LANGKAH kerajaan menubuhkan satu sekretariat tetap sebagai penyelaras pengajian Latihan Pendidikan Vokasional dan Teknikal (TVET) di negara ini adalah tepat pada masanya. Hal ini kerana menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, ketika ini terdapat 12 kementerian berbeza mengendalikan sejumlah 1,295 pusat kemahiran TVET di seluruh negara mengakibatkan berlaku pembaziran peruntukan lebih RM6.7 bilion setiap tahun apabila lebih 6,000 kursus ditawarkan bertindih antara satu sama lain.
Tatkala kita memberi penekanan kepada kepentingan bidang TVET sebagai pemacu kerjaya masa hadapan, tidak wajar dibiarkan pertindihan serta pembaziran seperti ini berlaku. Malah Ahmad Zahid juga mendedahkan berlakunya isu perebutan pelatih baharu untuk masuk ke pelbagai pusat latihan selain masalah kemerosotan aspek kadar kebolehpasaran lepasan TVET.
Jelas keadaan ini menunjukkan ada beberapa kelemahan ketara dalam proses penawaran pengajian TVET di negara ini yang perlu ditangani segera. Saya percaya proses penyelarasan bakal dilaksanakan melalui sekretariat tetap yang diwujudkan mampu merungkai permasalahan ini secara menyeluruh.
Sekretariat ini diharap dapat melihat secara holistik pengajian TVET khususnya kursus yang ditawarkan agar relevan dan memenuhi keperluan sekarang dan masa hadapan.
Untuk itu, antara langkah awal perlu dilaksanakan oleh sekretariat ini ialah menilai semula semua kursus TVET sedia ada terutama di pusat latihan bermasalah bagi memastikan ia memenuhi keperluan negara.
Ironinya. negara memerlukan lepasan TVET yang memiliki kemahiran khusus terutama bidang-bidang teknologi maklumat dan komunikasi, kejuruteraan, teknologi kimpalan serta perniagaan dan keusahawanan.
Walaupun kursus sedia ada sudah fokus kepada bidang-bidang tersebut, penekanan perlu diberikan terhadap silibus setiap kursus ditawarkan agar pada akhirnya kita dapat melahirkan graduan TVET yang memiliki kemahiran pintar dan tajam. Ringkasnya, biar sijil yang diperoleh melalui latihan secara teori dan praktikal boleh mengesahkan lepasan TVET bukan sahaja memiliki kemahiran dalam bidang masing-masing tetapi turut dilengkapi kualiti dan daya pemikiran kritis, pintar dan tajam.
Pasaran kerjaya masa hadapan dilihat sangat menitikberatkan graduan yang bukan sahaja ada kepakaran dalam bidang masing-masing tetapi lebih bijak, pintar dan tajam dalam mengaplikasikan kemahiran dimiliki. Justeru, silibus yang ada perlu dinilai dan dirombak mengikut kesesuaian supaya dapat melahirkan modal insan dimahukan oleh majikan dan negara.
Bagi mengelak pertindihan kursus yang ditawarkan pula, dicadangkan kerajaan membuat penetapan agar setiap pusat kemahiran TVET berfokus kepada kursus tertentu sahaja mengikut bidang kepakaran masing-masing. Ini bermaksud tiada keperluan setiap pusat kemahiran menawarkan pelbagai bidang atau terlalu banyak bidang, sebaliknya kita iktiraf setiap pusat kemahiran itu sebagai pakar bidang tertentu sahaja.
Dengan bilangan pusat kemahiran yang banyak, kita mampu membuat pengkhususan seperti ini dengan penetapan bidang mengikut pusat kemahiran. Ini kelihatan tidak sukar untuk dilaksanakan mengambil kira jaminan kerajaan bahawa tiada premis latihan akan ditutup. Malah penetapan seperti ini juga boleh mengatasi masalah perebutan pelatih baharu dalam kalangan pusat latihan.
MENGANGGUR
Satu lagi perkara penting perlu diberi perhatian ialah masalah kadar kebolehpasaran lepasan TVET yang dilaporkan merosot di bawah 50 peratus dalam kalangan pelbagai pusat kemahiran kecuali di 280 pusat TVET yang dikendalikan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dengan memperlihatkan kira-kira 98 peratus graduannya tidak menganggur.
Ini juga memerlukan kajian dan penilaian sewajarnya bagi mengetahui bagaimana keadaan ini boleh berlaku tatkala lepasan TVET sepatutnya menjadi rebutan majikan. Sekretariat perlu mengenal pasti punca graduan ini tidak laku dan segera mengambil langkah intervensi yang betul supaya tidak sia-siakan kelompok bakat TVET ini.
Dalam konteks ini, hubungan industri-pusat TVET perlu diperkasakan melalui situasi menang-menang. Pusat TVET perlu menjalinkan kerjasama strategik dengan pihak industri supaya mereka boleh menjadi rakan penaja dan untuk itu pusat latihan perlu menawarkan kursus diperlukan oleh majikan tersebut. Ini sekali gus akan membantu graduan terus diambil bekerja oleh majikan terbabit.
Selain itu, dalam keadaan ekonomi tidak begitu memberangsangkan, kita tidak boleh membiarkan berlakunya pembaziran yang besar seperti RM6.7 bilion setiap tahun. Pihak sekretariat perlu teliti semula peruntukan yang disalurkan selama ini dan kenal pasti punca bagaimana pembaziran seperti ini boleh berlaku.
Secara umumnya, sudah tiba masanya program TVET terus diperkasa dan dijenamakan supaya dapat memenuhi ekspektasi para majikan serta keperluan industri pada masa akan datang.
Dalam hal ini, perlu ada ikhtiar untuk menarik lebih ramai golongan belia bagi mengikuti program TVET sebagai kerjaya pilihan masa hadapan mereka. Hal ini penting kerana kita perlu akui masih ramai dalam kalangan masyarakat beranggapan TVET adalah pilihan kedua ataupun terakhir dan hanya layak untuk individu kurang cemerlang dari segi pencapaian akademik.
Misalnya, tiada guna kita menyediakan banyak peluang latihan kemahiran andai golongan belia masih beranggapan ia bidang ‘kelas kedua’ atau termasuk dalam kategori sektor pekerjaan 3D (kotor, sukar, bahaya).
Jadi, sangat wajar pengajian TVET terus diperkasakan dan ini memerlukan komitmen, kerjasama dan iltizam semua pihak terbabit seperti agensi kerajaan, pusat latihan, majikan dan industri serta ibu bapa dan golongan belia itu sendiri.
Hakikatnya, kita perlu mengorak langkah ke hadapan untuk melihat hala tuju landskap dan pembangunan negara dalam pelbagai sektor sekurang-kurangnya untuk tempoh 20 atau 30 tahun akan datang. Hal ini penting kerana bukan mudah untuk mencapai dan mengekalkan status negara maju berpendapatan tinggi mengikut acuan kita dengan menggunakan kepakaran dan kemahiran anak tempatan.
Justeru, selain universiti, pusat-pusat latihan TVET perlu diangkat sebagai institusi latihan kepakaran cukup penting dalam mendidik, melatih dan membekalkan modal insan yang mahir serta memiliki pemikiran pintar dan tajam. – UTUSAN
PENULIS ialah pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa.










