Jangan kita keliru erti liberalisme

Jangan kita keliru erti liberalisme

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini, bangkit isu kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) mengambil peluang dan ruang mengadakan himpunan sempena Hari Wanita.

Mereka mengambil kesempatan menganjurkan perhimpunan awam walaupun dengan menempel atas nama perhimpunan wanita. Golongan liberal ini mula mempamerkan keberanian mereka memperjuangkan hak golongan LGBT untuk mengamalkan budaya songsang secara bebas.

Sayugia diingatkan, isu filem Mentega Terbang juga ada kaitan dengan permasalahan fahaman liberalisme. Saya tidak menuduh kerajaan yang ada hari ini melindungi atau merestui aktiviti golongan terbabit.

Namun, masyarakat akan menilai pendirian dan sikap kerajaan terhadapnya.

Sekiranya kerajaan tidak serius membendung atau mengambil sikap membiarkannya, maka pasti masyarakat akan mempersoalkan pendirian kerajaan terhadap isu ini. Jika dibiarkan bermakna akan bertambahlah lagi kebejatan sosial masyarakat yang sudah pun berdepan pelbagai kebobrokan moral.

Umat Islam dan golongan bermoral yang faham kebobrokan dibawa golongan ini sama sekali tidak akan berdiam diri jika ada usaha pihak tertentu mahu melindungi dan membuka ruang kepada golongan LGBT untuk bebas melakukan aktiviti mereka. Memang golongan liberal yang mendukung LGBT sudah lama wujud di negara kita secara senyap-senyap. Kini mereka mula cuba menonjolkan identiti secara terang-terangan atau secara terbuka.

Bagi yang taksub dengan pemikiran Barat ini, mereka melihat pemikiran dan budaya jahiliah moden ini harus diberikan hak sama rata dan lebih jauh lagi mahu undang-undang mengiktirafnya. Ketaksuban sesetengah umat Islam terhadap pemikiran Barat yang songsang ini adalah disebabkan sama ada mereka jahil tentang hakikat ajaran Islam itu sendiri atau mungkin terkeliru terhadap konsep kebebasan atau hak asasi manusia sehingga menerimanya secara tidak sedar.

Mereka ini boleh dianggap sebagai golongan yang memiliki ‘watak tertawan’ biarpun berpendidikan tinggi. Mereka terperangkap dengan agenda Barat yang mahu merosakkan pemikiran dan identiti umat Islam dengan cara menyuntik fahaman liberalisme secara halus. Kejayaan mereka paling besar ialah melahirkan golongan Islam liberal melalui fahaman pluralisme agama.

Di rantau Asia Tenggara, Indonesia menjadi pusat gerakan Islam liberal sejak beberapa dekad lalu. Di Indonesia, penganut-penganut fahaman pluralisme agama termasuk golongan Islam liberal turut serta memperjuangkan LGBT dan kebebasan untuk melakukan seks secara suka sama suka yang tidak dianggap sebagai zina. Kita tidak mahu perkara ini tersebar di negara kita.

AUTENTIK

Justeru, menjadi kewajipan bagi umat Islam yang faham agenda jahat musuh Islam ini menentang habis-habisan serta berusaha daripada terjebak dengan fahaman songsang ini. Kita kena berhati-hati dengan usaha halus golongan terbabit termasuk mereka yang menggunakan kedudukan dalam kerajaan dan sebagai ahli Parlimen untuk mempertahankan golongan LGBT sama ada secara terbuka atau terselindung.

Demikian juga program-program untuk golongan belia harus dinilai dengan teliti kerana kemungkinan terkandung agenda tersembunyi untuk menyerap fahaman pluralisme agama dalam pemikiran generasi muda Islam. Mereka mungkin mencontohi apa yang dilakukan oleh penganut pluralisme agama di Indonesia yang menganjurkan program-program seperti itu sehingga akhirnya memerangkap ramai anak muda Islam dengan fahaman tersebut.

Umat Islam di negara kita perlu berhati-hati dalam usaha musuh untuk merosakkan akidah umat Islam. Akidah dan fikrah umat Islam wajib dipelihara sekukuh-kukuhnya supaya tidak mudah terpengaruh dengan fahaman pluralisme agama, malah wajib melawan idea jahat golongan terbabit.

Golongan terbabit cenderung mentafsir dan menyeleweng ayat-ayat al-Quran berdasarkan akal dan nafsu semata-mata dengan menolak tafsiran muktabar (autentik) daripada ulama-ulama yang benar-benar mewarisi risalah kenabian dan menguasai ilmu serta uslub (kaedah) pentafsiran al-Quran dan hadis dengan sempurna.

Kita jangan dikelirukan dengan pengertian liberalisme. Di Barat, di mana lahirnya fahaman ini dikaitkan dengan usaha mereka untuk memisahkan urusan agama daripada kehidupan.

Ini terjadi ekoran cengkaman dan penindasan oleh gereja dan golongan bangsawan ke atas golongan intelektual dan rakyat atas nama agama (Kristian). Ini sejarah Barat yang cukup panjang sehingga akhirnya mereka berjaya dalam perjuangan tersebut.

Oleh kerana tidak ada lagi cahaya pembimbing terhadap agama yang benar, maka akhirnya membebaskan diri daripada belenggu agama dan gereja sebaliknya berpegang kepada kebebasan mutlak dan menjadikan mereka bersifat sekular (keduniaan). Daripada fahaman sekularisme inilah lahirnya pelbagai ideologi moden Barat termasuk fahaman liberalisme.

Dalam fahaman agama pula, mereka menyebarkan pluralisme agama dengan tujuan merosakkan akidah umat Islam sehingga lahirnya pemikiran Islam liberal. Bagi mereka, semua agama sama dan ia hanya urusan peribadi yang tidak ada kaitan langsung dalam menentukan sistem dan aturan hidup manusia.

Sebaliknya, fahaman humanisme (sifat perikemanusiaan) menjadi sandaran yang meletakkan manusia adalah penentu segala-galanya. Kebebasan dan kedaulatan mutlak manusia adalah ditentukan oleh manusia tanpa terikat dengan agama atau tanpa campur tangan Tuhan.

Hakikatnya, fahaman sekularisme adalah akar kepada idea kebebasan mutlak (liberalisme) yang muncul dan diamalkan di Barat yang kini turut menjerut ramai umat Islam. Ia lahir daripada benih kekufuran dan pemberontakan Barat terhadap Tuhan (gereja).

Idea liberalisme inilah yang membentuk pemikiran dan tingkah laku, malah ibadah mereka. Mereka memperjuang­kannya dalam segala aspek kehidupan mencakupi sosial, agama, pendidikan, ekonomi, politik dan pemerintahan serta perundangan dan sebagainya. – UTUSAN

PENULIS ialah penganalisis sosiopolitik bebas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×