APA itu nikotin? Ia sejenis sebatian kimia semula jadi berada pada daun tembakau dalam kandungan agak tinggi. Sifat keracunannya ternyata apabila ia berkesan membunuh serangga dan turut terkesan apabila haiwan lain memakan tumbuhan yang mengandungi nikotin. Maksudnya, nikotin tetap berbahaya dalam apa bentuk sekalipun.
Bagi daun tembakau di dalam sebatang rokok, nikotin ‘dilepaskan’ apabila rokok dinyalakan dan dihisap.Kemudian turut terserap ke dalam saluran darah. Ia boleh merangsang otak secara amnya dan menjadikan rokok bahan ‘kegemaran’ para penggunanya.
Tembakau mentah sebagai sentil (dikunyah terus) juga boleh memberi kesan yang sama apabila larut dalam air liur dan juga terserap ke dalam saluran darah. Maka, nikotin boleh meningkatkan kadar denyutan jantung dan tekanan darah.
Ramai wanita memilih merokok kerana ingin melangsingkan diri hasil tindakan nikotin ke atas pusat selera di otak. Umumnya, kegunaan jangka panjang berkesudahan dengan ketagihan, di samping mengalami pelbagai gejala lain yang lebih memudaratkan kesihatan.
Tidak kurang kaitannya dengan barah atau kanser mulut, tekak dan paru-paru serta sistem pernafasan yang tersumbat menyebabkan sukar bernyawa dengan selesa akibat pelbagai tindakan bahan sampingan lain.
Dalam sebatang rokok terdapat ribuan jenis racun lain, tetapi nikotin adalah antara yang utama dari segi ketagihan. Oleh kerana itu jugalah, perokok dan pengguna tembakau amat sukar menghentikan tabiat ketagihan tembakau akibat nikotin.
Baik dalam asap rokok sekalipun terdapat nikotin dan boleh terhidu, khasnya keluarga, di persekitaran. Ini dikenali sebagai ‘merokok sekunder’ dan boleh mendatangkan kemudaratan yang sama dialami perokok.
Mungkin lebih buruk lagi kerana menghidu secara terus tanpa apa-apa penapis. Akhirnya, mereka yang berpaut kepada nikotin mendapati sistem tubuhnya mula sebati dengan kesan nikotin di dalam badan.
Bak tidak dapat ‘hidup’ nyaman tanpanya. Inilah dia kesan ketagihan pada hakikatnya. Sekiranya tidak mendapat bekalan nikotin, badan mereka akan mengalami pelbagai kesengsaraan dan gejala, antara lain sakit kepala, keresahan dan perasaan mudah tersinggung.
Oleh itu, tidak tenteram; umpama yang sering terlihat pada seorang perokok kehabisan bekalan tembakau, yakni nikotin. Keadaan ini jelas kelihatan dalam jangka masa dua hingga tiga hari dan bersambungan untuk beberapa minggu dan bulan berasaskan tahap ketagihannya.
Lebih 20 tahun lalu, pada 16 Mei 1998, Ketua Pakar Bedah Amerika Syarikat ketika itu, Dr. Everett Koop ada mengumumkan bahawa ketagihan nikotin boleh setanding dengan ketagihan bahan berbahaya seperti heroin dan juga kokain. Malah, candu sekalipun walaupun ada yang tidak bersetuju.
Apa pun ternyata nikotin mempunyai kesan ketagihan amat tinggi. Sebab itu ia terangkum di bawah Senarai Racun mengikut Akta Racun 1952 sejak begitu lama.
Melalui cara ini, penggunaan boleh dikawal dan dihadkan supaya tidak mudah disalah guna baik dalam bentuk gel atau larutan untuk kegunaan rokok elektronik (vape).
VAPE HIDANGAN ‘RAHMAH’?
Vape sengaja dicipta sebagai satu kaedah merokok tanpa mengeluarkan asap yang mencemarkan. Kegunaan melalui vape atau e-rokok memerlukan teknik pemanasan secara elektronik supaya cecair yang mengandungi nikotin bertukar menjadi wap dan disedut sebagaimana rokok biasa.
Oleh itu, lazimnya alat e-rokok dilengkapi tiga bahagian iaitu alat pemanas (atomiser), tempat menampung cecair nikotin dan bateri yang memberi kuasa untuk berfungsi. Apabila disedut, bateri akan memanaskan cecair nikotin bertukar menjadi wap.
Apa pun kesan, akibat serta kemudaratannya hampir-hampir serupa nikotin yang berbisa dan mengakibatkan ketagihan; tiada beza dengan menghisap rokok. Wap yang terhasil tidak semestinya bersih seperti yang sering didakwa.
Sebenarnya vape adalah satu lagi dakyah rekaan industri tembakau yang mahu nikotin dijadikan bahan dagangan atas sifat ketagihannya.
Khusus mensasar golongan remaja yang kurang arif tentang kesan buruk nikotin, kelompok yang menghadapi gangguan perasaan atau kacau-bilau dan stres, serta mereka dari lapisan sosioekonomi rendah dan umumnya kurang berada.
Dengan kata lain, kumpulan ini mudah diperkotak-katikkan oleh industri gergasi untuk meraih keuntungan tanpa mempedulikan kesihatan anak-anak muda ini.
Di sinilah peranan Kementerian Kesihatan khasnya dan kerajaan amnya penting sebagai pelindung kesihatan rakyat dan masa hadapan mereka. Yakni pihak berwajib ini perlu mendahulukan nasib anak bangsa yang daif berbanding pemain industri yang rakus dan tamak dalam desakan memonopoli pasaran.
Pembuat keputusan yang peka dan celik minda, sedar tentang muslihat ini dan tahu bertindak mengatasinya seperti di Brunei, Kemboja, Laos, Singapura dan Thailand. Bahan vape diharamkan atau ketatkan penjualan dengan edarannya sesuai dengan syor Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Tambahan, beberapa badan profesional tempatan baik Persatuan Perubatan Malaysia, Persatuan Ahli Farmasi Malaysia dan Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial turut menolak ura-ura mengeluarkan nikotin dari kawalan Akta Racun berkenaan. Mereka membantah syor kerajaan kerana ia bertentangan dengan amalan terbaik kesihatan umum sejagat.
Malangnya, semua ini tidak dihiraukan sama sekali apabila nikotin mulai 1 April bebas diperdagangkan, umpama jualan gula-gula kepada kanak-kanak! Malah, di mana sahaja tanpa apa-apa sekatan seolah-olah ia barangan selamat. Sifat keracunan dan ketagihan diselindungkan.
Satu pembohongan yang disengajakan, apatah lagi pada bulan rahmah, Ramadan al-Mubarak! Serupa dengan meracuni semangat Ramadan, membawa kepada hari raya mendatang apabila ‘nikotin’ bak juadah istimewa ala menu ‘rahmah’ bagi rakyat jelata khasnya B40. Satu pencabulan terang-terangan yang sukar dimaafkan – zahir dan batin – oleh pihak tertipu! – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).











