Kelakarkah artis diminta selesai isu telur?

Kelakarkah artis diminta selesai isu telur?

TAYLOR Swift (kanan) ditemu bual Trevor Noah ketika Anugerah Grammy 2023 di Los Angeles, Amerika Syarikat pada 5 Februari lalu. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPERTI yang kita tahu isu kekurangan bekalan telur dan kenaikan harga yang mendadak sumber protein paling murah itu adalah isu global yang bukan sahaja dihadapi Malaysia, malah di Amerika Syarikat (AS) dan Jepun harga telur telah melonjak lebih dari 70 peratus.

Di Malaysia sendiri terdapat laporan pengguna mungkin terpaksa membeli telur pada harga lebih tinggi sepanjang Ramadan dan musim Hari Raya Aidilfitri berikutan peningkatan permintaan sekiranya masalah bekalan bahan makanan itu tidak diatasi segera.

Kerajaan kita telah cuba menyelesaikan isu kekurangan bekalan telur melalui langkah mengimport bahan itu. Ia bukan pelik kerana negara maju seperti Singapura juga mengimport telur dari 17 negara termasuk terbaharu dari Brunei kerana syarikat tempatan hanya mampu memenuhi 30 peratus keperluan dalaman republik itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Telur mempunyai jangka hayat singkat iaitu 21 hari dan tidak boleh dibekukan. Jadi dari aspek logistik, paling terbaik perlu mengimportnya dari negara yang mempunyai kaedah pengangkutan pantas untuk membawanya ke Malaysia.

Sebenarnya mengimport telur bukan penyelesaian jangka panjang yang baik kerana kekurangan bekalan itu dihadapi seluruh dunia dengan punca utama dikatakan adalah penyakit selesema burung dan negara asing terbabit sudah pasti mengutamakan permintaan tempatan.

Jika diserang selesema burung, setiap ladang akan mengambil masa antara tiga hingga tujuh bulan untuk kembali menternak ayam seperti biasa kerana perlu melalui proses pembersihan dan kuarantin.

Sebab itu, banyak pihak menyarankan kepada kerajaan untuk memberi tumpuan membantu penternak ayam tempatan bagi menyelesaikan semua punca masalah dan bukan bergantung kepada import telur asing semata-mata sedangkan pelbagai masalah dihadapi gagal ditangani.

Kos makanan menyumbang kepada 70 peratus daripada kos keseluruhan ternakan ayam selain daripada belanja untuk buruh dan ubat-ubatan.

Krisis global seperti pandemik Covid-19 dan perang Russia-Ukraine, menyebabkan kos makanan ayam iaitu soya dan jagung meningkat melebihi 100 peratus.

Jika usaha menghasilkan makanan ayam tempatan dengan kos lebih murah hanya bersifat suam-suam kuku seperti sekarang maka fenomena penternak terutama yang bersaiz kecil dan sederhana mengecilkan operasi bagi mengelakkan kerugian akan terus berlaku.

Saya tertarik ketika Anugerah Grammy 2023 yang berlangsung pada 5 Februari lalu di Los Angeles, California, AS apabila hos yang juga pengacara televisyen dan pelawak, Trevor Noah menemu bual penyanyi, Taylor Swift.

Beliau yang menjadi penyanyi wanita pertama menang kategori Album Terbaik sebanyak tiga kali dalam Anugerah Grammy mempunyai ramai peminat fanatik digelar Swifties yang sanggup berbuat apa sahaja termasuk menjual kereta dan membuat pinjaman bank untuk membeli tiket konsertnya.

MOZART
Ketika sesi temu bual itu, Noah memuji Swift kerana mempunyai peminat terbaik di dunia dan bertanya, “Bolehkah anda meminta peminat anda mengendalikan harga telur?”

Swift menjawab dalam keadaan terpinga-pinga kerana beliau sendiri mungkin tidak kisah berapa harga telur kerana memiliki kekayaan AS$570 juta (RM2.5 bilion) menurut majalah Forbes dalam laporannya pada 2022 dan antara penyanyi yang mempunyai jet peribadi sendiri.

Bagaimanapun beliau tetap menjawab, “Tiada apa yang tidak dapat mereka capai” dan menambah, “Mereka akan melakukannya, cuma beritahu mereka apa yang anda perlukan.”

Walaupun harga telur di AS turun sehingga 50 peratus selepas Swift mengeluarkan kenyataan itu, banyak pihak menyfiatkan ia hanya kebetulan dan bukannya kerana tindakan Swifties.

Sebenarnya, meminta penyanyi menyelesaikan isu kekurangan bekalan dan harga telur ayam yang meningkat bukanlah sesuatu yang kelakar walaupun soalan itu ditanya seorang pelawak.

Ini kerana terdapat kajian yang mengesahkan muzik boleh membantu meningkat pengeluaran telur ayam atau dalam erti kata lain ayam yang mendengar muzik akan bertelur lebih banyak.

Kebiasaannya ayam hanya bertelur apabila berumur antara 18 hingga 20 minggu. Seekor ayam hanya mampu menghasilkan sebiji telur dalam masa sehari. Secara purata, seekor ayam menghasilkan 350 biji telur sehingga usia 70 minggu sebelum ‘bersara’.

Sebab itu beberapa syarikat di Malaysia seperti Kee Song Group dan LK Fresh Eggs telah lama memasang lagu klasik di ladang mereka terutama yang dihasilkan komposer dari Austria, Wolfgang Amadeus Mozart (1756 – 1791) kerana dikatakan dapat meningkatkan pengeluaran telur.

Ini selaras dengan kajian Universiti Bristol, United Kingdom yang mendapati secara purata seekor ayam dapat menghasilkan lebih enam biji telur dari kebiasaan jika mendengar muzik Mozart.

Cuma kaedah itu tidak dilaksanakan secara menyeluruh di semua ladang ternakan ayam di Malaysia bagi menghasilkan sebanyak mungkin telur untuk memenuhi keperluan tempatan kira-kira 30 juta biji telur ayam sehari yang bersamaan 930 juta biji sebulan.

Lebihan itu kemudiannya dibenarkan untuk dieksport bagi membolehkan penternak memperoleh pendapatan tambahan memandangkan kerajaan masih berpegang kepada pendirian untuk meletakkan telur di bawah senarai barangan kawalan dan tidak mengapungkan harganya.

Sebenarnya Malaysia mempunyai banyak syarikat berpengalaman dan ramai pakar untuk memastikan keluaran telur dapat mencapai rekod cemerlang seperti pada 2020 yang menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar sara diri (SSR) adalah 113.5 peratus yang bermaksud bekalan telur ayam adalah lebih daripada mencukupi untuk keperluan pengguna dalam negara.

Kita tidak perlu ‘raja formula’ untuk menyelesaikan masalah ini sebaliknya kerajaan hanya perlu bersedia mendengar pandangan penternak dan syarikat yang lebih arif berkenaan industri itu.-UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×