Tolak ‘si buta mata, buta hati, buta segala’

Tolak ‘si buta mata, buta hati, buta segala’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU sahaja tiga bulan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) berlalu, namun kisah-kisah kebajikan pengundi terabai terus berlaku.

Kurang pekakah atau pekakkah orang politik? Atau lebih tepatnya lagi wakil rakyat yang menang kerusi di situ.

Di Pahang, sejumlah 230 murid di sebuah sekolah di Maran terpaksa makan di lokasi-lokasi ‘bersepah-sepah’ termasuk di tepi longkang dan lereng bukit. Sebabnya – kantin sekolah rosak sejak 2016 belum dibaiki.

Alahai! sudah masuk tahun ketujuh, apa yang dibuat pihak berwajib? Bukan dalam pengetahuan wakil rakyatnya kah?

Ibarat bangkai gajah tidak dapat ditutup dengan nyiru. Kejahatan yang besar ini (sikap tak ambil peduli apa terjadi ke atas sekolah berkenaan) tidak dapat disembunyikan.

Di Gua Musang, Kelantan lebih kurang sama ceritanya. Lebih 100 penduduk Kampung Lebur Jaya, Kuala Betis hadapi masalah talian telefon dan capaian Internet yang lemah sejak hampir 10 tahun lalu. Apa dibuat wakil rakyatnya sebelum ini, selama ini? Popular sahaja, berpenggal-penggal menang tidak cukup. Selagi SKMM tidak didesak untuk bina menara telekomunikasi di situ, selagi itulah isu capaian Internet terus berlaku – yang jalannya buntu.

Masih dalam Gua Musang, lebih 3,000 penduduk Orang Asli di sekitar Lojing mendakwa kehidupan mereka terjejas selepas air Sungai Belatop yang menjadi sumber utama untuk kegunaan harian sejak 20 tahun lalu menjadi keruh. Kata mereka, pencemaran berpunca dari penerokaan tanah dan pembukaan kebun sayur di Tanah Tinggi Lojing. Kata Penghulu Kampung Brooke Lama, Rian Bujang, sisa air baja dan racun di tanah pertanian kemudian mengalir ke dalam sungai.

Namun apa respons orang alam sekitar apabila ditanya media isu itu: “Pihak kami tidak terima aduan secara rasmi daripada penduduk Orang Asli berkaitan Sungai Belatop yang didakwa tercemar”.

Eh! bukankah anda pihak berkuasa, apabila rungutan sudah dibangkitkan dengan gambar tertera sungai itu keruh, terus pergi periksalah apa yang telah berlaku. Kenapa perlu tunggu dan buat kenyataan yang boleh kita gelak bila bersendiri.

Banyak isu memeningkan rakyat terjadi sekeliling kita.

Di Tanah Merah, pengguna jalan berlumpur berhampiran Taman Desa Utama, Kampung Kelewek masih belum terima maklum balas dari pihak berwajib berkaitan aduan itu. Khabarnya laluan berlumpur itu sepanjang 200 meter sahaja. Tetapi terpaksa dihadap penduduk setiap kali hujan sejak tujuh tahun lalu. Tepuk dahi kita.

Tidak sahaja di Pahang dan Kelantan, isu-isu yang disebutkan tadi merata di negeri-negeri lain. Cuma ‘nampak tak nampak sahaja’ oleh wakil rakyat masing-masing.

MENTALITI, ALPA

Suatu ketika yang membawa sebuah parti itu ke puncak ialah kerana ramai ahlinya yang mempunyai karektor dan reputasi winning mentality. Kombinasi yang merangkumi humble, approachable dan likeable.

Namun, karektor tersebut tidak bertapak lama dan taring yang pada satu ketika diakui gagah, sudah makin menghilang. Ramai sudah masuk zon selesa. Mula lupa rakyat yang menyokong walaupun kelihatan di khalayak ramai sekali sekala tetapi tidak dengan mentaliti yang sama lagi. Ketika itulah pihak lawan mula mengambil peluang mendekati pengundi dan ramai mula dihasut membenci dan mahukan parti itu jatuh.

Bukan mudah untuk kembali menguasai kawasan yang pengundi sudah berpaling kepada parti lain. Sebilangan mereka, terus ‘lekat’ dengan parti lawan. Sebilangan lagi hilang arah dan duduk atas pagar memerhati dari jauh. Ada yang sudah tak hairan dengan apa yang kerajaan buat untuk menambat hati rakyat kembali.

Mujurlah meskipun PRU15 telah berlalu, masih ada enam negeri lagi belum menyudahkan pemilihan wakil rakyat di kawasan masing-masing. Jadi, inilah masanya untuk pengundi mengajar parti-parti ini.

Amati betul-betul calon pilihan. Pilihlah calon yang bakal membawa kesejahteraan untuk ramai berbanding gelagat fikirkan tembolok sendiri sahaja. Lihat wajahnya, lalu lihat air mukanya. Ketahui perangainya.

Bilang jasanya, ketahui budinya. Adakah dia hanya pemimpin semasa cuaca cerah, tetapi ketika tengkujuh dia menghilang.

Era ini terlalu ramai yang menyebut perihal ‘memilih pemimpin yang berkualiti. Kualiti apa? Sebelum tahun-tahun 1970-an, orang Melayu tidak menyebut ‘kualiti’. Mereka menyebut sifat-sifat terpuji.

Teringat kata The Road Ahead or the Road Behind. Takdir tidak pernah salah. Kitalah yang melakar apa yang di hadapan.

Kitalah (wakil rakyat atau parti politik) yang membuka atau menutup gerbang perjalanan ke depan atau ke belakang.” – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya