Punjabi, Sikh dan Benggali - Utusan Malaysia

Punjabi, Sikh dan Benggali

ORANG Punjabi beragama Sikh menyambut Vaisakhi iaitu pesta menuai di Punjab pada bulan April. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAHUKAH anda beza antara orang Punjabi dan Benggali? Atau bagi anda, kedua-duanya merujuk kepada komuniti yang sama dan memiliki identiti budaya sama?

Dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia, memang sering berlaku pemberian label atau nama yang salah kepada komuniti tertentu. Misalnya, orang Jawa dan Bugis boleh sahaja dikategorikan sebagai Melayu tetapi tentulah tidak wajar orang Jawa digelar Bugis atau sebaliknya.

Demikianlah juga halnya dengan orang Punjabi dan Benggali. Mungkin sahaja kenyataan ini menghairankan dan mengelirukan kebanyakan orang. Kekeliruan timbul kerana dalam budaya kita sejak dahulu, tidak ada bezanya antara Punjabi dan Benggali.

Sejak kecil, anda mungkin melihat lelaki Punjabi yang berserban dan berjanggut, lalu memanggilnya Benggali. Malah, mungkin itulah yang diajar oleh ibu bapa sejak kecil. Apabila dewasa, disebabkan kurang pergaulan dengan masyarakat majmuk, anda meneruskan hidup dengan menyangka Punjabi dan Benggali merujuk kepada komuniti yang sama.

Sebenarnya, pernah ada sekumpulan komuniti Punjabi beragama Sikh tampil meluahkan kemarahan dan protes kerana dipanggil Benggali. Kejadian ini berlaku pada April 2008 apabila Menteri Besar Perak ketika itu, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin tersilap mengucapkan, “Selamat menyambut Vaisakhi” kepada komuniti Benggali.

Kesilapan menggelar orang Punjabi sebagai Benggali menyebabkan sekumpulan hadirin pada majlis itu segera meninggalkan dewan sebagai tanda protes. Insiden itu turut mendapat perhatian media di India, iaitu tempat asal nenek moyang kedua-dua komuniti terbabit.

Orang Punjabi beragama Sikh menyambut Vaisakhi manakala orang Benggali beragama Hindu menyambut tahun baharu yang dinamakan Poila Baisakh. Pada tahun ini, kedua-duanya jatuh pada 14 April, iaitu tarikh sama orang Tamil dan Malayali turut menyambut tahun baharu masing-masing.

Dalam buku Suvarna Bhumi (2022), saya menerangkan secara terperinci bagaimana muncul kekeliruan antara orang Punjabi dan Benggali di Malaya (Malaysia) sejak zaman penjajahan British.

Lebih 100 tahun dahulu, orang dari Punjab berkumpul di Teluk Bengal bersama-sama orang Benggali sebelum menaiki kapal laut menuju ke Pulau Pinang.

Dari situlah bermula amalan melonggokkan kesemua migran yang datang dari pelabuhan di Teluk Bengal sebagai Benggali.

Dalam realiti, wilayah Punjab terletak di bahagian utara India dan bersempadan dengan Pakistan di barat. Bengal terletak di sebelah timur pula sejak 1947 terbahagi antara India dan Bangladesh. Jarak lebih 1,500 kilometer memisahkan Punjab dan Bengal.

Maknanya, mereka adalah dua komuniti berlainan dengan latar budaya, sejarah, pengalaman, bahasa, agama dan adat yang amat berbeza. Maka, kita perlu faham mengapa diaspora Punjabi di Malaysia tersinggung apabila digelar sebagai Benggali.

SULTAN PERAK

Dalam kejadian melibatkan menteri besar Perak pada 2008, individu dan wakil pertubuhan Punjabi dan Sikh meluahkan rasa kecewa. Mereka tertanya-tanya, mengapa dan bagaimana penduduk dan pemimpin di Malaysia masih terlalu jahil dan tidak cuba mengambil tahu fakta berhubung perbezaan kedua-dua komuniti itu?

Untuk berlaku adil, saya sendiri perhatikan bagaimana komuniti Punjabi sebenarnya lebih ketara menggunakan identiti agama Sikh apabila merujuk kepada diri mereka. Misalnya, pelbagai buku dan artikel jurnal ilmiah merujuk komuniti itu sebagai orang Sikh dan bukan sebagai orang Punjabi.

Misalnya, pada April 2021, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah melancarkan buku Sikhs in Malaysia tulisan sejarawan, Dr. Ranjit Singh Malhi. Mungkin juga orang ramai lebih banyak terdedah kepada sejarah dan pencapaian komuniti Sikh (berdasarkan agama), lalu tidak sedar mereka sebenarnya orang Punjabi (berdasarkan keturunan).

Berbalik kepada insiden pada April 2008, seorang pembaca bernama Darshan Singh menyatakan pandangan di sebuah portal berita dalam talian bahawa komuniti Sikh ada alasan untuk berasa sedih dan kecewa. Pada masa sama, dia menggesa komuniti Sikh terlibat secara aktif dalam mendidik masyarakat mengenai identiti dan jati diri yang membezakan mereka dengan komuniti Benggali.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Nawar waktu itu, Keshvinder Singh dilaporkan berkata, “Mohammad Nizar tentu tidak berniat menghina orang Sikh dalam ucapannya. Pada masa sama, beliau mengaku agak keliru dan terkejut dengan kekhilafan yang berlaku.”

Mendiang Karpal Singh pula menganggap insiden itu sebagai perkara trivial atau remeh-temeh sahaja. Beliau menggesa komuniti Sikh tidak terlalu kecewa dan memperbesarkan kes itu.
“Di Malaysia, kedua-dua istilah itu (Punjabi dan Benggali) dianggap sama. Jadi, tak perlulah rasa tersinggung,” Karpal dipetik dalam laporan media tempatan dan di India.

Perhatikan bagaimana Darshan, Keshvinder dan Karpal menggunakan identiti agama (Sikh) dan bukannya identiti keturunan (Punjabi) apabila merujuk kepada komuniti berkenaan. Mereka juga jelas tidak rasa tersinggung atau menganggap sebagai suatu kesalahan jika komuniti Punjabi atau Sikh dirujuk sebagai orang Benggali beragama Hindu.

Anehnya, pada masa sama, komuniti Punjabi yang nenek moyang mereka berasal dari wilayah utara India, sejak dahulu sentiasa mahu dibezakan daripada kaum India seperti Tamil, Malayali dan Telugu yang nenek moyang berasal dari wilayah selatan.

Perihal pembinaan identiti unik komuniti Sikh mulai tarikh 30 Mac 1699 di bawah pimpinan Guru Gobind ada saya huraikan secara mudah dan menyeluruh dalam buku Malaiur Manikam (2015). Pada pandangan dan pendirian saya, setiap komuniti memiliki identiti, sejarah, budaya, jati diri dan adat yang unik dan berbeza.

Mereka amat wajar dan sangat berhak mempertahankannya, selaras hak yang dijamin Perlembagaan dan juga kerajaan perpaduan yang mendukung gagasan madani.

Sekiranya insiden orang Punjabi digelar Benggali seperti terjadi pada 2008 masih berlaku hari ini, ternyata kita sebagai sebuah negara yang konon meraikan kepelbagaian masih gagal untuk saling mengenali dan hormat-menghormati. – UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN