Kita bukan lawan lelaki, tapi saling melengkapi

Kita bukan lawan lelaki, tapi saling melengkapi

SHAHANIZA SHAMSUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

PENYERTAAN kaum wanita dalam politik masih dilihat rendah berdasarkan Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) 2020.

Usaha meningkatkan penyertaan mereka dalam bidang politik sudah menjadi tanggungjawab asas parti yang bukan sahaja menampilkan golongan itu sebagai calon dalam pilihan raya tetapi dalam kepimpinan barisan parti.

Wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemu ramah calon Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, DATUK SERI SHAHANIZA SHAMSUDDIN bagi mendapatkan perspektif beliau, baru-baru ini.

UTUSAN: Bagaimana proses pemilihan UMNO kali ini?
SHAHANIZA: Pada saya, pemilihan adalah nombor dua. Paling penting, dapat berkumpul semula bertemu sahabat lama sebab saya lihat ia menjadi satu acara yang mendapat tumpuan semua ahli UMNO dari bahagian itu sendiri.

Kalau kita tengok, semakin ada majlis pengenalan itu, semakin mendapat sambutan daripada ahli. Ini satu petanda baik kepada UMNO itu sendiri.

Bagaimana Datuk melihat peluang untuk memenangi jawatan MKT sebagai calon Wanita?
Saya yakin mampu terpilih sebagai salah seorang ahli MKT UMNO kali ini. Namun, saya tidak nafikan peluang agak tinggi untuk tujuh calon Wanita yang sama-sama menawarkan diri bertanding jawatan ini.

Sebab apa? Kerana UMNO memerlukan bukan sahaja idea dan pandangan Wanita di peringkat akar umbi tetapi gerak kerja bersama dengan pemimpin Wanita.

Pada saya, tujuh calon Wanita yang menawarkan diri memiliki kekuatan dan kelebihan masing-masing sekali gus memberi nilai tambah kekuatan kepada UMNO kalau mereka dipilih nanti, bergerak sebagai satu pasukan.

Kaum wanita ini sifat semula jadinya adalah mereka yang setia kepada parti. Itu adalah perkara asas dan tunjang yang mesti ada pada diri pemimpin itu.

Malah, majoriti kaum wanita ini komited. Kalau penyertaan pemimpin Wanita ini ditambah dan diberi lebih peluang, ia beri satu impak baharu.

Mampukah undi perwakilan Wanita menjadi penentu kemenangan kepada calon Wanita sendiri termasuk Datuk?
Saya tidak nampak jantina menjadi isu sebenarnya. Tetapi bagi kaum wanita, saya terima maklum balas yang mahukan suara yang lebih lantang dalam MKT supaya tidak ketinggalan dan dipinggirkan dalam dasar-dasar pada masa akan datang.

Justeru, walaupun sebagai wanita, apabila menawarkan diri bermain dalam gelanggang pemimpin lelaki, kita mesti meletakkan diri kita setanding dengan mereka.

Malah mungkin lebih baik daripada kaum lelaki sendiri.

Datuk mungkin dilihat sebagai calon underdog kali ini berbanding calon-calon lain. Komen?
Memberi kelebihan sekiranya kita ada hubungan rapat dengan ahli lain. Namun, kekuatan sebenar terletak pada calon itu sendiri. Kawan-kawan kenal saya 20 tahun yang dahulu sebagaimana saya bermula dengan Puteri UMNO.

Jadi, mereka boleh buat penilaian kepada saya sama ada patut dipilih atau tidak.Pada saya, kekuatan calon itu sendiri penyumbang yang besar. Memang ada kelebihan sekiranya ada hubungan rapat ditambah dengan kekuatan individu.

Tidak berasa janggal untuk bekerja dalam kalangan pemimpin lelaki?
Ada dua tokoh yang saya jadikan sandaran. Pertama arwah Tan Sri Aishah Ghani. Ini menjadi prinsip saya bila masuk dalam politik. Bagi wanita, untuk dibesarkan dalam politik perlu diterima lelaki. Untuk seorang wanita itu naik dalam politik, mesti diterima oleh lelaki. Itu kata-kata Aishah Ghani yang beri impak kepada saya.

Yang kedua, tokoh wanita dari Indonesia, Raden Adjeng Kartini. Beliau berkata, kita tidak berlawan dengan lelaki kerana jantina, bukan melawan kaum lelaki tetapi melawan pemikiran yang kolot dan adat usang.

Bukan kita melawan orang lelaki. Kita kena ingat, kita tidak bersaing lelaki tetapi saling melengkapi. Tak ramai pun daripada 95 calon, tujuh wanita dan kalau boleh pilih semua kerana mempunyai keistimewaan sendiri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN