BANYAK butiran menarik dipertuturkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai usaha memajukan Kelantan sempena Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di Kota Bharu, Jumaat lalu. Antara yang utama ialah kesediaan kerajaan perpaduan untuk menangani masalah berkaitan bekalan air kepada pengguna di negeri itu. Juga disebut tentang kemiskinan tegar di Kelantan yang akan dinoktahkan tahun ini.
Kata Perdana Menteri, banyak usaha diambil kerajaan perpaduan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat Kelantan. Sebanyak 107 projek baharu dihulurkan oleh kerajaan Pusat ke negeri berkenaan tahun ini. Angka yang terbanyak pernah diserahkan Kerajaan Persekutuan ke Kelantan.
“Tahun ini sahaja bagi meningkatkan akses kemudahan perubatan kepada komuniti setempat dan mengurangkan kesesakan pesakit di fasiliti kesihatan sedia ada, kerajaan membaik pulih dan menaik taraf klinik kesihatan di seluruh Kelantan merangkumi 38 fasiliti dengan belanja sebanyak RM9.3 juta.”
Sementara itu, dalam sektor pendidikan, sebanyak 50 projek pembangunan semula bangunan daif di sekolah-sekolah diluluskan dengan peruntukan RM175.97 juta.
Kajian dibuat untuk dilaksanakan projek membendung masalah banjir yang kerap dialami rakyat Kelantan. Projek Pembangunan Lembangan Bersepadu Sungai Golok Fasa 2 dan 3 dengan anggaran kos RM5.961 bilion dan Jambatan Palekbang akan diputuskan pada Jun depan.
Apa yang jelas, projek-projek pembangunan yang diumumkan Perdana Menteri selari dan menepati aspirasi Al Sultan Kelantan. Semasa merasmikan istiadat pembukaan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada 28 Mac tahun lalu, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menitahkan supaya disegerakan pelaksanaan projek-projek pembangunan untuk kesejehteraan rakyat Kelantan.
Titah baginda, sejak sekian lama rakyat negeri itu ternanti-nanti sinar baharu kehidupan yang menjanjikan anjakan kemajuan dan kemakmuran, tidak hanya terbuai dengan cukup sekadar ala kadar.
Tuanku Al Sultan mahu Kelantan dibangunkan dengan berkesan. Titah baginda, Kelantan tidak mampu terbiar dengan dendangan miskin, mundur dan ketinggalan secara berterusan.
HADIAH RAYA
Semasa di Kelantan, Jumaat lalu juga, Perdana Menteri mengumumkan, lebih RM103 juta diperuntukkan kepada imam, bilal, siak, guru takmir dan guru kelas al-Quran dan fardu ain (KAFA). Anwar berkata, kerajaan secara jelas mahukan agensi Islam menjadi contoh terbaik dari segi kecekapan pengurusan dan tata kelola. Beliau mahu aspek integriti perlu sentiasa dititikberatkan.
Hanya kerana berkebetulan apa yang disebutkan Perdana Menteri itu sempena dalam majlis atau musim sambutan hari raya, maka ada yang mengaitkannya seolah-olah ‘hadiah raya’ kepada rakyat Kelantan. Namun, jika diamati secara umum, cadangan untuk memacu kemajuan Kelantan serta memberi kelegaan kepada seluruh rakyat negeri itu ternyata sudah berada dalam ingatan dan perancangan kerajaan perpaduan sejak mula mengurus tadbir negara.
Sudah enam bulan usia kerajaan perpaduan, tentu sedikit sebanyak dalam toleh pandang mereka di Putrajaya dapat mengesan keperluan rakyat terutama di negeri-negeri seperti Kelantan yang dianggap agak lama ketinggalan.
Kenapa masih ada istilah lama ketinggalan? Padahal, bukan sedikit bantuan Kerajaan Persekutuan sentiasa mengalir turun ke negeri itu saban tahun. Ertinya tidak pernah timbul dan tidak perlu diungkit soal menganaktirikan dalam konteks layanan diberi oleh kerajaan Pusat ke Kelantan meskipun asas ideologi politiknya berbeza.
Kenyataannya, Pas telah mendominsi pemerintahan Kelantan sejak lebih tiga dekad lalu. Pas juga pernah menyertai pentadbiran Kerajaan Persekutuan beberapa tahun. Jadi, memang terbuka ruang untuk rakyat menanyakan sejauh mana keupayaan sebenar kerajaan di bawah Pas dapat membangunkan Kelantan sebagaimana diharapkan.
Dan, jangan salahkan rakyat jika ada suara-suara dalam kalangan mereka yang mula bimbang, sangsi, “Walau sebanyak mana projek diberi, tanpa urus tadbir mantap di peringkat negeri, tentu segalanya sukar menjadi.”
Rakyat menyambut baik jaminan Perdana Menteri untuk diketepikan isu klise perbezaan politik tidak sepatutnya menjejas penyelarasan pembangunan untuk rakyat. Namun hakikatnya, rakyat tetap melihat dan sudah dapat membuat pendirian bahawa perbezaan asas politik di antara kerajaan Pusat dan negeri banyak mempengaruhi, terjejas dan terencatnya penyelarasan tadbir urus di antara kedua-dua pihak. Selera dan sentimen pucuk pimpinan di antara kedua-dua pihak tetap berbeza.
Rakyat dapat melihat dan mengukur dengan jelas. Hanya pemastautin tetap (bukan kalangan pengundi luar) tahu menilai makna selesa dan maju di Kelantan. Mereka sahaja yang saban waktu mengalami masalah keselesaan prasarana termasuk kekurangan bekalan air bersih, akses jalan yang sesuai serta pelbagai kemudahan lagi.
Asyik berlapik helah, bersandar alasan tidak mungkin menemukan penyelesaian. Justeru, buatlah pilihan tepat tanpa mengulangi langkah yang silap. Kemajuan bukan terletak pada slogan, tetapi biarlah terhasil pada kenyataan. – UTUSAN
DATUK Sayuti Mukhtar ialah Profesor Adjung Universiti Malaysia Kelantan.










