Makan gaji dulu sebelum berniaga sendiri

Makan gaji dulu sebelum berniaga sendiri

PENULIS (baris depan, kanan sekali) mengikuti rombongan Dewan Perniagaan dan Industri Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCCCI) melawat kilang tepung Malayan Flour Mills Berhad di Pulau Pangkor pada 1988.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM beberapa tahun belakangan ini, seluruh dunia menyaksikan kemunculan ekonomi gig sebagai trend ekonomi terbaharu yang menawarkan peluang pekerjaan tidak terhingga kepada generasi muda.

Begitu juga keadaannya di Malaysia, ratusan ribu warganegara menceburi sektor gig sebagai penjual, penghantar bungkusan serta makanan, pemandu e-hailing dan sebagainya.

Ekoran berlaku pandemik Covid-19 pada Mac 2020, golongan pekerja tempatan terlibat dalam ekonomi gig dalam tempoh dua tiga tahun lalu telah memperoleh pendapatan lumayan di samping menikmati faedah fleksibiliti bekerja yang memuaskan hati. Oleh hal demikian, tidaklah hairan mengapa dalam kaji selidik dikendalikan baru-baru ini mendedahkan kini generasi muda dalam kalangan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lebih cenderung memilih untuk melibatkan diri dalam sektor ekonomi gig daripada melanjutkan pelajaran di universiti.

Sebagai siswazah tua yang selesai pengajian dari sebuah universiti tempatan pada penghujung 1980-an, saya berbesar hati untuk berkongsi sedikit pengalaman bekerja dengan para pembaca muda di sini.

Sekitar 1985 hingga 1990, Malaysia dilanda kegawatan ekonomi yang sangat serius. Pada 1985, harga komoditi utama seperti petroleum, kelapa sawit dan timah jatuh tenat di pasaran dunia rentetan kelembapan ekonomi dunia. Keluaran

Dalam Negara Kasar (KDNK) menguncup sebanyak satu peratus. Kadar pengangguran memecut daripada 5.8 peratus pada 1984 kepada 8.5 peratus (1985). Pendapatan tahunan kerajaan tidak cukup untuk menampung jumlah perbelanjaan.

Walaupun pada masa itu negara kita hanya memiliki lima buah universiti awam dan jumlah mahasiswa mungkin hanya berpuluh-puluh ribu, bukan sahaja kerajaan tidak mengambil kakitangan baharu, malah pengambilan pekerja baharu di sektor swasta turut tergugat akibat kemelesetan ekonomi.

Saya dan sebilangan besar rakan seuniversiti lain tidak berjaya mendapatkan sebarang pekerjaan tetap pada waktu itu. Kalau dapat tawaran kerja dari syarikat-syarikat swasta pun, kebanyakannya bersifat jawatan berkontrak setahun atau lebih dikenali sebagai program pelatih pengurusan. Elaun dibayar hanya beberapa ratus ringgit sebulan. Tugasan harian pelatih di pejabat juga tidak melibatkan kemahiran tinggi.

Begitulah keadaan pasaran tenaga tinggi di tanah air buat beberapa tahun pada masa itu. Saban hari, ramai graduan baharu terpaksa berulang-alik ke pejabat di kota menunggang motosikal ataupun menaiki bas mini. Bilik sewa juga terpaksa ditanggung bersama dengan dua atau tiga rakan untuk meringankan beban belanja. Nasi campur menjadi pilihan utama untuk meneruskan hidup.

Buat sementara waktu, saya diambil bekerja sebagai penulis khas bagi sebuah majalah bisnes pada siang hari. Pada sebelah malam pula, saya bergegas ke Shah Alam untuk menjadi guru tuisyen kepada anak-anak kecil sebuah keluarga Cina.

Saya bernasib baik, ganjaran diterima hampir-hampir cukup untuk menampung belanja sewa bilik, makan dan mengisi minyak motosikal buruk saya.

Tidak lama kemudian, saya ditawarkan bekerja sebagai pembantu setiausaha di Dewan Perniagaan dan Industri Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCCCI). Di sana, saya mula mempelajari sedikit demi sedikit selok-belok pengurusan sesebuah pertubuhan perniagaan. Di samping itu, saya cuba mengumpulkan ilmu dan nasihat tentang cara-cara untuk memulakan sesuatu perniagaan.

JIWA, MINAT

Beberapa ahli lembaga dewan perniagaan yang saya hormati tidak keberatan berkongsi pengalaman berniaga dan pandangan mereka terhadap perniagaan. Pada umumnya, mereka cenderung menyarankan orang muda agar makan gaji dahulu sebelum memulakan perniagaan sendiri.

Mendiang Tan Sri Ng Teck Fong, pengasas Kumpulan Kedai Emas Tomei pernah menasihati kami agar bekerja lima tahun dengan orang lain. Bagi beliau, pengalaman bekerja amat penting. Tanpa pengalaman secukupnya, mustahil seseorang usahawan muda boleh berjaya dalam perniagaan pilihannya walaupun dia mungkin bermodal.

Beliau juga menegaskan adalah mustahak bagi seseorang memilih perniagaan yang sesuai dengan jiwa dan minatnya. Usahawan muda juga dinasihati membanting tulang selama 20 tahun agar dapat mencapai kejayaan yang diidam-idamkan.

Tan Sri Lim Guan Teck, pemilik kilang kertas Muda Holdings Group pula mencadangkan anak muda banyak menceburkan diri dalam kerja-kerja pemasaran. Beliau beranggapan kebolehan dalam kerja pemasaran merupakan kunci kejayaan dalam sesuatu perniagaan.

Beliau turut mengisahkan kejayaan dua sahabat mudanya. Salah seorangnya berjaya membuka kilang cat di Malaysia. Seorang lagi membuka kilang mesin daftar tunai di Jepun. Kedua-dua usahawan itu bermula sebagai jurujual di syarikat orang lain pada usia muda. Mereka membentuk perniagaan sendiri setelah mengumpulkan pengalaman berniaga, rangkaian perniagaan dan modal secukupnya.

Bagi Guan Teck, pengalaman pemasaran bukan hanya menyempurnakan seseorang berdarah baharu dalam perniagaan dengan pelbagai ilmu untuk menjadi seorang peniaga berkaliber, malah ia melengkapi seseorang itu menjadi anggota masyarakat yang diterima baik oleh orang lain.

Nasihat-nasihat daripada barisan senior sangat menaikkan semangat sepanjang pembinaan kerjaya saya. Akhirnya, saya memulakan perniagaan sendiri sebagai penerbit buku setelah berkhidmat hampir lima tahun di beberapa tempat kerja.

Kini, era digital sememangnya banyak mengubah pandangan generasi muda terhadap perniagaan dan kehidupan. Secara umumnya, generasi muda kita tetap mahu mengejar kejayaan dalam perniagaan tetapi pada masa sama, mereka juga menuntut fleksibiliti dan kebebasan antara kerjaya dengan kehidupan.

Sesungguhnya, penglibatan generasi muda dalam sektor ekonomi gig boleh dilihat sebagai langkah permulaan usahawan muda kita untuk mencuba bakat dalam bisnes.

Bak kata pepatah, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Sesiapa yang mempunyai semangat keusahawanan tinggi dan rajin berusaha, tentu ada peluangnya untuk berjaya pada suatu hari nanti. – UTUSAN

PENULIS ialah lepasan program Sarjana Pengajian Media dari Jabatan Media & Komunikasi, Universiti Malaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×