Kenapa fiksyen sains ada LGBT? - Utusan Malaysia

Kenapa fiksyen sains ada LGBT?

MALAYSIA mempunyai ramai pengarah dan penulis skrip berbakat untuk menghasilkan karya bagus seperti siri drama bertajuk Seribu Nina (kanan) yang mungkin pada masa depan boleh menandingi filem Everything Everywhere All at Once (kiri).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUNGKIN belum terlambat untuk mengucapkan tahniah kepada aktres Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh, 61, apabila menjadi bintang Asia pertama merangkul trofi Pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah Akademi (Oscar) Ke-95 di Amerika Syarikat (AS), baru-baru ini.

Anugerah itu diberikan oleh Akademi Seni dan Sains Filem (AMPAS), sebuah pertubuhan profesional yang memberi penghormatan kepada kemajuan kesenian dan perfileman. Ia ditubuhkan pada 1927 dan dianggotai kira-kira 10,000 orang pembuat filem dari seluruh dunia.

Kejayaan itu adalah hasil daripada membawa watak imigran China di AS, Evelyn Quan Wang dalam filem fiksyen sains bertajuk Everything Everywhere All at Once yang telah ditayangkan pada tahun lalu dan telah berjaya mendapat kutipan pecah panggung di seluruh dunia termasuk Malaysia dengan meraih AS$100 juta (RM443 juta).

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam filem bajet rendah yang mengandungi unsur-unsur komedi dan aksi seni mempertahankan diri kung fu itu, Evelyn, seorang wanita pertengahan umur mengusahakan sebuah kedai dobi bersama suaminya, Waymond Wang. Dia dikejar Perkhidmatan Hasil Dalam Negeri (IRS) AS kerana pelbagai kepincangan dalam audit perniagaannya.

Suatu hari, Evelyn menghadapi masalah yang bertimpa-timpa. Ayahnya, Gong Gong baru sahaja tiba dari China dan suaminya pula bersungguh-sungguh mahu menyerahkan surat tuntutan cerai. Sementara itu, anak perempuannya yang juga seorang lesbian, Joy pula mahu ibunya menerima kekasih baharu, Becky.

Ketika di bangunan IRS, dia telah didedahkan kebolehan mengakses kemahiran dirinya yang lain dalam multiverse (multimesta) dan parallel universe (alam semesta selari) untuk digunakan dalam usahanya melawan watak jahat, Jobu Tupaki.

Menurut takrif Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), fiksyen sains ialah cerita khayalan yang dicipta oleh golongan futuris yang mengambil fakta sains, andaian dan hipotesis (sesuatu pendapat yang dianggap benar walaupun kebenarannya masih belum dibuktikan) sebagai dasar cerita. Bagaimanapun, sesetengah daripada fenomena sains yang dipaparkan masih belum ditemui atau belum wujud.

Tema alam semesta selari bukanlah baharu kerana ia telah dilakonkan oleh Yeoh sebagai Kapten Philippa Georgiou dalam siri televisyen fiksyen sains 55 episod dari 2017 hingga 2021 terbitan AS, Star Trek: Discovery.

Cuma agak aneh kenapa filem dan siri drama fiksyen sains itu perlu ada unsur-unsur lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT)? Kita mungkin masih ingat pelakon AS, Mahershala Ali iaitu orang Islam pertama menang Pelakon Pembantu Terbaik Oscar pada 2016. Ia adalah melalui filem Moonlight yang juga mempunyai unsur-unsur LGBT.

Walaupun jalan cerita bersifat imaginasi semata-mata, kebanyakan kanak-kanak mula mendapat pendedahan mengenai sains daripada filem fiksyen sains. Jadi memasukkan adegan-adegan yang ada kaitan dengan LGBT, nampaknya sangat tidak kena.

KESAN MANDELA

Sebab itu, pakar-pakar pendidikan mencadangkan supaya filem fiksyen sains seboleh-bolehnya hanya memberi tumpuan untuk menggambar hipotesis sains. Cuma ia masih bersifat spekulatif yang memerlu lebih banyak uji kaji bagi mengesahkan kesahihannya.

Antara filem fiksyen sains terbaik keluaran Hollywood yang bebas unsur-unsur LGBT ialah 2001: A Space Odyssey arahan Stanley Kubrick yang diterbitkan pada 1968 oleh Metro-Goldwyn-Mayer (MGM).

Sebahagian babak dalam filem itu yang memaparkan kru menonton berita daripada komputer tablet juga telah dijadikan hujah oleh peguam bela syarikat teknologi, Samsung Electronic Co. Ltd. bahawa idea penciptaan iPad telah wujud lama dahulu setelah disaman Apple Inc. pada 2011 kerana meniru reka bentuk gajet keluaran syarikat AS itu.

Antara paparan dalam filem itu yang telah menjadi kenyataan sekarang ialah kecerdasan buatan (AI), telesidang, sistem pandu arah berkomputer dan televisyen panel rata. Sebenarnya, Malaysia mempunyai ramai pengarah dan penulis skrip berbakat untuk menghasilkan filem fiksyen sains yang baik tanpa mengandungi unsur-unsur LGBT.

Tema filem mengenai alam semesta selari yang dibintangi Yeoh juga telah disentuh dalam siri drama 10 episod tempatan bertajuk Seribu Nina yang telah ditayangkan dalam penstriman Viu pada 2022.

Siri drama komedi, romantik dan fantasi, arahan Umi Salwana Omar adalah percubaan yang baik untuk menyaingi karya fiksyen sains keluaran Hollywood walaupun terdapat beberapa dialog dalam filem tempatan itu yang perlu dipotong untuk menjadikannya lebih sesuai ditonton oleh remaja.

Ia mengisahkan tentang pasangan yang memiliki personaliti berbeza iaitu Amar, seorang pensyarah muda yang teliti dan skema, manakala Nina, teman wanitanya yang bekerja sebagai pembuat kopi di sebuah kafe tempatan yang bersikap spontan.

Ketika Amar dalam dilema setelah dilamar Nina, satu peristiwa tidak dijangka berlaku. Nina yang menyembunyikan siapa dirinya yang sebenar telah diculik kembali ke dimensi asalnya atau alam semesta selari yang lain.

Pada masa sama, Nina dan Amar juga sedang diburu oleh Didi, seorang pemburu upahan dari alam semesta lain. Amar kemudian memulakan pengembaraannya merentas seribu alam semesta selari untuk mencari Nina.

Perjalanan pasangan ini menyebabkan mereka menemui kebenaran tentang perasaan antara satu sama lain, sambil membentuk persahabatan dengan penghuni alam semesta lain di sepanjang perjalanan mereka.

Antara tema-tema yang boleh dimasukkan dalam filem atau siri drama ialah tentang Kesan Mandela. Istilah itu mula diguna pada 2010 apabila kecoh dalam internet bahawa ribuan orang memiliki memori bahawa pejuang antiaparteid dari Afrika Selatan, Nelson Mandela telah meninggal dunia dalam penjara pada 1980-an. Sedangkan hakikat sebenarnya, Mandela dibebaskan pada 1990 dan meninggal pada 2013.

Terdapat juga segelintir orang yang mendakwa sepanjang ingatan mereka, nama jenama coklat, Kit Kat mempunyai tanda sempang sedangkan pada realiti sebenar pandangan itu salah.

Fenomena itu dikatakan menjadi bukti bahawa wujud alam semesta selari iaitu kita berkongsi memori dengan versi diri kita yang lain di alam semesta lain. – UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×