Pendapatan tidak selari kenaikan harga barang - Utusan Malaysia

Pendapatan tidak selari kenaikan harga barang

KEDENGARAN banyak rungutan tentang harga makanan di bazar Ramadan yang agak mahal dan tidak setimpal dengan kualiti mahupun kuantiti. – GAMBAR HIASAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KITA masih di minggu pertama Ramadan, namun sudah kedengaran banyak rungutan tentang harga makanan di bazar Ramadan yang agak mahal dan tidak setimpal dengan kualiti mahupun kuantiti.

Walaupun banyak rungutan di media sosial mendakwa peniaga bazar Ramadan menjual makanan pada harga ‘kayangan’, ada segelintir pembeli memahami situasi itu memandangkan kos sara hidup semakin meningkat selain tidak semua peniaga sanggup menyediakan Menu Rahmah kerana tidak membawa keuntungan.

Pun begitu, bagi golongan bekerja, mereka terpaksa berhabis juga kerana kesuntukan masa dan penat menghadap kesesakan lalu lintas bagi menyediakan juadah makanan untuk ahli keluarga. Bahkan untuk membeli makanan basah juga harganya lebih kurang sama dengan membeli makanan siap dimasak.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jika ke pasar atau pasar raya, harga sekilogram ikan jenahak antara RM18 hingga RM20, namun membeli siap lauk ikan jenahak yang sudah dimasak sekitar RM10 hingga RM15 untuk dua potong ikan. Ia lebih berbaloi kerana tidak perlu berpenat di dapur.

Itu cerita tentang kos makanan, belum lagi kenaikan harga pinjaman perumahan selepas empat kali kerajaan menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR), tahun lalu. Daripada mampu membayar secara bulanan, kini awal bulan sudah terasa nyawa-nyawa ikan nak menunggu gaji seterusnya. Jika naik OPR sekali lagi, rasanya sudah tidak mampu lagi menampung komitmen bulanan tersebut. Silap-silap hari bulan, jual balik rumah tersebut.

Melihat pada situasi ini, jelas kita tersepit dengan kesenjangan kos sara hidup sekiranya tingkat pendapatan dan kenaikan pendapatan tidak selari dengan kenaikan harga barang. Mereka yang benar-benar terkesan ialah golongan rentan seperti gelandangan, orang kurang upaya (OKU) dan golongan berpendapatan rendah (B40) dengan gaji isi rumah di bawah RM4,849 sebulan.

Bagi Pensyarah Kanan di Jabatan Ekonomi, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya, Dr. Elya Nabila Abdul Bahri, kuasa beli pengguna penting dalam pengukuhan ekonomi negara ekoran sering dikaitkan dengan jumlah barangan atau perkhidmatan yang boleh dibeli dengan satu unit mata wang.

Dengan RM1, berapa banyak barang boleh dibeli hari ini berbanding 1980-an? Jika dahulu RM1 boleh beli dua mangkuk mi kari dan dua gelas air sirap, tetapi hari ini nilai tersebut tidak dapat membeli sebotol air mineral.

Ini menunjukkan kenaikan harga barang selaras dengan kenaikan gaji dan upah. Ia selaras dengan teori lingkaran upah-harga. Firma akan meningkatkan harga barang sekiranya kadar upah dinaikkan kerana kos buruh dalam pengeluaran meningkat.

Jika dilihat kenaikan kedua-dua elemen ini, sejak 2013 gaji minimum RM900 diperkenalkan sehingga RM1,500 (2022), kenaikan gaji minimum adalah 66.67 peratus, manakala kenaikan harga barangan mengikut harga indeks pengguna pula 18.64 peratus. Jadi, adakah kita benar-benar tersepit?

“Kita akan tersepit dengan kesenjangan kos sara hidup sekiranya tingkat pendapatan dan kenaikan pendapatan tidak selari dengan tingkat harga dan kenaikan harga barang. Oleh demikian, kerajaan menyediakan Insentif Pendapatan Rakyat (IPR) untuk jana sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan melalui pelbagai inisiatif,” jelasnya.

INFLASI

Penurunan inflasi dalam konteks permintaan dan penawaran adalah dengan menurunkan permintaan atau meningkatkan penawaran atau peningkatan dalam penawaran dan permintaan secara serentak. Di peringkat pengguna, harga boleh diturunkan dengan mengurangkan perbelanjaan.

Namun, sukar untuk kita mengurangkan perbelanjaan bagi barangan asas. Misalnya makanan, kita perlu makan setiap hari. Tambahan pula, penurunan dalam permintaan akan mengurangkan kesan pengganda dan boleh menyebabkan lambakan dalam pasaran.

Maka, kerajaan juga melaksanakan dasar fiskal mengembang dengan peruntukan subsidi melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Jualan Rahmah yang menawarkan barangan asas dengan harga sehingga 30 peratus lebih murah berbanding pasaran agar kuasa beli pengguna dapat ditingkatkan.

“Malaysia memerlukan lebih ramai pengusaha yang berdaya inovasi, di mana kerajaan dalam Belanjawan 2023 memberikan peruntukan tambahan RM50 juta untuk penyelidikan dan pembangunan bagi menyelesaikan masalah komuniti dan industri.

“Dalam belanjawan dibentangkan baru-baru ini juga ada mengetengahkan peruntukan 28 hektar tanah perladangan untuk penanaman jagung bijirin bagi penghasilan dedak ayam tempatan yang selama ini kita import. Maka, ini dijangka dapat mengurangkan kos pengeluaran untuk penternakan ayam seterusnya mengawal harga pengeluar dalam negara,” kata Elya Nabila lagi.

Apa yang mendukacitakan, ada segelintir pengeluar sengaja menyorokkan barangan yang mengekang jumlah penawaran bagi tujuan untuk meningkatkan harga seperti dilakukan kartel.

Maka, kerajaan perlu memikirkan mekanisme untuk mengawal harga pengeluar berbanding kawalan harga barangan akhir. Ia boleh dilakukan dengan mewujudkan sistem integrasi yang dapat menghubungkan maklumat di setiap lapisan dalam rantaian bekalan sehingga ke barangan akhir secara kumpulan data yang besar dan terkemaskini mengikut peredaran waktu.

Pembelian barangan tempatan ini akan dapat memastikan pergerakan wang berlegar dalam negara. Usaha ini akan dapat mengelakkan wang dan modal keluar negara untuk mengukuhkan nilai ringgit ekoran ancaman dari ketidaktentuan nilai dolar Amerika Syarikat. Pengukuhan nilai ringgit dijangka dapat mengurangkan kos pengeluaran bagi barang separa siap dalam rantaian bekalan.

Peningkatan kuasa beli pengguna dapat meningkatkan hasil jualan, merancakkan lagi aktiviti ekonomi, meningkatkan kemampuan firma untuk menyerap lebih ramai pekerja, peningkatan dalam produktiviti, pengukuhan nilai pasaran dan seterusnya secara tidak langsung akan dapat menjana hasil cukai kepada kerajaan melalui cukai hasil jualan dan korporat. – UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×