KELAS menengah Melayu yang kini kian membesar, kelihatannya (tidak perlukan data saintifik untuk buktikan) mementing kewibawaan pimpinan. Mereka tidak cenderung kepada retorik seronok sendiri. Dan pembangunan kemudahan asas tidak lagi berfungsi sebagai tarikan khas seperti dahulu.
Jika begitu kilaunya, elok dirumuskan begini – orang politik, orang kerajaan, orang korporat dan rakyat amnya perlu faham dan sekata. Jika tidak, kita akan terus dihidangkan dengan gelagat sebilangan sang politikus yang tangan kanannya petik membina, tetapi tangan kirinya pula ‘mengoyak dan merosakkan.’
Rakyat tidak tahu mana pokok yang berputik, tetapi ikut hala sebilangan politikus ini, mereka gegarkan pula dahan, musnahkan yang sedang berbunga dan berputik, justeru merosakkan harapan besar rakyat.
Pemikiran sempit parti-parti politik yang turut disertai orang Melayu dengan sering membenci satu, dua parti teras serta menidakkan kaum sendiri mesti diadili oleh suara bangsa dan suara agama.
Mana-mana parti Melayu yang hari ini berkeinginan menjadi parti teras harus mendepani cabaran dari dalam. Perpaduan dalam partinya perlu diperkukuhkan. Harus ada kepimpinan yang terus bersatu dan naik melalui hierarki. Yang tua perlu dihormati, yang muda harus dirai.
Elakkan perpecahan. Jangan ada pemimpin yang gelojoh atau mengambil hak orang lain sebelum sampai masanya. Letakkan ke tepi dahulu kepentingan peribadi untuk naik atau membuat ‘cah keting.’
PERINGATAN
Kepada pemimpin-pemimpin hari ini yang masih ‘segar dalam lingkungan usianya’, beringat-ingatlah seperkara ini – masa sesungguhnya tidak menunggu imbauan manusia. Anak-anak yang dahulu ditimang, kini sudah besar panjang. Kulit di badan sudah mula kendur. Langkah yang panjang kini sudah gontai. Selera nan tajam sudah mula menurun.
Namun, dunia politik terus berputar. Kehidupan terus menuntut untuk diisi. Bagi ahli politik veteran, sekian ramai rakan mereka yang kini hanya tinggal nama, lantaran berpulangnya mereka ke alam baqa. Satu persatu mereka pergi. Sementara ada pula terlantar sakit atau berpenyakit yang sukar diubati.
Bersentimental ada batasannya. Di dunia ini ada lopak dan ruangnya untuk sesuatu. Ada masa untuk mengalirkan air mata. Ada masa untuk bergembira dan ada masa untuk berjuang.
Kestabilan politik Malaysia hari ini cukup getir. Padahal, penting diperkuatkan demi mengimbau pelaburan yang banyak. Politik yang goyah mengakibatkan penanam modal tidak ada konfiden.
Kabinet wajib memiliki dasar sekuriti makanan, dengan menteri-menteri ‘cukup reti bab pertanian’ serta kita memiliki dasar ekonomi pelaburan yang jelas.
Semua menteri wajib ingat sumpah jawatan. Jika tidak, ia cukup mendukacitakan. Lafaz wallahi, wabillahi, wattallahi waktu terima jawatan, kena hormat lafaz yang bukan kecil perkataan itu. Dan sebelum dia berhenti, dia kena ada apa yang disebut sebagai alasan-alasan yang jelas dan besar. Ini dia mesti hurai.
Ada ketika agak sukar untuk temukan jawapan yang tepat tentang perihal kejujuran sang politikus. Sehinggakan terkeluar kata-kata, “Ah! jangan dicakapkan lagi yang selalu disebut-sebut”, “Oh! rakyat akan hukum, pengundi akan tunjukkan jalan keluar.”
Mana tahu yang barangkali kumpulan pengundi tertentu itulah yang menjadi ‘penyangak besar.’ Diberi RM10, RM20 atau RM150, hanyut, padam.
Yang kita hari ini amat risau kalau-kalau ada kumpulan besar masyarakat pengundi jadi ‘hantu’ dalam pilihan raya nanti. Mana orang atau parti yang ‘bagi lebih’, dia berbondong-bondong ke situ. Dia ambil duit dan tak kisah lagi sama ada pemimpin itu baik atau tidak.
SURVIVAL

Siapapun yang memiliki kuasa politik hari ini, survivalnya bergantung kepada tindak-tanduk politiknya sendiri. Inilah dikatakan politik itu melibatkan perbuatan meneladani alam sekeliling – manusia dan alam. Belajar dari yang lampau, memandang kepada yang baik.
Maknanya ke arah politik bersandar kepada sentimen dan perasaan orang ramai selain ketokohan dan keupayaan pimpinan seseorang. Selagi orang ramai dapat menghayati dan berasa diperintah dengan jujur dan bermanfaat, selama itulah politik sesuatu kumpulan, waima pemimpin itu sendiri diterima dan disokong.
Pemimpin mesti ada iltizam politik yang berani. Diakui, proses ini lebih mudah dikatakan, tetapi sukar dipraktikkan. Tiada pensyarah politik, walau bagaimana melangit sekalipun ilmu kajian sains politik yang dipelajarinya, yang upaya mengajar ilmu politik sedalam dan seluas pengalaman yang telah dialami oleh seseorang pengamal politik.
Kepada parti politik, apatah lagi UMNO yang baru menyudahkan pemilihan partinya, bekas parti teras itu amat memerlukan revolusi dalamannya.
Parti itu memang banyak berjasa kepada negara ini, tetapi jasa sahaja tidak cukup untuknya memenuhi cita rasa generasi baharu. Sebab generasi baharu tak merasai jasa itu. Yang merasainya adalah ibu bapa generasi baharu.
UMNO kena catch up the bull by the horns. Ia bermaksud berani dan yakin berdepan dengan kesusahan, bahaya dan hal-hal sukar. UMNO mesti bersedia dan tidak hanya ‘mengambil pisau tetapi gergaji berantai untuk potong apa sahaja yang patut dipotong.’
Kepada pemain-pemain politik, tidak kira parti mana – pastikan nama anda bersih sehingga pengakhiran jawatan. Sekurang-kurangnya kalau bukan rakyat, untuk diingati oleh anak cucu. – UTUSAN











