Mahukah generasi baharu terus tradisi nenek moyang? - Utusan Malaysia

Mahukah generasi baharu terus tradisi nenek moyang?

PADA perayaan Qingming masyarakat Cina akan menziarahi jirat nenek moyang untuk melepaskan kerinduan. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA 5 April lalu, masyarakat Cina menyambut perayaan Qingming. Sepertimana selalu, saya dan adik-beradik akan pulang ke kampung asal kami di Bukit Pasir, Muar, Johor untuk menziarahi jirat bapa dan nenek moyang.

Qingming merupakan salah satu perayaan penting yang disambut oleh masyarakat Cina pada setiap tahun. Kami sekeluarga akan menziarahi jirat nenek moyang, membersihkannya dan melakukan upacara sembahyang di situ.

Semasa menziarahi jirat, masyarakat Cina akan melakukan aktiviti-aktiviti tertentu seperti memelihara dan membaiki batu nisan dan membersihkan persekitarannya. Aktiviti ini sebagai tanda memperingati dan menghormati nenek moyang di samping mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan anak cucu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pada pengalaman saya sendiri, inilah masanya seluruh sanak saudara dari jauh dan dekat berkumpul. Malah, sering kali lebih ramai berbanding pada Tahun Baharu Cina.

Di China, perayaan Qingming mengandungi konotasi alam semula jadi dan kemanusiaan. Menziarahi kubur nenek moyang sambil bersiar-siar di alam semula jadi merupakan dua tema adat resam dalam perayaan Qingming.

Di China, perayaan Qingming kebetulan jatuh pada April. Pada masa itu, cuaca berubah menjadi musim bunga, tumbuh-tumbuhan mula bercambah, permukaan bumi kelihatan kehijauan. Dengan ini, kebanyakan orang suka melakukan aktiviti di luar rumah.

Pada hakikatnya, aktiviti menziarahi jirat nenek moyang bagi orang Cina di China tidak semestinya dilakukan pada Qingming. Di bahagian Selatan Fujian misalnya, terdapat orang Cina yang mengaturkan aktiviti menziarahi jirat nenek moyang semasa perayaan Dongzhi.

Saya pernah ke kampung halaman di Yongchun, Fujian, China untuk menyertai aktiviti menziarahi jirat datuk sebelah bapa ketika perayaan Dongzhi pada 2002. Datuk saya pulang ke China selepas Perang Dunia Kedua dan meninggal dunia di sana.

Pada pemerhatian saya, adat dan upacara di China dan Malaysia hampir sama. Selepas memotong rumput dan semak, ahli keluarga membersihkan jirat sebelum menyusun barangan persembahan.

Lilin dan colok dibakar. Sebelum itu, saya diminta mengecat semula tulisan pada batu nisan. Upacara diakhiri dengan membakar duit kertas dan tunduk hormat di depan jirat nenek moyang.

TAIWAN

Di Taiwan pula, terdapat orang Cina yang menziarahi jirat nenek moyang menjelang perayaan Tahun Baharu Cina. Hal ini disebabkan adik-beradik masing-masing tinggal di tempat berlainan, malah terdapat juga yang menetap di luar negara.

Ketika menziarahi jirat nenek moyang, orang Cina lazimnya akan membersihkannya dan sekitar dengan menebas rumput dan membuang sampah sarap. Mereka juga akan mengindahkan jirat dengan menanam pokok bunga atau mengecat semula tulisan pada batu nisan yang luntur catnya.

Selepas itu, mereka akan menyusun barang-barang pemujaan di depan jirat dan melakukan penyembahan kepada nenek moyang. Pengendali majlis penyembahan nenek moyang mestilah orang yang paling senior dalam keluarga. Ini jelas memperlihatkan budaya masyarakat Cina yang mementingkan senioriti.

Selain itu, terdapat juga pantang larang ketika menziarahi jirat nenek moyang. Misalnya, pengunjung tidak boleh saling menyebut nama masing-masing di hadapan jirat nenek moyang.

Bagi pihak yang konservatif, anak perempuan yang sudah berkahwin dilarang untuk menziarahi jirat nenek moyang. Hal ini kerana dikhuatiri anak perempuan itu akan membawa pergi tuah yang dikurniakan oleh nenek moyang.

Bagaimanapun, kepercayaan tidak berlandaskan bukti yang munasabah itu kini kurang dituruti. Anak perempuan yang sudah berkahwin juga menziarahi jirat nenek moyang keluarga sendiri sebagai tanda rindu dan hormat.

Setiap tahun menjelang perayaan Qingming, anak-anak yang mencari nafkah di perantauan tetap pulang ke kampung untuk menziarahi jirat nenek moyang.

Pada ketika itu, tapak jirat Cina di seluruh negara akan sesak dengan kenderaan dan pengunjung. Bahkan, kenalan atau kawan sekampung turut bertembung di sana. Ketika itu, mereka akan bertegur sapa dan bertanya khabar.

Ekoran perubahan zaman, kini ramai masyarakat Cina meminta waris membakar jenazah mereka apabila meninggal dunia. Kemudian, abu mayat diletakkan di kolumbarium (tempat letak abu mayat).

Bahkan, terdapat segelintir masyarakat Cina yang menganjurkan pengebumian hijau, yakni warisnya akan menaburkan abu mayat si mati ke dalam laut ataupun taman khas. Pengaturan seperti ini memudahkan waris yang sibuk untuk menziarahi jirat. Walaupun begitu, tradisi masyarakat Cina menyembah nenek moyang tidak akan lesap ditelan zaman.

Sesungguhnya, perayaan Qingming membawa erti yang menebal. Selain merindui nenek moyang, ahli keluarga juga dapat berkumpul bersama dan merapatkan hubungan antara satu sama lain.

Perayaan Qingming turut mendorong masyarakat Cina mengekalkan nama baik keluarga dan membanggakan nenek moyang. Saya berharap cucu-cicit saya akan meneruskan tradisi ini pada masa depan. – UTUSAN

DR. Tee Beng Lee ialah Felow Pusat Penyelidikan Cina Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×