Sepakat tiada lagi ‘30 bahagian’

Sepakat tiada lagi ‘30 bahagian’

ROZABIL Abd. Rahman (kanan) bertanyakan sesuatu kepada Fathul Bari Mat Jahya (tengah) dan Ruzaini Rais (kiri) dalam majlis berbuka puasa anjuran UMNO Bahagian Kangar, baru-baru ini. – UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBELUM ini, orang selalu sindir UMNO Perlis yang mempunyai tiga bahagian seolah-olah ‘30 bahagian’ kerana selalu bergaduh.

Situasi itu sememangnya ada asas apabila UMNO di tiga bahagian sebelum ini tidak pernah bersatu sekali gus menjadi antara salah satu punca kekalahan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang menyaksikan parti itu kehilangan semua 18 kerusi serta hilang penguasaan kerajaan negeri buat pertama kali.

Perseteruan antara UMNO Bahagian Arau diterajui Datuk Seri Shahidan Kassim dan Bahagian Padang Besar diketuai Datuk Zahidi Zainul Abidin dengan Bahagian Kangar diterajui Datuk Seri Azlan Man yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri ketika itu tidak pernah menemui titik noktah.

Kemelut tersebut tidak pernah berakhir sehinggakan UMNO Perlis ketika itu digambarkan diterajui dua kepala iaitu Azlan selaku pemimpin kerajaan negeri, manakala Shahidan masih kuat mempengaruhi parti. Shahidan dan Zahidi bagaimanapun dipecat parti tahun lalu apabila kedua-kedua pemimpin otai tersebut bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) dan Bebas dalam PRU15.

Bagaimanapun, sama ada suratan takdir atau kebetulan, ketiga-tiga UMNO bahagian dalam pemilihan parti itu baru-baru ini berjaya diterajui oleh barisan kepemimpinan baharu. Ia juga menyaksikan perubahan total kepemimpinan di semua tiga bahagian di negeri ini.

Ketiga-tiga ketua bahagian baharu iaitu Datuk Rozabil Abd. Rahman (Arau), Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya (Kangar) dan Ruzaini Rais (Padang Besar) membawa era baharu dalam UMNO di negeri ini meskipun dalam keadaan serba mencabar dalam misi menawan kembali Perlis dalam pilihan raya akan datang.

Namun, perpaduan dan kesepakatan yang baik ditunjukkan di ketiga-tiga bahagian itu bakal membentuk sebuah pasukan yang kuat untuk kembali menawan negeri ini sekali gus mengembalikan semula keyakinan rakyat.

Malah, UMNO Perlis cukup yakin bahawa tiada lagi ‘ribut’ atau ‘taufan’ berlaku dalam kepemimpinan parti itu berikutan kesepakatan yang dicapai antara teraju baharu di peringkat negeri dan bahagiannya.

Di peringkat negeri, Rozabil mengetuai UMNO Perlis manakala Fathul Bari sebagai timbalannya dan Ruzaini mengisi jawatan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri. Rozabil berkata, UMNO di tiga bahagian itu harus berada di dalam satu pasukan yang kuat jika berhasrat kembali menawan negeri ini dan memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

KECIL

“Tiga bahagian telah setuju tidak mahu lagi berlaku persaingan sesama bahagian dan menjalinkan kerjasama yang erat. Saya percaya kerjasama yang erat dan semangat perpaduan ini dapat kita jalinkan.

“Kita mempunyai keyakinan cukup tinggi untuk bekerjasama dalam kalangan kami (tiga bahagian). Kita juga sudah beri komitmen kepada Presiden parti bahawa UMNO Perlis tidak akan jadi seperti 30 bahagian lagi.

“Dahulu orang selalu sindir Perlis yang mempunyai tiga bahagian seolah-olah seperti 30 bahagian kerana selalu bergaduh. Insya-Allah, kami akan bekerja dalam satu pasukan untuk pastikan kita bekerja dengan lebih kuat, erat dan berusaha merampas Perlis kembali kepada Barisan Nasional (BN),” katanya baru-baru ini.

Fathul Bari sebelum ini pula berkata, kepemimpinan baharu UMNO negeri memberi jaminan bahawa masalah perpecahan yang menyaksikan bahagian-bahagian tidak bersatu sebelum ini akan dielakkan sekali gus membuka lebaran baharu dalam mengembalikan kekuatan parti di Perlis.

Katanya, barisan kepemimpinan UMNO negeri sudah mencapai kata sepakat dan persetujuan untuk menghidupkan kembali kerjasama dan perpaduan khususnya di setiap bahagian.

“Perlis ini negeri kecil sahaja, kalau perbezaan sedikit sebelum ini, satu Malaysia tahu. Saya sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri akan sentiasa berbincang dengan pengerusi perhubungan dan apa sahaja keputusan perhubungan negeri kita akan patuhi dan laksanakan.

“Tutup buku lama dan kembalikan kekuatan UMNO Perlis dengan semangat kerjasama dan perpaduan yang kukuh,” katanya.

Melalui kerjasama erat tersebut secara tidak langsung akan kembali mengukuhkan parti itu di Perlis sekali gus bakal tampil lebih kuat dalam mendepani pilihan raya akan datang.

Tidak menunggu lama, kepemimpinan baharu bahagian-bahagian ini juga dilihat bergerak cukup aktif untuk terus memberi khidmat kepada rakyat dengan tidak ada lagi politiking. – UTUSAN

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Perlis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×