PRN: Nasib PN di Pulau Pinang pada Gerakan?

PRN: Nasib PN di Pulau Pinang pada Gerakan?

DOMINIC Lau (kiri) menyatakan akan terus memimpin Gerakan untuk memastikan kemenangan Perikatan Nasional (PN) di Pulau Pinang dalam pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi. - UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERAKAN terkecundang tiga kali berturut-turut dalam pilihan raya umum (PRU) di Pulau Pinang. Namun, Pengerusinya, Datuk Dominic Lau menegaskan beliau akan terus memimpin Gerakan untuk mengambil semula kuasa yang lama kehilangan di Pulau Pinang dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Dalam PRU14, Gerakan hanya bertanding 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Sekarang, Gerakan berada di bawah Perikatan Nasional (PN), maka 10 kerusi yang dahulunya dipertandingkan MCA dan dua kerusi oleh MIC boleh diambil alih kesemuanya oleh Gerakan dalam PRN tidak lama lagi. Gerakan dijangka bertanding 25 kerusi DUN, namun buat masa ini belum ada petanda positif menunjukkan parti itu mempunyai peluang cerah di Pulau Pinang.

Dalam PRU14, Gerakan hilang wang deposit bagi salah satu kerusi yang dipertandingkan. 10 kerusi lain pula mendapat kurang daripada 4,000 undi.

Dalam PRU14, Pakatan Harapan (PH) hilang empat daripada 40 kerusi yang dipertandingkan di Pulau Pinang. Antaranya, tiga kerusi dimenangi UMNO, satu lagi kerusi direbut oleh Pas yang bertanding sebanyak 21 kerusi. Sesungguhnya Pas tidak menunjukkan kuasa pengaruh yang menonjol di Pulau Pinang pada masa itu. Ketidakhadiran PH di DUN Penaga menyebabkan para penyokong terpaksa menyerahkan undi kepada Pas sebagai alternatif.

Dalam PRN lepas, lapan kawasan yang dimenangi PH di Pulau Pinang didapati memperoleh undi kurang separuh daripada undi keseluruhan. Antaranya PKR enam kawasan, Parti Amanah Negara (Amanah) satu kawasan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) satu kawasan (pada masa itu Bersatu masih di bawah PH). Kerusi-kerusi DUN tersebut bertumpu di bawah kawasan-kawasan Parlimen Kepala Batas, Tasek Gelugor, Permatang Pauh dan Balik Pulau.

Dalam PRU15, PN dengan mengejutnya berjaya menakluki tiga kerusi Parlimen di Kepala Batas, Tasek Gelugor dan Permatang Pauh. Di Parlimen Balik Pulau pula, jumlah undi dikutip PN hampir sama dengan PH.

Untuk PRN akan datang, kerusi-kerusi DUN di bawah keempat-empat kawasan Parlimen tersebut sudah tentu menjadi sasaran PN.

PH akan berdepan risiko kehilangan tiga kerusi DUN di Parlimen Permatang Pauh iaitu Seberang Jaya, Permatang Pasir dan Penanti. Di Parlimen Balik Pulau, PH akan diserang sengit oleh PN di Bayan Lepas, Pulau Betong dan Teluk Bahang. Berikutan kekalahan UMNO di Parlimen Kepala Batas dan Tasek Gelugor, DUN Penaga, Bertam, Pinang Tunggal, Permatang Berangan, Sungai Dua dan Telok Ayer Tawar juga mungkin akan kalah kepada PN.

Dalam tiga PRN lepas, DAP dan PKR berjaya meraih lebih separuh daripada jumlah kerusi DUN yang dipertandingkan, dan memegang tampuk pimpinan di Pulau Pinang. PH dijangka terus mengekalkan kemenangannya dalam PRN akan datang kerana gagasan itu terbukti mendapat sokongan amat padu daripada para pengundi di negeri itu. Akan tetapi, kekuatan PN dilihat kian membangkit dalam PRU15, seterusnya memberikan persaingan hebat dalam PRN di kawasan-kawasan majoriti pengundi Melayu.

BN

Bagaimanapun, untuk membolehkan PN membentuk kerajaan di Pulau Pinang, Gerakan perlu memenangi jumlah kerusi secukupnya. Setakat ini, pengundi bukan Melayu berasa pelik mengapa Gerakan sanggup bersepakat dengan Bersatu dan Pas memandangkan ideologi politik ketiga-tiga parti itu begitu jauh berbeza. Masyarakat umum tertanya-tanya, bagaimana Gerakan dapat meyakinkan pengundi bukan Melayu untuk menyokong mereka?

Dalam PRU12, pengundi memilih PKR dan DAP untuk mengubah kerajaan negeri Pulau Pinang. Pada hakikatnya, kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat (PR) telah menunjukkan prestasi yang memuaskan hati rakyat.

Sudikah pengundi Melayu di Pulau Pinang menerima PH? Melalui keputusan PRU empat kali yang lepas, penerimaan pengundi Melayu di Pulau Pinang terhadap PH semakin bertambah. Kerajaan negeri itu juga didapati sentiasa berkomunikasi dan menghulurkan bantuan yang realistik kepada rakyat bagi menambahkan keyakinan dan sokongan pengundi Melayu. Dalam PRU15, jumlah pengundi Melayu di lapan daripada 14 kerusi dimenangi PKR melebihi 50 peratus. Ini terbukti PH berdaya menang di kawasan majoriti pengundi Melayu.

Kali ini, pengemblengan tenaga PH dan Barisan Nasional (BN) dalam PRN akan datang mempunyai peluang yang besar untuk menghalang serangan PN. Namun, di bawah gagasan PH, PKR kelihatan menghadapi cabaran lebih besar berbanding DAP dan Amanah di Pulau Pinang.

Dalam PRN lepas, sokongan pengundi Melayu yang diraih PKR di kerusi Pinang Tunggal, Sungai Bakap dan Sungai Acheh adalah lebih kurang sama dengan UMNO. Jika penyokong UMNO di ketiga-tiga kawasan tersebut berubah haluan, maka PN beroleh kesempatan. Akan tetapi, dipercayai UMNO akan terus bekerjasama erat dengan PH sebagai langkah mempertahankan diri.

Adakah pengundi bukan Melayu di Pulau Pinang akan mengundi UMNO jika parti itu berganding bahu dengan DAP? Berdasarkan tinjauan pendapat tentang takat kepuasan rakyat terhadap kerajaan perpaduan, dipercayai pengundi bukan Melayu sanggup menerima pengemblengan tenaga antara UMNO dengan DAP. Pengundi Cina sedar realiti politik semasa negara dan akan terus menyokong kerajaan perpaduan.

​Kesimpulannya, PH dan BN dijangka terus memerintah di Pulau Pinang. Bahkan, antara enam negeri yang bertanding dalam PRN nanti, kerajaan PH dan BN di Pulau Pinang dapat mempertahankan majoriti dua pertiga. – UTUSAN

DR. Tee Beng Lee ialah Felow Pusat Penyelidikan Cina Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN