWSP di Kwasa Damansara, Shah Alam, Selangor baru-baru ini yang turut disertai jurufoto, SHIDDIEQIIN ZON, sempat kami berseloroh bahawa ‘rakyat barangkali tidak akan terkilan’ jika tidak dapat mengeluarkan caruman sekali lagi.
ANGUNAN BAHARU PUN KWSP SEWA
UTUSAN: Masih ada pihak yang mempertikai kenapa KWSP tidak membenarkan pengeluaran terbaharu sedangkan ia boleh pula membina bangunan baharu?
NURHISHAM: Bangunan ini kita sewa. Ia memang dibangunkan oleh KWSP tetapi kita letak di bawah subsidiari kita. Kita sewakan daripada subsidiari. Kalau kita bayar sewa, itu sudah dikira pendapatan untuk ahli. Jadi, bangunan ini pun kita buat dalam cara menjana pendapatan untuk ahli. Jadi, apa-apa sewa yang KWSP bayar dikira masuk dalam dividen tahunan.
8 JUTA PENCARUM KURANG RM10,000
Apakah yang dkhuatiri oleh KWSP jika berlaku pengeluaran kali kelima?
Isunya bukan untuk kita sebagai institusi tetapi kita risaukan simpanan ahli. Sebab sudah lebih 50 peratus (akaun pencarum) kurang daripada RM10,000. Macam mana nak bersara dengan jumlah itu? Ia akan menjejaskan lagi simpanan persaraan yang sudah teruk sekarang. Sebelum Covid-19 pun sudah teruk, sekarang lagi teruk.
Bandingkan kalau keperluan untuk persaraan adalah RM600,000 di Lembah Klang, berbanding dengan apa yang pencarum ada sekarang. Bila kita tengok nak buat pengeluaran penuh, simpanan pertengahan dalam lebih RM50,000 sahaja.
Jumlah ini kalau dikira 20 tahun (jangka hayat) baru RM200 sebulan.
Kita risaukan dengan jumlah itu tak ke mana, tiga empat tahun habis. Kalau duit itu digunakan untuk menyelesaikan baki penuh pinjaman rumah, tinggal lagi sedikit. Bagaimanapun, kita tidak boleh buat apa sebab duit itu telah menjadi hak ahli apabila genap umur 55 tahun.
BUMIPUTERA KURANG CELIK KEWANGAN
Kaum manakah yang paling banyak buat pengeluaran sebelum ini?
Daripada keempat-empat i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan Pengeluaran Khas, sebanyak 80 peratus yang membuat pengeluaran ialah bumiputera. Kalau dikira keahlian kita, bumiputera hanya 60 peratus sahaja.
Saya rasa ada dua faktor kenapa ini berlaku. Faktor pertama, bumiputera dia punya pengetahuan pasal kewangan itu kurang dalam menentukan mana yang bagus sekali. Banyak orang kita, dia suka (keluarkan caruman) untuk beli emas dan skim pelaburan cepat kaya. Pada saya pendidikan kewangan itu sangat penting.
Satu lagi faktor, saya rasa bumiputera memang dia vulnerable (rentan) sikit. Ramai yang berniaga sendiri, membuat pekerjaan tidak formal yang tidak bergaji (tetap) termasuk bekerja sekejap dan kemudian menjadi suri rumah. Mereka ini keluar masuk daripada sistem (pekerjaan). Sebab itu ramai orang ada akaun dekat KWSP tetapi tak semestinya mencarum.
Bila kita tengok pencarum aktif, dalam keseluruhan kita ada 16 juta ahli, setengah atau lapan juta sahaja yang mencarum tiap-tiap bulan. Jadi, simpanan mereka sedikit.
Bagaimanakah cara untuk memastikan jumlah simpanan dalam akaun KWSP lebih banyak?
Kita telah beberapa kali mencadangkan kepada kerajaan tetapi belum diluluskan supaya sebaik sahaja umur 18 tahun, individu terbabit akan mendaftar secara automatik dengan KWSP. Walaupun tidak bekerja lagi, ibu bapa boleh mencarum ke dalam akaun anak-anak mereka. Sekarang ini dari umur 15 tahun pun yang dikira umur bekerja sudah boleh buka akaun KWSP, tetapi tidak secara automatik.
UMUR 55 TAHUN BERJAGA-JAGALAH
Boleh komen ramai yang mengeluarkan caruman penuh telah ditipu sindiket pelaburan ‘kayangan’ dengan wang dilaburkan paling minimum RM250,000?
Kita ada khidmat penasihat persaraan dekat tiap-tiap cawangan. Bila sampai umur 55 tahun, ahli datang kepada kita, ada penasihat kita yang akan bertanya kepada pencarum macam mana mereka nak rancangkan kegunaan wang terbabit.
Berkaitan isu ditipu skim pelaburan palsu, kalau sudah umur 55 tahun, tak boleh ambil risiko tinggi. Pulangan tinggi itu memang risiko tinggi. Memang kita kena nasihatkan, kena berjaga-jaga sikit.
Dalam pada itu, kita juga nasihatkan bahawa membayar hutang itu memang penting kerana kita tak nak liabiliti. Tetapi juga kita kena ingat, perlu ada pengeluaran untuk menampung kehidupan seharian seperti membayar makanan dan untuk berjalan. Semua kena ada. Jadi, membuat perancangan kewangan itu memang penting sangat.
Dalam menentukan hutang mana hendak diselesaikan dahulu, kalau kadar faedah pada hutang itu kurang daripada kadar dividen dekat KWSP, lebih baik pencarum membuat pengeluaran berkala pada tiap-tiap bulan untuk membayar ansuran.
Lebih baik buat macam itu daripada kita bayar sekali gus pasal rugi kerana dividen kita masih berjalan sampai umur 100 tahun.
SELEPAS 55 TAHUN TERUS MENCARUM
Adakah ini bermaksud boleh tidak keluar semua wang apabila genap umur 55 tahun?
Ya, pencarum boleh simpan duit dalam akaun KWSP sampai umur 100 tahun. Kalau keluar habis, tak ada dividen. Lepas umur 55 tahun itu, bila-bila boleh keluarkan, jadi tidak perlu nak cepat-cepat keluarkan semua.
Sebab ada orang salah sangka umur 55 itu memang kena keluarkan semua. Boleh sahaja keluar sedikit dahulu, manakala yang masih tinggal dalam akaun, dividen masih lagi berjalan. Jadi, tak payahlah fikir dari segi pelaburan lain.
Ramai juga yang masih mencarum lepas persaraan secara sukarela. Sebab mana lagi nak dapat dividen lima peratus. Ramai juga yang tidak jadi keluar semua setelah mendapat nasihat daripada penasihat persaraan kita.
POTONGAN 20% MAJIKAN ATAU NAIK GAJI?
Nampaknya ramai majikan yang membantah cadangan menaikkan kadar caruman KWSP bahagian majikan kepada 20 peratus berbanding 13 peratus ketika ini?
Itu bukan cadangan daripada kerajaan dan KWSP. Ia daripada Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC). Pada saya, lebih baik kita tumpukan kepada kenaikan gaji termasuk gaji minimum.
Pada masa sekarang, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tidak bayar gaji minimum. Impak daripada gaji minimum itu lebih besar daripada menaikkan kadar potongan caruman majikan. Bila kita naikkan gaji minimum itu, gaji-gaji lain di peringkat atas akan naik.
Jadi, impak dia lagi besar. Pada saya, kalau dinaikkan daripada RM1,200 hingga RM1,500, ia seolah-olah lebih kurang macam kita naikkan kadar caruman kepada 20 peratus. Tetapi pendapatan kepada pekerja itu lagi tinggi pasal dia boleh bawa ke rumah (tidak simpan KWSP).
Jadi, pada saya kadar caruman itu, kalau naikkan baik. Tetapi saya rasa lebih baik kita tumpukan kepada gaji minimum supaya living wage (gaji kehidupan) mencukupi. Kita ada membuat kajian dengan Universiti Malaya (UM) tidak beberapa lama dulu, berapakah seseorang itu perlu ada pendapatan untuk hidup dekat Lembah Klang. Jadi, untuk seorang individu (bujang) yang menggunakan pengangkutan awam dalam RM1,900 sebulan. Tetapi kalau ada kereta, pendapatan yang diperlukan dekat RM2,700 juga. Kalau dua orang, tidak silap saya lebih RM5,000; kalau ada anak seorang naik kepada RM6,000 dan kalau anak dua orang dekat RM7,000.
BEZA PESARA DI KUALA LUMPUR DAN KOTA BHARU
Apakah jumlah simpanan yang betul-betul diperlukan untuk persaraan?
Simpanan yang diperlukan untuk pesara berusia 60 tahun yang tinggal di Lembah Klang kalau seorang sahaja adalah RM600,000. Kalau duduk di Kota Bharu dan Alor Setar kurang sedikit iaitu RM500,000 seorang, tetapi masih lagi tinggi.
Angka RM600,000 itu banyak kos yang kita masukkan iaitu makanan, perumahan dan perubatan yang biasa-biasa sahaja. Tidak termasuk rawatan diabetes, dialisis dan kanser serta hutang-hutang lain. Kalau tiap-tiap bulan dekat RM3,000 juga. Ini berdasarkan jangka hayat sehingga 20 tahun selepas itu atau umur 80 tahun. Kalau ada isteri, kena tambah lagi RM1,000 sebulan, jadi simpanan itu sudah dekat RM1 juta.
T20 ITU KAYAKAH?
Pandangan anda sebagai pakar strategi terhadap laporan ada kumpulan berpendapatan tinggi (T20) menolak tawaran menunaikan haji dengan alasan kurang mampu kerana tidak menerima subsidi?
Bila kita tengok konsep kemiskinan, ia kena ikut kandungan isi rumah. Bukan ikut isi rumah sahaja. Jadi, kalau ada empat orang dalam rumah itu, pendapatan dalam RM5,000 hingga RM6,000 sudah dikira golongan berpendapatan sederhana (M40).
Tetapi kalau kirakan daripada keperluan dia orang, mereka sudah masuk dalam kategori orang miskin. Jadi, tidak boleh kira ikut isi rumah sahaja kerana kandungan isi rumah berlainan.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memang buat bancian tentang isi rumah ini setiap dua tiga tahun sekali. Konsep isi rumah digunakan bagi mengira pendapatan, tetapi kena (kira juga) berapa orang dalam isi rumah. Ada isi rumah ada seorang sahaja, ada isi rumah ada lima hingga tujuh orang, ada yang sampai 20 orang.
Yang peliknya, bila kita tengok konsep T20, M40 dan B40 ini, kalau kita tengok penghuni rumah panjang di Sarawak, macam mana mereka dimasukkan dalam kategori T20 (pendapatan isi rumah mereka melebihi RM10,971 sebulan)?
Sebab ada lima orang, tujuh orang yang ada pendapatan (yang tinggal dalam satu rumah dan semua pendapatan dicampur). Jadi, T20 bukan bermaknanya kaya. B40 (berpendapatan RM4,850 sebulan dan ke bawah) tak bermakna dia miskin.
Boleh jelaskan lebih lanjut kerana ramai yang keliru soal ini?
Macam ini, kalau ada lima atau enam orang (ahli) keluarga duduk satu rumah, tiap-tiap seorang itu pendapatan lebih RM2,000 yang jika didarab enam sudah RM12,000 dan isi rumah itu sudah dikira masuk T20 sedangkan mereka bukan kaya.
Isi rumah ini bukan dikira pendapatan ibu bapa sahaja, kalau ada orang gaji yang dibayar RM2,000 pun dimasukkan dalam kiraan pendapatan isi rumah. Kalau ada anak sudah dewasa yang bekerja duduk sekali juga dikira. Jadi, bagi saya kategori B40, M40 dan T20 ini tidak tepat sangat untuk kita asaskan sesuatu dasar kerana ia tidak melihat kandungan isi rumah.
Kena tengok betul-betul apakah isi kandungan rumah itu. Kalau ada anak, memang keperluan dia tinggi, tiap-tiap seorang anak itu. Jadi, kita tengok golongan T20 itu tidak bermakna kaya, golongan B40 tak bermaknanya miskin.
Ramai orang kata B40 ini banyak subsidi, kena banyak tolong, tidak semestinya. Bagi saya kategori B40, M40 dan T20 untuk DOSM buat analisis sahaja. Kalau kita nak buat dasar untuk membasmikan kemiskinan, apa semua, kita kena lebih teliti.
Perdana Menteri ada menyebut pengguna domestik yang menggunakan elektrik berlebihan akan dikenakan caj tarif semasa dan tidak diberikan subsidi?
Pada saya, dalam menentukan sesuatu dasar seperti tarif elektrik senang sahaja. Kalau awak guna lebih, kena bayar lebihlah. – UTUSAN










