Manfaat besar lawatan Anwar ke China - Utusan Malaysia

Manfaat besar lawatan Anwar ke China

ANWAR IBRAHIM diberi layanan istimewa di China termasuk bertemu Li Qiang (tiga dari kiri) yang memberikan gambaran bahawa Malaysia di bawah kepimpinan beliau mendapat perhatian khas pemimpin negara itu. – FB ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JIKA diingat, Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak melakukan lawatan rasmi enam hari ke China bermula 31 Oktober 2016.

Pada akhir lawatan, beliau menyifatkannya mencapai kejayaan luar biasa, bukan sahaja dapat memperkukuhkan lagi hubungan dua hala tetapi membawa pulang keberhasilan boleh dihitung.

Ia merujuk kepada pemeteraian 14 memorandum persefahaman (MoU) bernilai RM143.64 bilion antara syarikat Malaysia dan China dengan beberapa projek ikonik dan mega yang mampu memberi manfaat kepada pembangunan sosial ekonomi negara, termasuk projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan tiga projek saluran paip gas.

Semua tahu kerajaan Najib kemudiannya tumbang. Menggantikan beliau sebagai Perdana Menteri ketujuh bermula pada 10 Mei 2018 ialah Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Pada 17 Ogos 2018, Dr. Mahathir pula melakukan lawatan rasmi lima hari ke China, tetapi apa yang paling diingati mengenai lawatan beliau ini?

Pastinya tiada keberhasilan yang boleh dihitung hasil lawatan Dr. Mahathir ke China kerana tiada sebarang laporan mengenainya.

Sebaliknya, apa terpapar dalam laporan media ialah ingatan sinikal beliau kepada Perdana Menteri China ketika itu, Li Keqiang, agar “versi baharu penjajahan” tidak akan muncul dan supaya “perdagangan bebas juga haruslah perdagangan yang adil”.

Ingatan Dr. Mahathir ini perlu dilihat dalam konteks tindakan beliau menyemak semula projek-projek yang dimulakan oleh Najib bersama China yang didakwa berat sebelah, malah sesetengahnya dianggap ‘menjual kedaulatan negara’, menyebabkan projek ECRL dan saluran paip gas masing-masing digantung dan dibatalkan.

Hasilnya, komitmen Malaysia ke atas Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), atau dikenali di China sebagai Satu Jalur Satu Jalan (OBOR), yang dipelopori oleh Presiden China, Xi Jinping, pada 2013 untuk membina satu rangkaian perdagangan dan prasarana yang menghubungkan Asia dengan Eropah dan Afrika menerusi pelabuhan, jalan raya, kereta api dan taman perusahaan, mula diragui. Pelabur dari China juga mula bimbang untuk melabur di Malaysia.

Dari sudut inilah lawatan rasmi empat hari ke China bermula pada 29 Mac lalu oleh Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim, perlu dilihat.

Anwar bercakap benar bila menyebut perjalanan beliau ke China dipantau rapi oleh rakyat Malaysia yang “amat mengagumi” dan menghormati China.

Anwar juga menyampaikan suara hati rakyat Malaysia bila menyebut keutamaan kerajaan perpaduan adalah lebih jelas dalam menyokong OBOR.

Sebaliknya, pendirian Dr. Mahathir sebelumnya yang kritikal dengan China adalah jauh berbeza daripada pandangan rakyat Malaysia.

Dari sudut data, satu kaji selidik yang dibuat oleh Merdeka Center pada 17-26 Mac 2022, mengulangi dapatan hampir sama kaji selidik sebelumnya pada 2016, menunjukkan 71% responden yang mewakili seluruh rakyat Malaysia mempunyai persepsi positif (berbanding 19% persepsi negatif) ke atas pelaburan China di Malaysia manakala 60% responden mahukan Malaysia terlibat dengan OBOR (berbanding enam% mahukan Malaysia tidak terlibat).

MADANI

Adalah menjadi satu kebanggaan kepada rakyat Malaysia dan kecemburuan kepada rakyat negara lain bila Anwar diberi layanan istimewa di China yang memberikan gambaran bahawa Malaysia di bawah kepimpinan beliau mendapat perhatian khas pemimpin negara itu.

Anwar juga mengambil pendekatan amat tepat bila menyebut banyak dasar yang dipelopori oleh Jinping adalah sama dengan konsep madani di Malaysia.

Begitu juga dengan kekaguman beliau ke atas kejayaan usaha pembasmian kemiskinan di China.

Rakyat Malaysia wajar gembira bila Jinping menyatakan sokongan kepada gagasan Malaysia Madani dan akan berkongsi pengalamannya membasmi kemiskinan di China serta akan menjalinkan hubungan lebih rapat dengan Malaysia selepas ini.

Sesungguhnya lawatan Anwar ini memang membawa manfaat besar kepada negara. Ia bukan sahaja dapat membawa hubungan dua hala Malaysia dan China ke tahap tertinggi tetapi membawa pulang keberhasilan boleh dihitung yang tertinggi dalam sejarah.

Jika Najib membawa pulang RM143.64 bilion daripada 14 MoU, Anwar pula membawa pulang RM170 bilion daripada 19 MoU serta perbincangan meja bulat dengan tokoh korporat elit China.

Pertemuan Anwar dan Perdana Menteri China yang baharu, Li Qiang, juga berlangsung mesra sekali. Kesemua ini menunjukkan keyakinan pelabur dan kerajaan China ke atas kerajaan perpaduan di bawah kepimpinan Anwar.

Tidak ada pun sebarang unsur “penjualan kedaulatan negara” dalam rundingan ini, sebaliknya ia ditunjangi oleh unsur kebersamaan dan keikhlasan kedua-dua negara.

Oleh itu, tidak ada sebab mengapa lawatan rasmi ini boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak kerana manfaatnya adalah untuk semua.

Persetujuan untuk meluaskan kerjasama di bawah inisiatif OBOR, selain pelbagai kerjasama lain, dijangka akan mewujudkan ribuan peluang pekerjaan buat rakyat Malaysia.

Seperti yang ditegaskan oleh Jinping, hubungan dua hala antara Malaysia dan China sekarang, hasil daripada lawatan ini, adalah “pada titik permulaan sejarah baharu”.

Semoganya rakyat Malaysia gembira dan meraikan kejayaan lawatan Anwar ke China. Kejayaan ini adalah kebanggaan negara. – UTUSAN

DATUK Dr. Mohammad Agus Yusoff ialah Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) di Jabatan Perdana Menteri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya