Berdakwah melalui filem pendek

Berdakwah melalui filem pendek

KINI ramai membuat kandungan digital sama ada dirakam mahupun secara langsung dan memaparkannya di media sosial. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA zaman teknologi digital dan media sosial ini, ramai membuat klip video (kandungan digital), baik yang dirakam mahupun secara langsung dan memaparkannya di media sosial. Maka saban hari mereka yang memiliki akaun media sosial akan didedahkan kepada pelbagai klip video melalui Instagram, Facebook dan seumpamanya.

Klip video ini merangkumi banyak perkara. Daripada resipi makanan kepada ulasan makanan atau restoran, daripada jualan tudung atau baju kepada tutorial memakai tudung hinggalah tutorial memilih sepersalinan yang sesuai dan cantik mata memandang, daripada makanan dan aksesori kucing kepada kerenah kucing hinggalah kucing dimarahi ‘mama’, daripada pemakanan tambahan kepada senaman dan seterusnya kepada senaman yang boleh menghilangkan sakit-sakit badan.

Kalau rajin, carilah apa yang anda ingin cari, pasti temuinya dalam klip-klip video ini.

Ramai juga yang memanfaatkan ruangan ini untuk berdakwah. Ada yang membuat sedutan-sedutan penting dari satu ceramah panjang tokoh agama yang terkenal, ada yang mengajar mengaji secara langsung, ada yang berdakwah dengan membuat kandungan sendiri dan sebagainya.

Bagi memperbanyakkan kandungan digital yang memberi kefahaman Islam, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menganjurkan Pertandingan Mereka Cipta Video Pendek Kefahaman Islam (VIPKI) untuk penuntut institusi pengajian tinggi (IPT). Pertandingan ini dilancarkan pada 10 Februari lalu dan sedang berlangsung sehingga 31 Julai ini.

Bagi membantu bakal peserta untuk menghasilkan VIPKI ini, IKIM menganjurkan Majlis Apresiasi Filem Pendek pada 21 Mac lalu. Selain mengapresiasi dua buah filem pendek yang dikenal pasti, perbincangan panel yang diadakan juga mendedahkan bakal peserta kepada maksud filem pendek Islami serta formula untuk menghasilkan filem pendek yang baik.

Salah seorang ahli panel dalam majlis apresiasi itu ialah Pak Hassan Mutalib. Beliau antara lain menyebut, daripada pemerhatiannya terhadap filem pendek yang memenangi anugerah, didapati filem-filem ini memiliki tiga kriteria utama, iaitu continuous time (masa berterusan), continuous action (tindakan berterusan) dan plot twist (memutarbalikkan jalan cerita).

Beliau juga menyebut, antara filem pendek yang memenuhi kriteria-kriteria ini ialah Lunch Date dan Tiada Tajuk.

JAKIM

Majlis apresiasi ini juga dihadiri oleh pengarah drama dan penggiat seni drama dan filem serta para pensyarah yang rata-rata mahu memahami apa yang dimaksudkan dengan filem pendek Islami. Walaupun agak ketara daripada perbincangan ini bahawa masih belum ada satu definisi yang dipersetujui bersama tentang apa yang dimaksudkan dengan filem Islami, namun ia satu permulaan yang baik untuk mempertemukan penggiat seni drama dan filem dengan golongan agamawan untuk saling mengenali dan mula membincangkan tentangnya.

Agak mustahil untuk mencapai persetujuan tentang definisi filem Islami hanya melalui satu pertemuan yang singkat. Namun, saya yakin sekiranya IKIM dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dapat menganjurkan pertemuan seumpama ini dengan lebih kerap, akan wujud hubungan lebih mesra antara penggiat seni dengan golongan agama. Kemesraan itu akan melahirkan rasa selesa antara satu sama lain.

Keselesaan ini akan membolehkan kedua-dua belah pihak duduk berbincang dan mencapai kata sepakat tentang apa yang dimaksudkan dengan filem Islami dan menghasilkan garis panduan lebih berkesan dalam menggalakkan kreativiti penggiat filem dan drama.

Namun, dalam konteks pertandingan ini, video pendek kefahaman Islam merujuk kepada karya yang menonjolkan nilai-nilai baik dan mulia, yang meninggalkan rasa tenteram, yang menegakkan kebenaran, yang mengangkat nilai-nilai kesucian sejagat, yang meninggalkan rasa dekat dengan Islam dan Allah, yang membawa penonton memahami dan menghayati perintah dan larangan Allah SWT dengan lebih baik serta mengukuhkan minda Islami para penonton.

Jika inilah jenis video yang ingin dihasilkan melalui pertandingan ini, maka sekiranya para penuntut IPT menyertainya, secara tidak langsung IKIM telah melatih generasi muda ini untuk mengolah tema yang dipilih dari sudut pandangan Islam dan seterusnya berkreativiti dalam ruang lingkup Islam dalam menyampaikan cerita mereka. Dalam kata lain, pertandingan ini bakal mengasah minda generasi muda untuk berkarya secara Islami. Mereka ini bakal menjadi penggiat industri drama dan filem kita pada masa hadapan.

Dalam masa sedekad dari sekarang, merekalah yang bakal mewarnai dunia hiburan kita. Hakikat sebahagian daripada mereka hadir ke majlis apresiasi filem pendek tempoh hari dan mendengar perbincangan tentang apa itu filem Islami pastinya akan menjentik naluri dan minda mereka dan seterusnya mencorakkan kreativiti masing-masing. Semoga ramai lagi yang akan terjentik naluri dan mindanya untuk berkarya secara Islami apabila mereka mengikuti perbincangan tersebut melalui siaran tertunda di media sosial TVIKIM.

Selaku penyelaras pertandingan, saya amat berharap agar ramai penuntut IPT dapat menyertai pertandingan ini bukan sahaja demi merebut hadiah lumayan tetapi untuk berdakwah melalui filem pendek. Memang benar, pertandingan ini hanya menawarkan tiga hadiah utama dan lima hadiah sagu hati untuk pemenang. Namun, pahala berdakwah bakal menjadi milik semua peserta yang menghasilkan video pendek kefahaman Islam ini. – UTUSAN

PENULIS ialah Felow Kanan, Pusat Kajian Ekonomi & Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×