Rejuvenasi kepimpinan UMNO - Utusan Malaysia

Rejuvenasi kepimpinan UMNO

PELUANG dimiliki oleh perwakilan UMNO untuk memilih pemimpin tertinggi parti perlu dimanfaatkan sepenuhnya. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERUBAHAN dan keinginan untuk memulihkan kembali kekuatan yang dimiliki semestinya memerlukan tekad politik. Pemilihan UMNO kali ini merupakan yang kedua selepas parti ini gagal mempertahankan kedudukan sebagai kerajaan menerusi dua pilihan raya terkini.

Peluang dimiliki oleh perwakilan UMNO untuk memilih pemimpin tertinggi perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi menjamin kelangsungan parti. Hakikat parti ini sudah tidak sama seperti dahulu terutama dari segi pegangan kuasa dalam pemerintahan perlu diterima dengan hati terbuka.

Melihat kepada senarai calon yang bakal diundi dalam pemilihan kali ini, kita masih dapat melihat bagaimana keghairahan para pimpinan yang sentiasa bersedia untuk memimpin parti terbesar orang Melayu ini agar kembali ke landasan dicitakan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Apa yang ingin diutarakan dalam tulisan ini adalah bagaimana persaingan dalam pemilihan kali ini khususnya melibatkan jawatan naib presiden telah membuka ruang kepada parti untuk mendapat kepimpinan baharu dalam membantu kestabilan kerajaan perpaduan.

Walaupun jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan, namun UMNO masih ada peluang untuk memberikan wajah baharu dengan pimpinan yang mempunyai rekod lebih baik khususnya selepas kejatuhan mereka pada 2018.

Di peringkat negeri pada masa tersebut, kita dapat melihat bagaimana hanya dua negeri mampu dipertahankan Barisan Nasional (BN), iaitu Pahang dan Perlis. Dengan sumber terhad dan tidak dapat bergantung kepada kerajaan Pusat sebagaimana sebelum itu, kepimpinan dua negeri ini harus dipuji atas keupayaan mereka memimpin negeri.

Untuk memulihkan sokongan, dua negeri ini walaupun digelar ‘dua batu nisan UMNO’, pimpinan negeri seperti Menteri Besar Pahang yang baharu dilantik pada ketika itu berusaha menggembleng sumber yang ada sama ada tenaga mahupun kewangan.

Terpaksa berdepan kerajaan Pusat yang berlainan parti, pemimpin dari negeri itu menggerakkan jentera yang ada bagi memastikan UMNO dan BN terus relevan. Ini dapat dibuktikan dalam beberapa siri pilihan raya kecil (PRK) yang berlaku pasca 2018 seperti kemampuan untuk mempertahankan Parlimen Cameron Highlands dan membantu kemenangan yang lain.

Mengambil iktibar atas apa yang berlaku, pimpinan sedia ada tidak boleh mendabik dada untuk terus selesa dengan perkembangan semasa walaupun UMNO merupakan sebahagian daripada kerajaan pada hari ini hasil kerjasama politik selepas pilihan raya umum (PRU) lalu.

Kemerosotan sokongan berterusan kepada parti ini semasa pilihan raya lalu harus menjadi tanggungjawab semua untuk dipikul dan bersedia bekerja lebih kuat lagi walaupun tiada jawatan kelak.

AKAR UMBI

Peluang harus diberikan kepada pimpinan baharu yang bakal dipilih untuk menyuntik arah tuju parti agar tidak kekal berada dalam trek sama yang terbukti tidak mampu mengubah masa depan parti.

Pemimpin sedia ada walaupun mampu meneruskan penaungan kepada pimpinan bawahan, namun ia hanya terhad kepada kelompok tersebut tanpa mampu untuk melebarkan lagi pengaruh. Maka, tidak salah untuk memberi peluang kepada calon-calon muka baharu sama ada bagi naib presiden dan juga ahli Majlis Kerja Tertinggi.

Bagi naib presiden, pertimbangan utama mungkin adalah memilih mereka yang terbukti telah memberi daya kepimpinan yang cekal pasca 2018. Melihat kepada lapan calon yang bertanding, tidak dinafikan kesemuanya mempunyai kesetiaan tidak berbelah bahagi terhadap UMNO.

Masing-masing mempunyai pengalaman yang pelbagai sama ada di peringkat pusat sehinggalah akar umbi. Namun, disebabkan kedudukan semasa UMNO yang memerlukan naib presiden yang berusaha untuk memulihkan parti tanpa meletakkan kepentingan peribadi mengatasi parti.

Melihat kepada pemilihan UMNO pada 2018, calon dari Pahang yang juga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mendapat undi tertinggi bagi jawatan naib presiden.

Ini berdasarkan keyakinan kalangan pemilih untuk meletakkan pimpinan dari negeri ini sebagai salah seorang pimpinan tertinggi berdasarkan kedudukan semasa UMNO di Pahang.

Bagi pemilihan kali ini, dengan lapan orang calon bertanding, ada yang berjawatan menteri di peringkat pusat, ahli Parlimen dan seorang wakil menteri besar.

Perwakilan yang bakal mengundi perlu membuat keputusan agar ketiga-tiga naib presiden mampu untuk bekerja dengan Presiden dan Timbalan Presiden.

Seterusnya, cabaran terdekat bagi semua parti politik di negara ini adalah untuk menghadapi pilihan raya bagi lima negeri iaitu Selangor, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan dan Kelantan. Ia dijangka diadakan selewat-lewatnya pada Jun ini dan dalam tempoh masa yang ada ini, keperluan untuk menyatukan parti dan menggerakkan jentera adalah keutamaan.

Maka, pemilihan UMNO kali ini perlu meletakkan sasaran jelas dan pimpinan yang mantap bagi mendapatkan sokongan pengundi kepada parti itu.

Pengalaman yang ada bagi pemimpin yang bakal dipilih dalam menggerakkan jentera khususnya di peringkat negeri perlu ditagih. Mungkin ia menjadi kayu ukur pertama bagi UMNO untuk membuktikan bahawa mereka akan terus relevan dalam politik Malaysia. – UTUSAN

DR. Che Hamdan Che Mohd. Razali ialah penganalisis politik dan Pensyarah Kanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×