China terus dipersalahkan punca penyebar Covid-19

China terus dipersalahkan punca penyebar Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMERIKA Syarikat (AS) dan sekutunya yang sebelum ini gagal dalam menyalahkan China sebagai punca masalah Covid-19 dengan ketiadaan bukti kukuh, kini menggunakan pula agensi antarabangsa, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi terus menyemarakkan kebencian ke atas China. Hari ini, China sekali lagi menggesa WHO untuk bersikap adil dan telus dalam mengendalikan pencarian asal usul virus Covid-19 serta tidak mempolitikkan isu ini walaupun wujudnya pandangan dan pendapat tertentu khususnya daripada AS.

Kita sendiri pun sedia maklum, WHO ada mengeluarkan laporan bertulis bersama saintis China pada awal 2022 yang secara jelas menyatakan asal-usul Covid-19 sama sekali tidak bermula dari makmal.

Bagaimanapun, persoalan berkenaan perkara ini terus wujud apabila terdapat laporan terbaharu daripada sumber perisikan AS bahawa kononnya virus itu secara tidak sengaja terlepas dari makmal di Wuhan.

Dalam menjawab isu besar seperti ini, saya bukanlah orang yang selayaknya untuk mengulas. Oleh itu untuk ke sekian kalinya, saya sekali lagi menemu ramah Profesor Emeritus Datuk Dr. Sai Kit Lam, Penasihat Kajian dari Universiti Malaya yang sebelum ini pernah berkongsi pendapat dengan pembaca Utusan Malaysia berkenaan isu Covid-19 yang digunakan sebagai senjata Barat untuk menyerang China.

“China berpendapat bahawa dalam usaha untuk mengesan asal usul Covid-19, maka ia tidak seharusnya ditumpukan kepada mana-mana negara.

“Sejarah sendiri menunjukkan limpahan zoonosis boleh berlaku di mana-mana sahaja dengan penghijrahan haiwan secara semula jadi atau melalui perdagangan haram,” katanya.

Menurutnya lagi, dalam kes Covid-19, terdapat bukti mencukupi untuk menunjukkan kemungkinan besar, kelawar adalah perumah takungan dan perumah perantaraan haiwan seperti rakun, musang merah dan lain-lain yang diperdagangkan di pasar Huanan.

Jelas pakar penyelidik penyakit virus ini lagi, pengawasan pintar harus dijalankan di China serta di negara-negara yang berkongsi sempadan dengannya. Ini penting untuk bukan sahaja mengesan asal usul Covid-19 tetapi juga memantau wabak yang akan berlaku selepas ini.

“Sehingga kini, China terus menyiasat punca limpahan virus itu. Berdasarkan dua artikel tulisan rakan saya yang diterbitkan pada Julai 2022, telah dinyatakan bukti paling kukuh setakat ini adalah pandemik Covid-19 berasal daripada haiwan di pasar di Wuhan, China.

“Bukti juga menunjukkan koronavirus kemungkinan besar melompat dari haiwan liar yang dikurung kepada manusia di pasar makanan laut di Huanan, sebuah lokasi wabak Covid-19 pertama diketahui pada Disember 2019,” jelasnya.

Mempolitikkan asal usul virus ini bermula semasa bekas Presiden AS, Donald Trump dan diteruskan oleh Presiden Joe Biden yang mengarahkan pegawai perisikan untuk menggandakan usaha dalam menyiasat asal usul Covid-19, termasuklah teori ia berasal dari makmal di China.

Untuk pengetahuan para pembaca sekalian, Kit Lam merupakan ketua pasukan perubatan yang berjaya mengenal pasti virus Nipah yang pernah menyerang negara kita pada 1998 dahulu.

BERBEZA PANDANGAN

Katanya, kenyataan terbaharu daripada WHO menerusi Ketua Pengarahnya, Tedros Adhanom Ghebreyesus mengatakan semua hipotesis yang ada di atas meja sangat tidak membantu.

“Mereka meminta China untuk memberi kerjasama terutama berkaitan kemungkinan kebocoran makmal. Seorang kakitangan kanan WHO, Maria Van Kerkhove, ahli epidemiologi penyakit berjangkit pula menuduh China tidak mendedahkan data berpotensi mengenai asal usul Covid-19.

“Pada saya, tudingan jari seperti itu tidak membantu dan China pasti akan menentang tuduhan dan tekanan sedemikian,” ujarnya.

Jabatan Tenaga AS menerusi bukti sulit yang tidak didedahkan telah menilai bahawa pandemik Covid-19 kononnya berkemungkinan besar berpunca daripada kebocoran makmal di China. Penilaian terbaharu ini pada hakikatnya menambah lagi jurang dan percanggahan antara sesama kerajaan AS, iaitu persoalan sama ada pandemik Covid-19 bermula di China pada 2019 kerana kebocoran makmal atau sama ada ia muncul secara semula jadi.

“Pelbagai agensi perisikan berbeza pandangan mengenai perkara ini selama bertahun-tahun,” jelasnya.

Kementerian Luar Negeri China menolak tuntutan itu bahkan hanya akan merujuk kepada kesimpulan lebih berwibawa dan saintifik yang dicapai menerusi misi lapangan pada 2021. Pakar saintis China dan WHO bersepakat bahawa hipotesis kebocoran makmal adalah ‘sangat tidak mungkin.’

Tegasnya lagi, walaupun mungkin mengambil masa bertahun-tahun untuk menentukan asal usul Covid-19, namun pada hakikatnya kita mesti menerima bukti saintifik yang berkemungkinan menjelaskan bahawa senario wabak itu adalah daripada limpahan zoonosis, iaitu daripada haiwan kepada manusia.

“Daripada maklumat ini, kita mesti menyediakan persiapan untuk mencegah wabak seterusnya. Pasukan petugas bebas kami dalam kertas Prosiding Akademi Kebangsaan Sains AS (PNAS) telah membuat beberapa cadangan merangkumi pengawasan pintar ke atas manusia, hidupan liar dan haiwan peliharaan di kawasan panas, iaitu kawasan penyakit baru muncul.

“Agensi antarabangsa seperti WHO boleh memainkan peranan dalam menyelaraskan perkara ini,” katanya.

Adalah sangat berbahaya dan tidak saintifik untuk mendasarkan asal usul virus Covid-19 hanya pada spekulasi. Terdapat begitu banyak bukti saintifik yang kukuh tersedia ada untuk menyokong teori limpahan dan hampir tidak ada bukti disebabkan kebocoran makmal.

“Para saintis yang telah mengkaji genetik virus itu dan corak penyebarannya berkata kemungkinan besar penyebabnya adalah virus itu melompat daripada mamalia hidup kepada manusia di pasar Huanan, satu fenomena yang dikenali sebagai limpahan zoonosis,” jelasnya. – UTUSAN

PENULIS ialah penganalisis isu-isu semasa dan Setiausaha Kerja Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Titiwangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×