Raja yang mengatur bidak

Raja yang mengatur bidak

UMNO harus memainkan peranan supaya matlamat mencapai negara maju berpendapatan tinggi tidak direnjatkan oleh kepentingan politik sesetengah pihak dengan meneruskan dasar-dasar yang baik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KIRA-KIRA dua minggu lalu, dilaporkan lebih 8,000 orang berkumpul dalam Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur atau lebih dikenali sebagai Rumah UMNO.
Buat pertama kali juga, pemimpin serta penyokong DAP hadir secara rasmi di rumah keramat bangsa ini.

Rata-rata kelihatan masih canggung untuk duduk bersebelahan kerana lebih 65 tahun tidak boleh bertikam bayang. Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mengubah segala-galanya, dari tidak suka membawa ke ‘jenjang pelamin’.

Kepentingan bersama menjadi ikatan untuk parti-parti politik bergabung, bagaimanapun kesepakatan ini adalah disebabkan keterpaksaan kerana berhadapan dengan musuh yang sama walau matlamat amat berbeza. Kini, UMNO berada dalam kerajaan perpaduan ditunjangi Pakatan Harapan (PH) yang mempunyai 82 kerusi.

Alasan untuk mewujudkan kestabilan politik melalui kerajaan perpaduan masih boleh dipersoalkan. Sebagai contoh, di mana berlaku kestabilan politik melalui perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) yang dilakukan oleh kerajaan Australia dan Britain sebelum ini.

Kerajaan dan pembangkang mencapai kata sepakat untuk meluluskan undang-undang penting bagi memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terbela.

Sepertimana pernah saya lakukan pada 13 September 2021, kerajaan dan blok terbesar pembangkang, PH menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik merangkumi enam perkara termasuk Pemerkasaan Pelan Covid-19, Transformasi Pentadbiran serta Pembaharuan Parlimen.

Selain itu, tiga lagi adalah Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu untuk memastikan MoU ini berjalan lancar.

Selepas MoU tersebut ditandatangani, kerajaan berjalan lancar dan stabil walaupun ada pembangkang. Banyak keputusan yang dibuat dipersetujui sebulat suara seperti Belanjawan 2022, Rancangan Malaysia Ke-12, Pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan Perjanjian MA 63 dan Undang-Undang Anti Lompat Parti.

Apakah konvensyen parti-parti kerajaan perpaduan di WTC terselit agenda bagi pihak tertentu kerana ia diadakan di Dewan Merdeka yang selama ini menjadi pentas kepada UMNO dalam menentukan hala tuju parti atau sememangnya UMNO menjemput parti-parti ini atas perhitungan kepemimpinan UMNO sahaja yang tahu? Banyak sungutan daripada pendukung dan ahli UMNO di peringkat akar umbi.

Semua wakil parti berucap dengan penuh keyakinan terhadap perjuangan dan tindak tanduk mereka. Begitu pun, terdapat wakil UMNO begitu apologetik yang boleh ditafsirkan tunduk kepada parti-parti PH.

Pemimpin UMNO tidak boleh apologetik sehingga rakyat menafsirkan seolah-olah parti itu melakukan kezaliman sebelum ini. Beberapa tindakan dalam Dewan Merdeka juga sebenarnya sebagai manifestasi untuk menggambarkan siapa yang paling berkuasa dalam kerajaan perpaduan.

Sedangkan UMNO adalah parti terbesar dari segi jumlah keahlian dan memimpin negara ini lebih separuh abad sehingga berjaya membina tamadun bangsa.

Berdasarkan Laporan Kompetitif Global oleh Forum Ekonomi Dunia pada 2018, Malaysia diiktiraf sebagai sebuah negara paling pesat membangun di Asia.

Parti ini telah menunjukkan bukti dan keupayaan untuk membina negara seperti mana kemakmuran yang kita kecapi pada masa sekarang kerana mempunyai matlamat dan hala tuju yang jelas.

HIASAN
Justeru, UMNO tidak boleh hanya menjadi hiasan untuk menubuhkan kerajaan di mana saya meminjam bahasa Presiden UMNO bahawa UMNO adalah pelengkap, manakala Timbalan Presiden UMNO mengingatkan ahli-ahli parti bahawa UMNO hanya penumpang dalam kerajaan ini. Apatah lagi ada ucapan seolah-olah memberi amaran kepada ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) bahawa tindakan menarik sokongan tidak akan memberi kesan kepada kedudukan kerajaan.

Perkara utama harus dilakukan ialah mengubati hati ahli-ahli akar umbi yang terluka dengan ‘perkahwinan paksa’ ini, sesuatu yang sangat pahit untuk ditelan.

Tidak salah untuk UMNO khususnya sayap Pemuda mengkritik mana-mana tindakan kerajaan yang menimbulkan kegusaran rakyat. Memang tradisi Pemuda UMNO sejak dahulu, berani menyatakan pendirian atas kepentingan parti dan rakyat, namun mutakhir ini budaya itu semakin hilang.

Janganlah Pemuda UMNO hanya menjadi sebagai burung kakak tua dan jurucakap kepada kepemimpinan biarpun di luar kemahuan ahli. Lebih malang apabila Pemuda menjadi jurucakap kepada parti lain dalam gabungan yang tidak menguntungkan UMNO.

Justeru, kita tidak mahu rakyat melihat UMNO sebagai parti yang hanya kuat berkokok untuk mendamaikan diri sedangkan usaha membina keyakinan rakyat masih belum terlaksana.

Apakah UMNO akan mendapat laba daripada penggabungan tenaga dengan PH dan rakan-rakan lain pada masa hadapan?

Apakah keuntungan itu akan dirasai semasa pilihan raya negeri (PRN) di Kedah, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang pada Julai atau Ogos ini?

Mungkinkah UMNO boleh menentukan hasratnya dalam mendapatkan kerusi-kerusi ditandingi dalam PRU14 sedangkan kedudukannya hanyalah pemegang saham yang kecil dalam pakatan ini?

Percaturan politik bukan sekadar ditambah jumlah undi kedua-dua parti dalam pilihan raya sebelum ini tetapi ia menjangkaui lebih daripada itu.

Walau apa pun terjadi, rakyat menjadi keutamaan. Dan harus ditegaskan, kerajaan sebelum ini telah meletakkan sasaran yang jelas melalui dasar jangka panjang untuk membina sebuah negara bangsa.

Kita sudah berjaya keluar dari kemelut pandemik. Kita sudah berada pada landasan tepat untuk mencapai negara maju berpendapatan tinggi pada 2025 melalui dasar-dasar yang telah dirancang sebelum ini.

UMNO harus memainkan peranan supaya matlamat ini tidak direnjatkan oleh kepentingan politik sesetengah pihak. Dasar-dasar yang baik harus diteruskan.

Malah wakil-wakil UMNO dalam kerajaan perlu lebih peka dengan perkara-perkara sensitif seperti isu kalimah Allah tidak seharusnya muncul kerana ia hanya menganggu gugat kestabilan.

Negara memerlukan kestabilan untuk memastikan kemakmuran dari semua aspek dapat dinikmati.

Dinamika politik hari ini juga meletakkan UMNO dalam keadaan amat sukar. Hanya lima wakil dalam Kabinet, sukar untuk menjadi raja yang mengatur bidak.

Maka sudah sampai masanya UMNO bangkit kembali membina kekuatan dan tidak takut untuk menegur demi kebaikan bangsa dan tanah air.-UTUSAN

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob ialah bekas Perdana Menteri Kesembilan dan kini Ahli Parlimen Bera.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.