Jaga alam sekitar bermula di rumah - Utusan Malaysia

Jaga alam sekitar bermula di rumah

IBU bapa perlu menerapkan kepada anak-anak sifat berjimat cermat seperti menggunakan semula barang tidak perlu seperti pakaian lama yang boleh dibuat selimut atau alas meja. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARI Bumi adalah satu gerakan bersifat global terhadap penjagaan alam sekitar yang dianjurkan oleh Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) melalui laman web, www.earthhour.org. Pada tahun ini, ia disambut di kebanyakan negara di seluruh dunia pada 25 Mac lalu.

Kempen yang kali pertama dilaksanakan di Sydney, Australia pada 2007 berkisar kepada rasa kebertanggungjawaban manusia terhadap planet bumi dengan cara memadamkan semua lampu selama sejam bermula pukul 8.30 malam.

Selagi kita terus mengamalkan sikap negatif dan acuh tak acuh dalam mengekalkan alam sekitar yang bersih, indah dan tidak tercemar, maka kita sendiri akan merasa padahnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Buktinya hari ini, perubahan cuaca yang tidak menentu, penipisan lapisan ozon, kesan rumah hijau, banjir kilat, kenaikan suhu global, pencemaran udara dan air bertoksid adalah antara kesan buruk terpaksa ditanggung sendiri oleh kita dek kerana kealpaan dalam menjaga alam sekitar.

Kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan komuniti masyarakat di seluruh negara sekian lama melaksanakan pelbagai inisiatif dalam penjagaan alam sekitar. Namun, jika segala usaha ini tidak disambut dengan baik oleh kita, maka ia tak ubahlah seperti hanya bertepuk sebelah tangan, tiada hasil dan kesan positif.

Banyak pihak meyakini bahawa sebagai salah satu cara terbaik untuk memelihara dan memulihara alam sekitar adalah dengan memberikan pendidikan awal kepada generasi muda iaitu anak-anak kita sendiri.

Bukan alasan bijak jika kita mengatakan anak-anak masih terlalu kecil untuk memahami keperluan menjaga alam sekitar. Banyak inisiatif boleh difikirkan dan diamalkan oleh ibu bapa dalam hal ini terutama dalam melangsungkan kehidupan seharian di rumah.

Ibu bapa boleh membelikan atau membawa anak-anak ke perpustakaan untuk membaca bahan-bahan bacaan berkaitan. Sebagai alternatif, ibu bapa boleh mengajak anak-anak untuk melayari laman-laman web seperti www.kitarsemula.com, www.kid-at-art.com atau www.compostguide.com dan sebagainya yang sarat dengan informasi, panduan dan petua penjagaan alam sekitar.

Antara usaha-usaha lain adalah mengasuh anak-anak menggunakan sumber alam secara berhemah terutama penggunaan air dan elektrik. Sebagai contoh, air mandian dan basuhan di dapur boleh dikitar semula untuk menyiram tanam-tanaman. Suis elektrik dan lampu perlu ditutup jika tidak digunakan lagi.

Kita boleh menggalakkan anak-anak untuk tidak membuang sampah merata-rata tetapi perlulah di tempat sepatutnya. Adalah lebih baik juga untuk mendidik dan memberikan contoh kepada mereka dengan mengasingkan jenis-jenis sampah yang boleh dan tidak boleh dikitar semula seperti botol plastik, kaca, kertas dan sebagainya.

Anak-anak boleh dididik untuk mengumpulkan bahan buangan seperti tin aluminium dan surat khabar lama dan seterusnya dibawa ke pusat kitaran semula yang memberikan bayaran ke atas bahan-bahan tersebut. Anak-anak akan turut berminat untuk menambahkan jumlah wang tabungan mereka dari semasa ke semasa dengan cara mudah sebegini yang tidak melibatkan sebarang kos.

DERMA

Beritahu anak-anak bahawa sisa-sisa makanan harian tertentu boleh dikitar semula menjadi baja kompos yang boleh digunakan kemudian sebagai baja untuk menanam bunga atau sayur. Dengan cara ini, anak-anak akan turut dapat dididik akan konsep berbakti kepada tanah dan memberikan pulangan melalui hasil tanaman bunga-bungaan atau sayur-sayuran.

Majalah atau surat khabar lama boleh digunakan semula oleh anak-anak dengan cara mengumpulkan artikel-artikel tertentu untuk dijadikan buku skrap atau ensiklopedia peribadi tentang apa sahaja topik yang menjadi minat mereka. Ia akan membantu menjana pemikiran kanak-kanak yang matang melalui pembacaan luas.

Ibu bapa juga perlu menerapkan kepada anak-anak sifat berjimat cermat seperti menggunakan semula barang-barang yang difikirkan tidak perlu seperti pakaian lama yang boleh dibuat kraf tangan menjadi beg, selimut, atau alas meja.
Tin atau botol plastik pula boleh diubah suai menjadi tabung, bekas alat tulis atau arca. Ini secara tidak langsung dapat mendidik anak-anak menjadi kreatif dan kritis.

Pakaian atau barang-barang permainan milik anak-anak yang tidak lagi digunakan mungkin boleh didermakan kepada anak-anak yatim atau badan-badan kebajikan serta sebagai hadiah kepada rakan-rakan mereka yang lain.

Dengan cara ini, item-item tersebut tidaklah dibuang begitu sahaja dan membazir, bahkan hubungan baik dan silaturahim sesama sahabat handai dapat dieratkan.

Untuk mengurangkan penggunaan beg plastik terutama yang berunsurkan stirofoam dan tidak terbiodegradasi, terapkan amalan membawa beg sendiri dalam diri kita dan anak-anak ketika hendak membeli-belah.

Galakkan anak-anak untuk menyertai program berkaitan pemeliharaan alam sekitar. Misalnya, gotong-royong membersihkan kawasan kejiranan, ceramah atau kempen penjagaan alam sekitar dan sebagainya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Adakah mereka tidak memperhatikan berapa banyak generasi yang telah Kami binasakan sebelum mereka, pada hal (generasi itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di atas muka bumi. Kami turunkan hujan yang lebat kepada mereka dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka. Kemudian Kami binasakan mereka kerana dosa mereka sendiri dan Kami jadikan sesudah mereka generasi yang lain.” (Surah al-An’am, ayat 6)

Perlu sedar walaupun sumbangan kita dan generasi muda terhadap pemeliharaan dan penjagaan alam sekitar ini nampaknya seperti terlalu kecil, namun jika semua pihak mempunyai rasa tanggungjawab serupa, sudah tentu akan menjadi begitu berkesan dan bermakna.

Sikap positif dalam menjaga warisan alam sekitar sebegini diharapkan menular menjadi budaya yang akan terus dipraktikkan oleh anak-anak kita pada masa hadapan dan diperturunkan kepada generasi yang seterusnya. Selamat menyambut Hari Bumi. – UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Khairunneezam Mohd. Noor ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Kepimpinan & Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×