SELESAI sudah Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri di enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu dan Selangor. Ini merupakan satu pembaharuan yang baik oleh kerajaan perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim berbanding amalan lazim kerajaan sebelum ini.
Bila diadakan rumah terbuka di Putrajaya sahaja, konsepnya adalah rakyat yang terpaksa datang dari jauh untuk berhari raya bersama pemimpin kerajaan. Keberkesanan sambutan di Seri Perdana adalah terbatas. Tidak ramai rakyat yang mampu disantuni dalam tempoh singkat. Mereka yang jauh tidak dapat datang.
Bila majlis ini diadakan di negeri-negeri berlainan pada tarikh-tarikh berbeza, ia memberi satu kelainan yang menyegarkan dalam hubungan antara rakyat dan pemimpin kerajaan. Konsepnya berubah, kini pemimpin kerajaan yang berkorban masa untuk berkunjung ke negeri-negeri bagi membolehkan mereka menyantuni rakyat di tempat tinggal rakyat.
Apa lagi bila Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir turut berangkat hadir.
Saya hadir di sebahagian rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri ini dan mendengar sendiri pujian rakyat kepada Perdana Menteri kerana sudi turun ke negeri-negeri terbabit untuk bersua dengan mereka. Ini tentunya memerlukan pengorbanan pemimpin kerajaan tetapi hasilnya bagus sekali. Ia menggambarkan komitmen mereka untuk reach out bagi mendalami permasalahan rakyat.
Sebab itulah Perdana Menteri di setiap negeri yang diadakan rumah terbuka ini bercakap perkara berbeza yang khusus mengenai kebajikan rakyat negeri tersebut.
Di Kedah umpamanya, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan perbelanjaan sebanyak RM1.6 bilion untuk membangunkan negeri itu, jauh lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya. Di Negeri Sembilan juga Perdana Menteri mengumumkan kenaikan peruntukan pembangunan untuk negeri itu pada tahun ini yang meningkat daripada RM200 juta kepada RM1.27 bilion.
Di Pulau Pinang, Perdana Menteri mengumumkan dana tambahan untuk projek transit aliran ringan (LRT) yang membolehkan saiz Projek Tambakan Pulau Pinang Selatan (PSI) dikurangkan saiznya. Di Kelantan, yang dibicarakan oleh Perdana Menteri ialah komitmen kerajaan perpaduan untuk memastikan masalah bekalan air serius dihadapi oleh rakyat negeri itu diselesaikan.
Di Terengganu juga begitu, Perdana Menteri antara lainnya mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta untuk bantuan kepada mangsa banjir di negeri itu.
Di setiap negeri ini, Perdana Menteri memberikan perincian butiran projek-projek pembangunan sebagai bukti kerajaan perpaduan tidak menganaktirikan mana-mana negeri. Malangnya, ada pula penganalisis politik dan pemimpin pembangkang mempertikaikan tindakan Perdana Menteri membuat pengumuman mengenai pemberian bantuan ini.
PRN
Pertikaian begini tidak wajar kerana hasrat Perdana Menteri adalah semata-mata untuk membantu rakyat dan tidak ada kaitan dengan pilihan raya negeri (PRN) yang masih lagi jauh. Jika pengumuman begini bertujuan membeli undi, maka logiknya bukan sekarang ia dibuat tetapi bila waktu kempen PRN sudah bermula kerana ini akan lebih efektif.
Seperti dijelaskan oleh Perdana Menteri dalam Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan, Ahad lalu, isu penyelesaian masalah air contohnya, tidak ada kena mengena dengan PRN. Jika ia dikaitkan dengan PRN maka pastilah hanya Kelantan akan dibantu tetapi bukan Sabah sama kerana Sabah tidak akan menghadapi PRN sehingga beberapa tahun lagi.
Tetapi Perdana Menteri mengumumkan dalam konvensyen tersebut bahawa beliau akan mengundang Menteri Besar Kelantan dan Ketua Menteri Sabah berbincang masalah air. Sehubungan itu, komitmen Perdana Menteri untuk menyelesaikan masalah air di Kelantan dan Sabah walaupun ia memerlukan dana besar, pinjaman, sukuk atau bon perlu dihargai.
Ia adalah lambang kepada prinsip Malaysia Madani, antaranya hormat dengan sentiasa memelihara maruah manusia serta ihsan dengan makna peduli dan belas kasihan nasib rakyat.
Perdana Menteri juga menegaskan, isu air tidak ada kena-mengena dengan PRN. Yang penting, rakyat tidak boleh dibebankan dan dihina sampai tidak ada air bersih untuk diminum.
Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff juga tegas menjawab, peruntukan yang diumumkan tidak bertujuan untuk ‘beli undi’ atau rasuah. Mengumumkan peruntukan ke tempat yang Perdana Menteri pergi, kalau ia projek untuk meningkatkan taraf hidup dan memenuhi keperluan rakyat, bukan satu rasuah.
“Rasuah ini bila anda beri sesuatu dan harapkan pulangan semula dalam bentuk undi. Orang nak pergi mengundi, anda bagi duit untuk undi parti berkenaan, itu baru namanya rasuah,” katanya
Ini benar sekali. Mana mungkin insan yang setiap masa berucap tentang tatakelola yang mesti baik, tentang menghentikan amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa, terlibat dengan rasuah?
Perdana Menteri banyak membaca dan mahir sejarah. Beliau tahu, Tan Sri Eusoffe Abdoolcader pernah memutuskan pada 1981 bahawa janji pembangunan dalam pilihan raya bukan rasuah. Tun Arifin Zakaria dan panel Mahkamah Persekutuan pun memutuskan dalam kes Wong Hua Seh (perayu) pada 2009 bahawa janji pembangunan dalam pilihan raya bukan rasuah.
Oleh itu, tidak ada satu asas pun untuk mana-mana pihak mempertikaikan tindakan terpuji Perdana Menteri reach out kepada rakyat dan menyelesaikan masalah mereka bila-bila masa. Sehubungan itu, rakyat Kedah juga mahu dan berharap Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor lebih berdiplomasi dengan Perdana Menteri demi kebaikan kesejahteraan, kemajuan dan pembangunan rakyat. – UTUSAN
PENULIS ialah pelajar ijazah Doktor Falsafah (PhD) jurusan sains politik di Universiti Utara Malaysia (UUM) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Selambau dan bekas Exco Kerajaan Negeri Kedah.










