Perang politik Melayu yang panjang

Perang politik Melayu yang panjang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERGILIR-GILIR masuk, keluar mahkamah. Sama ada pendakwaan terpilih atau pemangsaan politik yang dirancang, segalanya akan terjawab di mahkamah. Terbongkar sini, dibongkar sana.

Tampak hari ini ramai orang yang berpelajaran. Mereka memikirkan keluhuran undang-undang atau rule of law. Kalau tidak menghormatinya, bangsa akan hancur.

Cuma kalau dikatakan ‘orang Melayu tidak begitu minat undang-undang ini’, harus beringat sikit. Kita dijajah sebab undang-undang. Kita ditinggalkan penjajah menerusi undang-undang. Kita merdeka pun sebab undang-undang. Sebab mereka yang dijatuhi hukuman penjara, kenapa tidak akur kepada undang-undang? Rukun Negara pun ada undang-undang. Ini kesilapan besar tamadun kita nanti. Dan dalam politik, sekejap sahaja orang ingat. Selepas itu tidak alurkan lagi.

Di sebalik episod-episod pendakwaan terhadap pelaku rasuah membabitkan pembesar kerajaan, ada kisah lagi menyedihkan dan menyayat hati. Ya, perang politik Melayu hari ini yang begitu panjang. Tidak berhenti, belum ada noktahnya, malah kian menggila – ibarat barisan pokok bakau atau tebatan yang tidak mampu mengekang ombak atau bah yang membadai.

Pemain-pemain politik kita hari ini, tidak kira yang mana satu, pasti sekali ‘mengimpikan’ memperjuang satu jenama politik untuk “membela bangsa, agama dan tanah air”. Slogan itu amat cantik, tapi malang amalannya tidak seindah mana. Kita orang Melayu sendiri terasa bersalah dalam hal ini kerana sebanyak sedikit turut disedut ke dalam politik kabilah ini – yang mengamalkan politik ‘orang kita’ dan ‘orang dia’ selagi politik bernama politik.

 

PRINSIP politik Machiavelli hanya memanjangkan tabii kawan jadi lawan serta membiakkan korupsi dalaman. Kaedah ini membunuh sifat luhur, sekali gus membunuh budaya kemelayuan kita. Ia membunuh politik demi perolehan jawatan, pangkat dan kuasa.

MACHIAVELLI
Sekurang-kurangnya kita belajar dari prinsip politik Machiavelli yang mengasaskan kuasa kepada mendapatkan sokongan dan populariti suara teramai dengan cara apa sekalipun. Cara tidak diperhitungkan, asalkan matlamat tercapai. Dan kita faham kaedah ini akan memanjangkan tabii kawan jadi lawan dan akan membiakkan korupsi dalaman.

Kaedah ini membunuh sifat luhur, sekali gus membunuh budaya kemelayuan kita. Ia membunuh politik demi perolehan jawatan dan pangkat – kuasa. Jika tidak dibanteras, apabila pemimpin jenis ini memerintah dalam kerajaan nanti mudahlah rasuah menular dalam sistem pemerintahan itu sendiri. Untuk mengekangnya, mesti diwujudkan sistem nilai yang boleh dikuatkuasakan melalui pengaruh pimpinan dan tindakan penguatkuasaan sama ada dalam parti mahupun dalam kerajaan.

Yang pasti, pergolakan politik yang berkisar hari ini di sekeliling tokoh-tokoh pemimpin adalah secara peribadi dan bukan berdasarkan isu-isu kepentingan umum. Seperti dalam hikayat-hikayat, apabila pemimpin berperang, selalunya atas urusan peribadi, massa Melayulah yang menanggung beban. Ramailah yang akan digembleng dan diadu dombakan. Dalam krisis ini, sesiapa yang pandai menangguk di air keruh akan meraih keuntungan. Sayangnya, pergolakan politik bukannya melibatkan prinsip-prinsip menyentuh kehidupan rakyat, tetapi kebiasaannya tercetus dari perebutan kuasa dan jawatan.

Masih ada pemimpin yang menganggap orang Melayu cuma sebagai anak-anak tangga untuk naik ke atas. Apabila masyarakat lain mendengar atau membaca ucapan-ucapan mereka, sebilangan berasa segala-segala dilakukan untuk memajukan orang Melayu. Kerana mereka menilai cuma berdasarkan ucapan berkobar-kobar dengan ‘formula dan statistik bagai’ itu. Tanpa diketahui mereka sebenarnya kata-kata indah itu tidak diterjemahkan kepada tindakan.

Yang kita bimbang lagi, pendekatan meledak ini, walaupun sensasi, cuma merugikan orang Melayu. Orang Melayu menanggung beban tuduhan dari dalam dan dunia luar bahawa mereka ‘anak emas’ kerajaan, walhal mereka tidak pula menerima bantuan sebesar yang disangkakan. Lebih merugikan lagi, mengikut nasionalisme palsu, kita tidak harus membincangkan sebarang kekurangan dan kelemahan kita. Tidak boleh mengkritik atau menegur, walaupun secara ikhlas, jujur dan membina. Sebarang usaha ke arah itu ditohmah mengkhianati bangsa.

IKLIM POLITIK SEGAR
Kita amat perlukan iklim politik baharu yang lebih segar, matang dan keluar daripada bayangan politik lama yang menjengkelkan. Negara memerlukan lebih ramai ahli politik muda yang berwibawa bersama ahli politik senior yang mempunyai hikmah yang tinggi untuk terus membangunkan negara.

Dan antaranya yang teramat penting adalah kepatuhan dan penguatkuasaan rule of law. Undang-undang hanya bermakna bila kehendak dan arahannya dipatuhi.

Walau apapun yang diteorikan oleh pihak-pihak yang terbabit dengan membelakangkan undang-undang negara, isu undang-undang dan penguatkuasaannya terus dipersoalkan.

Pada masa sama, mereka yang tidak pedulikan keluhuran undang-undang lantas mencabar melalui gerombolan politik jalanan atau politik sorak-sorai. Bila ini berlaku bererti undang-undang negara sudah diketepikan. Mulalah didakwa bahawa undang-undang tertentu bersifat zalim sedangkan ia diperbuat oleh rakyat sendiri untuk ketenteraman awam.

Perasaan peribadi atau kumpulan tidak boleh dijadikan asas perhitungan bila berhadapan dengan tuntutan undang-undang. Kita tidak perlu menjenguk jauh untuk belajar daripada keruntuhan bila penguatkuasaan undang-undang sudah tidak lagi diutamakan. Jiran Malaysia yang tegas ada – mereka berjaya. Jiran Malaysia yang ‘lebih kurang dan bisa diatur’ juga ada – mereka pernah dilanda sengketa yang sebahagian besarnya berpunca daripada tumbangnya undang-undang akibat kelemahan penguatkuasaan.

Malaysia jika hendak selamat di musim mencabar ini mesti meneladani mereka yang tegas dan menghormati undang-undang.

Di sebalik itu, perang politik Melayu masih panjang. Belum nampak cahaya di hujung terowong.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya