Melayu hanya pandai bercakap, tetapi tidak pandai bersatu - Utusan Malaysia

Melayu hanya pandai bercakap, tetapi tidak pandai bersatu

aznan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI dinding-dinding platform media sosial kita selalu lihat hadir kenyataan-kenyataan atau dakwaan-dakwaan bahawa orang Melayu kini terancam, kedudukan agama Islam tergugat dan lain-lain lagi.

Sudah tentunya ia dikaitkan dengan situasi politik semasa, di mana Kerajaan Perpaduan dibentuk hasil gabungan Pakatan Harapan (PH) yang ditunjangi Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP bersama dengan Barisan Nasional (BN) yang terasnya adalah UMNO.

Bermula dari hari pertama kerajaan dibentuk, naratif Melayu terancam menjadi modal semua pihak sama ada bagi mendapat perhatian dan sokong ataupun untuk mengganggu gugat pentadbiran kerajaan.

Cerita-cerita ekonomi dan hak orang Melayu semakin terabai dan terjejas menjadi halwa telinga kita setiap hari. Lebih ekstrem lagi, ada yang cakap bani Melayu ini akan pupus dalam masa lebih kurang 10 tahun lagi jika tidak ada usaha dilakukan kononnya untuk mempertahankannya.

Seolah-olah iman dan jati diri orang Melayu sangat rapuh dan mudah digoda oleh DAP yang kini menjadi sebahagian daripada kerajaan.

Ironinya, UMNO adalah parti Melayu yang terakhir menjalinkan kerjasama dengan DAP untuk membentuk. Boleh dikatakan semua parti yang berasaskan Melayu/Islam yang lain pernah menjalin kerjasama dengan parti yang ditunjangi kaum Cina itu.

Sebab itu, satu ketika dahulu kita cukup biasa dengan istilah kafir harbi dan kafir zimni. Apabila istilah Arab digunakan, maka umat Melayu pun terus lembut hati dan tunduk kepada apa yang dikatakan pemimpin mereka.

Istilah-istilah ini digunakan untuk menghalalkan perbuatan untuk bekerjasama dengan parti bukan Islam ketika itu. Matlamatnya adalah untuk mendapatkan kuasa bagi menjadi kerajaan. Tidak dapat kuasa Kerajaan Persekutuan, dapat bentuk kerajaan negeri pun sudah memadai.

Jika kita nilai kepada hujah-hujah Melayu terancam, tanah rizab Melayu akan tergadai, nasib Melayu tidak terbela, anak-anak Melayu dipinggirkan dan pelbagai lagi, ia memberi gambaran bahawa Melayu ini kaum yang cukup lemah. Kaum yang tidak mampu mempertahankan kuasa ekonomi, politik dan kepentingan mereka di tanah air sendiri.

Sesuatu kaum yang lemah sememangnya tidak layak untuk memerintah negara. Disebabkan Melayu lemahlah maka setiap parti yang mahu membentuk kerajaan perlu bekerjasama dengan DAP melalui PH.

Di sebalik semua naratif yang dicanang itu, cuma yang jarang kita dengar adalah seruan supaya Melayu Islam bersatu. Kita semua seolah-olah cuba menafikan, cuba memejamkan mata dan memekakkan telinga bahawa segala cerita, segala slogan, segala propaganda dan segala-galanya yang berkaitan Melayu bakal lenyap itu disebabkan perpecahan dalam kalangan umat Melayu itu sendiri.

Kenapa perpecahan ini berlaku? Disebabkan oleh mahu kejar kuasa dan kejayaan peribadi. Sama ada membabitkan parti politik atau pemimpin mereka.

Sebab itu, jarang sangat kita dengar di ceramah-ceramah politik yang meminta Melayu bersatu tanpa mengira pegangan atau ideologi politik. Bersatu atas nama Melayu dan Islam.

Sedangkan Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau Hamka pernah menitip pesan: “Bangunlah kasih umat Melayu, belahan asal satu turunan,bercampur darah dari dahulu, persamaan nasib jadi kenangan.”

Apa persamaan nasib orang Melayu sekarang seperti yang diungkapkan oleh Allahyarham Hamka itu? Tidak ada satupun parti politik Melayu yang memiliki kuasa. Dan orang Melayu tidak ada kuasa untuk berdiri sendiri dan terpaksa menumpang sokongan pihak lain seperti yang yang berlaku dan pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Tidak perlu menyalahkan DAP, tidak perlu menyalahkan PKR atau PH dan tidak perlu menyalahkan UMNO yang berpakat dengan kedua-dua parti itu untuk membentuk kerajaan. Renung dan kaji fakta di kedua-dua PRU itu. Betapa tidak ada satu parti Melayu pun yang kuat.

Semuanya sekadar menjadi parti serpihan yang menang sikit di sana dan sikit di sini. Perikatan Nasional (PN) gabungan Pas dan Bersatu hanya mampu menguasai empat negeri yang miskin, tetapi tidak cukup mandat untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

Andai kata semua jiwa Melayu di Malaysia ini bersatu padu, adakah mustahil untuk mereka menguasai politik dan pentadbiran negara?

Di seluruh negara ada 222 kerusi Parlimen. Daripada jumlah itu, 161 adalah kawasan di mana majoriti pengundinya adalah Melayu Islam. Tetapi kenapa Melayu tidak boleh berkuasa? Jawapannya adalah tidak bersatu. Para pemimpin dan juak-juak mereka hanya menyeru kepada perpecahan dan kebencian dan tidak mengajak untuk bersatu.

Sebab untuk Melayu bersatu ia memerlukan pengorbanan beberapa pihak.Lihatlah keputusan di pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayed Kuning semalam. Ia pertembungan antara siapa dengan siapa? Siapa yang berpecah? Siapa yang berbalah? Berdasarkan kepada sejarah apa akan jadi kepada bangsa yang pecah belah dan sentiasa berbalah sesama sendiri?

Makanya, berhentilah membuat kenyataan bahawa kepentingan Melayu kini tergugat, Melayu akan pupus dan sebagainya kerana yang menjadi punca kepada semua ini adalah diri kita sendiri.

Buat masa ini biarlah Kerajaan Perpaduan gabungan PKR, DAP dan UMNO memerintah hingga ke Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16). Beri mereka ‘ketenangan’ untuk menghadapi badai politik dunia ketika ini disebabkan perubahan dasar yang drastik oleh kerajaan Amerika Syarikat.

Jika setiap individu dalam bani Melayu ini ikhlas mahu memastikan mereka kuat, tidak terancam dan menguasai segala-galanya, maka bersatulah pada PRU16 nanti apabila kuasa dikembalikan kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu. Tidak kisahlah sama ada bersatu di bawah PH, BN mahupun PN. Kuncinya adalah bersatu-padu.

Kata-kata Laksamana Hang Tuah bahawa ‘takkan Melayu hilang di dunia’ tidak ada maknanya jika kita berpecah-belah dan berbalah hingga kiamat.

Aznan Bakar ialah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN