Anwar dan lawatan China - Utusan Malaysia

Anwar dan lawatan China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAHUN ini adalah ulang tahun ke-10 penubuhan kerjasama komprehensif perkongsian strategik antara Malaysia dan Republik Rakyat China, manakala pada tahun hadapan pula akan menandakan ulang tahun jubli emas hubungan diplomatik antara kedua negara.
Hubungan Malaysia dan China sering disulami pelbagai sudut yang kadangkala berbentuk retorik. Pada satu sudut, China adalah ancaman kepada kestabilan keselamatan serantau. Tuntutan ‘sembilan garisan bertitik’ China ke atas Laut China Selatan mengundang banyak kebimbangan kepada kebangkitan China sebagai kuasa besar dunia yang menandingi dominasi Amerika Syarikat (AS).
Sikap China yang semakin tegas dalam tuntutannya menyebabkan hubungan Kuala Lumpur-Beijing kadangkala tegang. Pencerobohan pesawat udara dan kapal laut perang di kawasan Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia (ZEE) menimbulkan protes diplomatik Kuala Lumpur. Agensi keselamatan negara terutamanya TUDM dan TLDM sentiasa berada di dalam keadaan kesiapsiagaan terhadap sebarang pergerakan pencerobohan ketenteraan Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) di wilayah kedaulatan negara.
Tetapi pada sudut lain, kebangkitan China sebagai kuasa besar ekonomi dunia setanding dengan AS dan Kesatuan Eropah (EU) memberikan banyak peluang kepada Malaysia untuk berdagang. Beijing boleh menjadi kuasa pengimbang ekonomi kepada kekuasaan mutlak yang dinikmati oleh Washington sebelum ini.
Aspek ekonomi dan perdagangan inilah, seperti mana perdana menteri sebelum ini, yang ditekankan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam lawatan rasmi pertamanya ke Beijing. Perdana Menteri bukan sahaja membawa misi politik – untuk membina keyakinan dan memperbaiki hubungan antara Kuala Lumpur dan Beijing – tetapi lebih penting memperkukuhkan kerjasama perdagangan terutamanya dalam aspek pelaburan China ke Malaysia. Ini dapat dilihat dalam ucapan beliau bahawa China perlu mempertingkatkan dan mengukuhkan semula Inisiatif Belt and Road (BRI).
Terdapat hujah mengatakan BRI adalah antara strategi Beijing untuk menguasai ekonomi negara-negara kecil dan sederhana dunia. Dalam beberapa contoh, inisiatif BRI ini menyebabkan negara kecil seperti Sri Lanka dan beberapa negara Afrika lain bankrap kerana tidak berupaya membayar hutang mudah yang dikeluarkan oleh bank-bank China. China juga dituduh menggunakan inisiatif BRI untuk campur tangan dalam politik domestik seperti mana berlaku terhadap Myanmar. Pun begitu, inisiatif BRI ini juga menyumbang kepada ketersambungan (connectivity) jaringan pengangkutan sama ada melalui jalan raya, kereta api dan juga udara.
Inisiatif ini boleh dilihat antara penyumbang kepada kerancakan perdagangan antara negara kerana ia memudahkan pengangkutan barangan rentas sempadan. Bagi Beijing, BRI boleh menghubungkan Singapura ke Kunming dan dari Beijing ke Budapest dengan cepat. Beberapa negara mendapat manfaat antaranya Indonesia melalui projek kereta api laju antara Jakarta dan Bandung, serta Thailand dan Kemboja yang juga sedang membangunkan jaringan kereta api laju di negara mereka.
Seruan Anwar agar China lebih aktif mempergiatkan inisiatif BRI juga mencerminkan tiga pendekatan yang telah diamalkan dalam diplomasi Malaysia : pragmatik, berhati-hati, dan produktif. Pentadbiran Anwar perlu berhati-hati di dalam menjaga hubungan dengan kuasa-kuasa besar seperti China. China bukan sebuah negara yang mudah diurus secara diplomatik. Kita perlu memahami psiki pemimpin mereka.
Antara tahun 2017-18, hubungan politik kedua negara agak tegang kerana tindakan kerajaan Pakatan harapan (PH) ketika itu yang menggambarkan China sebagai negara yang mula menguasai ekonomi Malaysia melalui beberapa projek seperti ECRL dan kawasan industri Malaysia-China di Kuantan. Tindakan kerajaan PH ketika itu yang agak kritikal dengan beberapa projek inisiatif BRI telah memberi gambaran kurang baik kepada Beijing.
Oleh itu, gesaan Anwar agar China “memperkasakan” semula inisiatif BRI merupakan pendekatan pragmatik kerajaan PH beliau demi untuk memperbaiki kerosakan diplomasi sebelum ini. Di bawah pentadbiran sekarang, China tidak lagi dilihat kepada pembuli ekonomi negara, tetapi kepada rakan strategik yang harus dihargai sumbangannya.
Langkah pragmatik Anwar juga diiringi oleh reputasi tinggi beliau di peringkat antarabangsa. Sebagai pemimpin yang dikenali di dunia, daya kepimpinan beliau akan menjadi tarikan Beijing untuk merancakkan semula hubungan dua hala. Tidak hairanlah Beijing telah menghamparkan karpet merah di dalam menyambut beliau. Cara sambutan Bejing itu dilihat sebagai satu respons positif China untuk memperkukuhkan kedua negara
Walaupun demikian, pendekatan dilakukan Malaysia dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim masih bersifat berhati-hati. Realiti yang harus diterima adalah dunia berhadapan dengan cabaran persaingan kuasa serantau antara China dan AS. China sering digambarkan oleh AS dan sekutunya sebagai kuasa memuncul yang tidak bertanggung jawab dan akan mengancam kestabilan dunia.
AS adalah rakan lama dan strategik Kuala Lumpur. Negara Uncle Sam ini masih mempunyai pengaruh besar dengan kekuasaan ketenteraan, teknologi dan perdagangan yang tidak boleh dipertikaikan. AS juga antara rakan dagang utama Malaysia. Sudah tentu, Kuala Lumpur tidak mahu dilihat terlalu rapat dengan Beijing. Namun, China adalah jiran dekat dengan Malaysia.
Sebagai negara pedagang, pasaran China juga adalah besar buat negara ini. Sukar bagi Malaysia untuk menjajarkan kedudukan politik dan diplomasinya antara kuasa besar ini. Oleh itu, dasar berkecuali dengan tidak berpihak di antara kedua-dua kuasa besar itu telah menjadi teras dan strategi utama negara. Diplomasi Kuala Lumpur oleh itu lebih menekankan aspek kerjasama ekonomi dan perdagangan. Adalah dijangkakan, Anwar juga mengunjungi Washington tidak lama lagi bagi bukan sahaja menunjukkan komitmen Kuala Lumpur kepada hubungan sekian lama terjalin, tetapi juga mengimbangi hubungnya dengan dua kuasa besar itu.
Akhir sekali, hubungan yang produktif adalah juga teras hubungan yang dipelihara antara kedua pihak. Hubungan produktif ini boleh dikembangkan di dalam pelbagai aspek. Selain ekonomi dan politik, peningkatan hubungan sosial juga adalah penting. Sebelum Covid-19, sebagai contoh, China adalah antara penyumbang utama pelancongan negara.
Di samping itu, pelajar China juga banyak menyambung pendidikan tinggi mereka di negara ini sekaligus menjadi penyumbang pendapatan kepada Malaysia. Hubungan seperti ini harus lebih produktif dalam era pasca Covid-19 kerana ia akan menyumbang kepada hubungan kebudayaan rakyat kedua negara.
Hubungan produktif di sini juga bermaksud kedua-dua negara dapat meraih manfaat daripada hubungan yang dipertingkatkan. Strategi menang-menang akan memberi impak positif kepada Malaysia dan China. Malaysia memerlukan Beijing bagi peningkatan pelaburan dan perdagangan manakala China memerlukan Kuala Lumpur sebagai antara rakan strategik di pentas politik dunia.

PROF. DR. Kamarulnizam Abdullah ialah Profesor Keselamatan Negara di Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa, UKM

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya