Gaji rendah punca pesara jatuh ‘miskin’

Gaji rendah punca pesara jatuh ‘miskin’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU ketidakcukupan wang simpanan bagi mereka yang bakal bersara sering diperkatakan oleh banyak pihak, baik Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sendiri, pakar ekonomi mahupun pembuat dasar.

Pelbagai data dan angka diberikan bagi menunjukkan simpanan KWSP tidak mencukupi untuk menampung keperluan hari tua pekerja. Pada Jun 2022 sebagai contoh, Dewan Negara diberitahu, 3.2 juta ahli KWSP mempunyai simpanan amat kritikal iaitu kurang RM1,000.

Data terkini dipetik daripada jawapan bertulis Perdana Menteri semasa persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini pula menunjukkan sehingga 31 Disember lalu, 6.7 juta atau 51 peratus pencarum KWSP berusia bawah 55 tahun hanya mempunyai baki simpanan kurang RM10,000 di dalam akaun masing-masing. Dengan jumlah sebanyak ini, secara purata pencarum tadi akan memperoleh pendapatan persaraan kurang daripada RM42 sebulan untuk tempoh 20 tahun berikutnya selepas persaraan.

Walaupun sering diketengahkan, namun pihak-pihak tersebut tidak mengaitkan isu dibangkitkan dengan punca yang menyumbang kepada timbulnya masalah ketidakcukupan wang simpanan persaraan ini, iaitu gaji dan upah yang rendah diterima oleh pekerja.

Secara asasnya, jumlah simpanan terkumpul pencarum adalah bergantung kepada jumlah gaji diterima pekerja setiap bulan. Walaupun kadar gabungan caruman wajib yang ditetapkan oleh KWSP kepada pekerja dan majikan adalah tinggi iaitu sekitar 23 peratus daripada upah atau gaji pekerja, namun jika upah atau gaji pekerja adalah rendah, maka jumlah terkumpul setiap bulan juga rendah.

Situasi ini diburukkan lagi oleh kos sara hidup dan pandemik berlaku sebelum ini yang merencatkan kegiatan ekonomi penduduk. Bagi membantu rakyat, kerajaan membenarkan empat pengeluaran KWSP oleh ahli. Kesannya, RM145 bilion dikeluarkan oleh ahli dan 71 peratus atau dua pertiga daripada ahli KWSP berusia 55 tahun ke bawah yang aktif mencarum berada dalam satu situasi di mana mereka dikhuatiri akan bersara di bawah paras kemiskinan.

Isu gaji dan upah rendah diterima golongan pekerja di negara ini bukan perkara baharu. Malah 10 tahun lalu, Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dalam Laporan Pembangunan Manusia Malaysia 2013 memperakui majoriti pekerja di Malaysia menerima gaji dan upah yang rendah.

Bersandarkan kepada purata jangka hayat di Malaysia ialah 72.6 tahun bagi lelaki dan 77.2 bagi wanita, UNDP menjangkakan pesara ini hanya mampu menjalani satu kehidupan asas untuk sekitar 1.8 hingga 4.6 tahun dengan wang simpanan yang ada selepas persaraan mereka.

Untuk tempoh lebih 10 tahun berikutnya pula, UNDP meramalkan majoriti tidak akan mempunyai sebarang simpanan bagi menyara kehidupan mereka. Hal didedahkan oleh UNDP ini bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana pada 2013, secara keseluruhan 76.8 peratus atau lebih tiga perempat pencarum KWSP berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan dan daripada jumlah keseluruhan pencarum aktif, 2.1 juta atau satu pertiga menerima gaji kurang daripada RM1,000 sebulan.

BANK NEGARA

Sementara itu, penyelidik Bank Negara Malaysia (BNM) dalam Laporan Tahunan 2018 pula mendapati upah semasa bagi pekerja di Malaysia adalah tidak sejajar dengan tahap produktiviti yang mereka hasilkan.

Selepas mengambil kira pelarasan produktiviti kerana pengeluaran di negara penanda aras lebih tinggi disebabkan faktor penggunaan teknologi, analisis nisbah upah kepada produktiviti pekerja Malaysia berbanding pekerja di Amerika Syarikat (AS), United Kingdom, Australia, Jerman dan Singapura mendapati bagi setiap pengeluaran bernilai AS$1,000 yang dihasilkan, pekerja Malaysia hanya dibayar sebanyak AS$340 berbanding AS$510 yang diterima oleh pekerja di negara-negara penanda aras tersebut.

Analisis tersebut turut menemukan kebanyakan industri di Malaysia membayar upah atau gaji rendah kepada pekerja berbanding negara penanda aras. Isu gaji pekerja yang rendah ini juga mendapat perhatian Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) apabila menyelar Malaysia sebagai ‘paling kedekut’ dalam kalangan negara-negara ASEAN dari segi memberi upah kepada pekerja.

Menurut MTEM, jika gaji minimum diukur dan dikaitkan dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita, pekerja hanya menerima 25 peratus daripada KDNK per kapita negara. Sedangkan rakan mereka di Indonesia dan Filipina masing-masing menerima sebanyak 84 dan 76 peratus.

ZAKAT

Walaupun angka ini dibuat berdasarkan kepada gaji minimum terdahulu, yakni sebelum ditetapkan pada RM1,500 mulai tahun ini, namun situasi ini masih lagi tidak banyak berubah. Malah menurut MTEM, gaji minimum sekarang sebenarnya masih lagi rendah. Ini kerana jika faktor-faktor garis kemiskinan, produktiviti dan elemen indeks harga pengguna (IHP) diambil kira dalam pengiraan, gaji minimum sepatutnya RM1,832.

Seharusnya penetapan gaji minimum perlu berada di atas Paras Garis Kemiskinan (PGK) atau pada satu tahap yang membolehkan pekerja menjalani kehidupan wajar yang dirujuk oleh tokoh ilmuwan Islam, Profesor Emeritus Datuk Dr. Mahmood Zuhdi sebagai tahap kehidupan di mana seseorang diwajibkan membayar zakat yakni dia sudah melepasi had kifayah atau penentu PGK yang digunakan oleh pusat zakat setempat.

Dari sudut berbeza, gaji minimum RM1,500 mahupun RM1,832 masih lagi rendah jika dibandingkan dengan pendapatan PGK yang ditetapkan kerajaan ketika ini iaitu RM2,208. Malah jika PGK dijadikan asas, ia juga dilihat masih rendah kerana KWSP sendiri baru-baru ini mengeluarkan kenyataan bahawa untuk bersara dengan selesa di Lembah Klang, seorang pencarum bujang memerlukan RM2,500 sebulan daripada simpanan persaraan untuk keperluan hariannya.

Memandangkan Malaysia sekarang sudah dikategorikan oleh Bank Dunia sebagai sebuah negara menua dan kadar penuaan penduduk dikatakan lebih pantas daripada yang dialami negara-negara maju seperti Perancis, Australia dan AS, isu gaji rendah yang diterima pekerja Malaysia perlu ditangani dengan segera oleh pihak berwajib. – UTUSAN

PENULIS ialah Felow Kanan, Pusat Kajian Ekonomi & Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×