Nak ke Sultan Hassanal Bolkiah, Jokowi sekali lagi ‘buka pintu’ istana? - Utusan Malaysia

Nak ke Sultan Hassanal Bolkiah, Jokowi sekali lagi ‘buka pintu’ istana?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KALAU cakap bab politik, bukan saya sahaja muak, penat, mual dan bosan. Buatlah berapa banyak pun survey, rasanya 100 peratus anak Malaysia ketika ini pun rasa yang sama.
Sejak pentadbiran 1Malaysia membawa kepada Malaysia Madani, tak habis-habis ‘perang’ bab politik. Tak penatkah? Sampaikan Dewan Rakyat dicap macam zoo. Malulah.
Ini ada ura-ura mahu tukar lagi kerajaan, hendak tukar lagi Perdana Menteri. Joko Widodo (Jokowi), sepanjang jadi Presiden Indonesia, sudah berapa kali ‘buka pintu’ Istana Bogor, buat majlis menyambut Perdana Menteri Malaysia yang baharu. Hari itu Tun Dr. Mahathir Mohamad, ‘buka pintu’ lagi di Istana Bogor nak sambut lawatan rasmi Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Tak lama itu, kena buka lagi pintu Istana Bogor nak sambut Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Datang pula Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kalau saya Presiden Jokowi, (baca dalam hati): “Kerja aku ini asyik kena sambut lawatan Perdana Menteri Malaysia sahajakah?” Agaknya, Sultan Hassanal Bolkiah dan Lee Hsien Loong juga bercakap perkara sama.
Esok lusa kalau tumbang Kerajaan Perpaduan, nak kena lantik Perdana Menteri yang baharu. Kalau begitu, takkan nak pi ‘ketuk’ Istana Bogor lagi? Takkan nak pi ‘tekan loceng’ pintu Istana Nurul Iman lagi? Takkan nak call Recep Tayyip Erdogan nak kena beritahu ‘Saya PM baharu Malaysia’? Erdogan pun garu kepala.
Kalaulah saya Erdogan, Xi Jinping (Presiden China) atau Vladimir Putin (Presiden Russia), lebih baik ‘intai’ negara lain untuk halakan nilai-nilai pelaburan, berbanding Malaysia. Rugikan? Itupun tak boleh fikir?
Namun, satu nak pesan kepada Kerajaan Perpaduan, buatlah apa sahaja untuk gembirakan rakyat. Takkan nak bagi ‘bola tanggung’ kepada pembangkang mainkan isu-isu rakyat? Sepatutnya Kerajaan Perpaduan diketuai pemimpin yang telah banyak melalui liku-liku hidup bersama rakyat di pentas jalanan, lebih memahami kehendak rakyat.
Kalau rakyat mahu pengeluaran KWSP secara bersasar, beri sahaja. Kadang-kadang, tak jatuh maruah kalau menuruti cadangan sesiapa sahaja, waima pembangkang atau bekas Perdana Menteri. Nanti dah tua, pandai-pandailah mereka uruskan kehidupan dan kalau rakyat hendak harga minyak turun, cari formula terbaik menepatinya.
Ini adalah masanya mencari kesepakatan. Bina semula negara dan masa depan rakyat yang lebih baik. Lagi satu dalam berpolitik, janganlah benci sebenci-bencinya antara satu sama lain, kelak nanti terpaksa ‘jilat’ semula kebencian itu. Contoh, sudah ada bukan?
Negara lain sudah buat macam-macam. China, kini kuasa ekonomi dunia. Singapura, Lapangan Terbang Antarabangsa Changi sudah jadi nombor satu dalam dunia, Filipina pun dah boleh kalahkan Malaysia dalam sukan badminton. Kita? Tak habis-habis berpolitik.
Ethiopia yang dahulunya menjadi simbol kemiskinan pun boleh memajukan industri penerbangan komersialnya sehingga Ethiopian Airlines dinobat ‘Best Airline in Africa’. Pesawatnya pun hebat-hebat. Kita? Kedudukan KLIA pun menjunam. Masih hendak bertekak hal-hal politik? Bak kata Buya Hamka: “Orang berakal hidup untuk masyarakatnya, bukan buat dirinya sendiri”.

PENULIS ialah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya