MUKADIMAH
MUNGKIN ramai yang menganggap gelagat jutawan hartanah yang juga Pengerusi Eksekutif Haji Land Berhad, DATUK MOHAMAD AZLAN ABDULLAH @ ALI, yang asalnya seorang pengutip sampah membawa orang kampung dan kenalannya menaiki helikopter hanya gimik.
Sebenarnya banyak kajian pengurusan mendapati mereka yang menjadi jutawan sekarang bermula dengan azam untuk menjadi kaya setelah merasai sendiri walaupun sebentar bagaimana kehidupan seorang hartawan.
Ketika berkongsi pelbagai petua kepada wartawan Utusan Malaysia, NIZAM YATIM di pejabatnya di Bangi, Selangor, baru-baru ini, Mohamad Azlan, 36, yang unik dengan gaya berjambang menegaskan orang Melayu boleh berjaya dalam hidup walaupun dihimpit inflasi jika tidak berputus asa dan melihat masalah sebagai cabaran untuk berfikir di luar kotak bagi mencipta peluang baharu.
UTUSAN: Apakah nasihat kepada ramai rakyat yang tertekan dengan kenaikan kos barangan dan perkhidmatan?
MOHAMAD AZLAN: Pertama sekali, jangan melihat situasi yang sukar sebagai masalah. Kita kena betulkan mindset (penetapan minda). Kejayaan itu sendiri bermula daripada sikap, sikap ini tentang minda. Maknanya, ganti masalah kepada cabaran, kerana dalam cabaran dia mesti ada peluang baharu.
Macam kalau kita tengok, jika ada kesempitan, dia mesti ada kesempatan. Dalam erti kata lain, kita kena membuka ruang minda, jangan melihat dari satu sudut sahaja. Bila ada masalah, kita cari penyelesaian kepada masalah. Ini yang dikatakan berfikir di luar kotak kebiasaan dan positif. Apa sekalipun, bagi semua orang tidak boleh ada sikap putus asa dan menyerah kepada masalah.
Dan satu lagi, kita tak boleh sekadar menunggu peluang sahaja, kalau kita tunggu peluang, boleh jadi ia datang dan boleh jadi peluang tidak datang. Tetapi cuba kita yang cipta peluang, kreatif, fikir. Di setiap kesulitan, dia mesti ada jalan keluar.
Jadi kita sendiri jangan dikongkong dengan pemikiran yang mana kita anggap kalau ada tekanan, tekanan akan menekan kita ke bawah. Tapi orang-orang yang berjaya, selalunya berfikir tekanan itu menolak mereka ke atas atau ke depan.

Bagaimanakah petua ini digunakan dalam konteks perniagaan hartanah?
Macam hartanah, mesti setiap orang kena memiliki tanah sendiri untuk buat rumah dan kediaman pada masa depan. Takkan kita nak terus hidup dengan menyewa misalnya.
Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang, dengan boleh dikatakan kebanyakan orang terkesan dari sudut kewangan, jadi menyebabkan mereka tidak dapat membeli rumah ataupun tanah secara tunai seperti tahun-tahun yang sebelumnya sewaktu ekonomi masih baik.
Jadi kalau orang sudah tidak boleh hendak beli tanah secara tunai sekali gus, apa salahnya kita perkenalkan kaedah orang beli juga tanah tetapi dengan cara boleh bayar ansuran bulanan tanpa dikenakan apa-apa kadar faedah.
Dari segi projek perumahan pula, kita melihat masalah (cabaran) sekarang ini, kalau orang nak beli rumah, kalau dia pekerja kena ada slip gaji ataupun orang berniaga kena ada penyata bank. Jadi apa yang akan berlaku kepada orang-orang yang tidak memiliki slip gaji dan bukti keluar masuk wang. Jadi boleh diperkenalkan konsep jualan rumah bayar secara bulanan, secara ansuran tanpa slip gaji atau penyata bank.
Jadi dengan cara ini, dia orang boleh duduk rumah (walaupun belum bayar penuh). Kita buat macam kaedah bank, cuma tak perlu slip gaji dan penyata bank, ansuran terus kepada syarikat. Itu cadangannya. Jadi dengan cara ini, tak ada kadar faedah, bayar berasaskan harga rumah.
Bila diperkenalkan dengan lebih luas konsep ansuran macam ini, semua orang terutamanya yang kurang berkemampuan mampu dan berpeluang untuk memiliki hartanah. Cuma ada sedikit cabaran, dari sudut pengurusan, tapi tak ada masalah kerana semua cabaran ini dapat diatasi oleh minda yang positif.
Sekarang orang ramai apabila terdesak, mereka meminta kerajaan meluluskan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)?
Saya rasa fikiran mereka mungkin bersikap jangka masa pendek, tapi kita kena tengok untuk jangka masa panjang, kesan kepada negara dan kesan kepada mereka sendiri pada masa hadapan. Pengeluaran KWSP adalah langkah popular yang memberi keselesaan dan kepuasan sementara kepada rakyat tetapi jangka masa panjang akan mengundang lebih banyak masalah ekonomi kepada rakyat dan menyebabkan mereka melarat.
Keadaan sekarang memang ada kesukaran, tapi saya rasa bukanlah terlampau sukar, kita bukanlah mengalami krisis ekonomi yang terlalu gawat sehingga memaksa semua kantung-kantung kita kena pecahkan dan hendak kena kita ambil. Bertahan, kurangkan perbelanjaan-perbelanjaan tidak berfaedah yang tidak membantu sangat.
Kita masih ada banyak lagi jalan keluar. Kalau kita tengok sekarang, kalau berfikir secara positif, kita boleh menghasilkan dan mencipta banyak kaedah-kaedah baharu dalam perniagaan, supaya perniagaan kita itu terus ada kesinambungan (dan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan baharu dan pekerja tak diberhentikan).
Kalau Datuk berpeluang berjumpa dengan Perdana Menteri, apa yang akan dicadangkan?
Pendapat peribadi saya, apa-apa bajet yang tidak membantu dan tidak menyumbang kepada manfaat besar untuk rakyat, perlu dikurangkan. Contohnya, kita sudah ada berapa banyak projek pembangunan tetapi kita melihat rakyat termiskin tidak berpeluang juga untuk memilikinya, contohnya pembinaan kondominium dan semua yang mewah-mewah ini.
Projek yang bagus untuk rakyat, yang mereka perlukan macam yang dibangunkan oleh Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), kenapa mengalami banyak kegagalan? Sepatutnya projek yang bagus untuk rakyat sebegitu diberi perhatian, supaya rakyat kebanyakan dapat manfaat.
Rumah mampu milik dan rumah mesra rakyat, berapa sahaja bajet, bukan besar sangat, tapi kenapa tidak dapat dijayakan? Apa erti kita bermegah dengan pembangunan besar yang berskala mega, bangunan pencakar langit dan projek yang gah pada nama tetapi rakyat kita masih duduk di penempatan setinggan dan terpinggir.
Masalah ini yang saya rasa kerajaan perlu beri perhatian semula, beri penekanan kepada projek-projek yang memberi manfaat kepada rakyat. Saya kalau berpeluang berjumpa dengan Perdana Menteri saya akan tekankan soal ini.
Betapa ramai lagi rakyat yang masih menyewa dan tak ada rumah. Sebenarnya, kita boleh hentikan projek-projek pembangunan yang megah-megah ini dan kita bawa kantung negara ini kepada projek lain yang boleh memberi manfaat kepada rakyat.
Kenapa banyak projek kerajaan yang baik menemui kegagalan?
Ini berkait dengan tadbir urus yang mungkin kurang cekap. Tadbir urus kerajaan itu mesti cekap, telus dan berintegriti. Kalau tidak, ketirisan tetap akan berlaku sepanjang masa dan rakyat tidak akan mendapat manfaat.-UTUSAN










