KITA (dimaksudkan di sini kerajaan) telah melakukannya dengan menamatkan gejala lompat parti, sehinggakan berkuat kuasa larangan dan hukumannya, iaitu Akta A1663.
Dahulu ada pihak mengatakan sungguh mustahil untuk perkenalkan akta ini. Khabarnya keputusan Mahkamah Agung pada 1992 dalam satu kes di Kelantan bersifat mengikat. Maka membawalah perbuatan lompat parti, dengan rasuah bermaharajalela beli sini, beli sana sehingga tumbang kerajaan dipilih menerusi demokrasi. Tidak sahaja itu, kesannya merebak bertukar ganti Perdana Menteri. Lantarannya, imej Malaysia tercalar teruk.
Tetapi rupa-rupanya hal itu boleh diperbetulkan. Dulu tidak boleh, sekarang tiba-tiba boleh pula. Ribuan pekerja asing kini boleh dibawa masuk tanpa ejen, sekolah menengah kini diwajibkan, oh! rupanya dahulu tiada tangan yang mahu usahakan ini semua.
Demikian juga dalam hal sebesar mewajibkan teks bahasa Melayu dalam pembentangan semua Rang Undang-Undang (RUU) di Parlimen. Padahal ini perkara besar, selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.
Naskhah sahih
Sama juga dalam soal bahasa Melayu, semestinya harus dimartabatkan kembali. Kalau tidak kita, siapa lagi. Dalam hal saranan supaya terjemahan Perlembagaan Persekutuan dalam bahasa Melayu dijadikan naskhah sahih wajar diberi perhatian serius. Sudah hampir 66 tahun kita merdeka, teks Perlembagaan Persekutuan kita masih dalam bahasa Inggeris? Kecewa sungguh.
Ayuh! Mari kita tekadkan azam politik kita. Kita bertutur sekerat Melayu, sekerat Inggeris. Beratus-ratus singkatan kata atau abriviasi yang diguna pada masa ini yang orang kampung kita tidak faham. Kelulusan kita berjela-jela, malangnya perihal asas bangsa sendiri tidak difahami lagi.
Keindahan bahasa beradat, kekuatan muafakat, keilmuan dalaman dan spritual tinggi sudah jadi bahan lapuk. Kini, kita hanya mahu hawa dingin yang dihembuskan oleh pendingin udara.
Bagaimana sekian ramai kita menggunakan ilmu dari Barat yang kita pelajari untuk mengorak langkah baharu mewujudkan ilmu dan persekitaran di negara kita sendiri? Bagaimana kita tidak harus terus langsung jadi katalis atau penggerak kepada nilai hidup luaran yang akhirnya merubah nilai dan hak-hak asasi kita, yang merubah bahasa kita dan yang merubah istilah merobah di sini sebenarnya membunuh.
Tiap kali mereka mencipta sesuatu, tiap kali pula budaya kita berubah: komputer, internet, facebook, SMS, WhatsApp – semua ini sudah pun mengubah budaya kita berkomunikasi. Dan bukan semuanya baik buat budaya kita. Mereka yang menentukan corak hidup kita. Media sosial telah masuk ke darah kita. Semua ini didatangkan dari dunia sebelah sana.
Rumit
Memang ada nada tidak yakin di sebalik cadangan menjadikan teks Perlembagaan Persekutuan dalam bahasa Melayu sebagai naskhah sahih. Rumit kata mereka.
Antara dakwaan itu ialah pertama, penggunaan versi bahasa Melayu akan menyebabkan kes diputuskan terdahulu dipertikai statusnya sebagai duluan mengikat. Keadaan ini akan mengganggu perkembangan undang-undang dan menimbulkan lompang dalam udang-undang. Kedua, ada kesulitan untuk menterjemah secara tepat penggunaan ungkapan perundangan dalam Perlembagaan. Terdapat perbezaan laras bahasa dan penggunaan terma mempunyai erti dan nilai tersendiri menurut bahasa pengungkapan. Hal ini dibimbangi menyebabkan penyelewengan makna.
Ketiga, terjemahan termasuk sebagai keperluan pindaan kepada Perlembagaan. Oleh itu, terjemahan itu perlu melalui proses pindaan dan Perkara 160B perlu tertakluk kepada kawalan tatacara seperti ditetapkan Perlembagaan. Kebimbangan ditimbulkan ini berasas namun bukanlah tidak boleh diatasi.
Apa yang amat diperlukan kini ialah azam politik kita untuk menerapkan idea bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu, bahasa perdagangan, bahasa komunikasi dan bahasa diplomatik – asalkan usaha ini diterjemahkan pelaksanaan dan muafakat serantau di peringkat tempatan atau domestik.
Sewajarnya naskhah sahih bahasa Melayu juga disediakan pada ketika Perlembagaan dimuktamadkan Dewan Perundangan pada 1956. Usaha mengadakan versi sahih dalam bahasa Melayu dilakukan pada 2001 menerusi pindaan Perlembagaan (Akta Perlembagaan (Pindaan) (No 2) 2001 (Akta A1130) memasukkan Perkara 160B Perlembagaan.
Peruntukan itu menyatakan: “Jika Perlembagaan ini diterjemahkan ke dalam bahasa kebangsaan, Yang di-Pertuan Agong boleh menetapkan teks bahasa kebangsaan itu sebagai teks sahih dan selepas itu, jika ada percanggahan atau perselisihan antara teks bahasa kebangsaan itu dengan teks bahasa Inggeris Perlembagaan ini, teks bahasa kebangsaan itu hendaklah mengatasi teks bahasa Inggeris itu”.










