DUA perkataan yang paling banyak digunakan atau disalahgunakan dalam dunia politik adalah ‘perjuangan’ dan ‘pengorbanan.’ Kedua-dua perkataan ini adalah mulia dan juga murni serta memperlihatkan gambaran bahawa mereka yang berpegang kepada perkataan ini pasti mempunyai nilai yang tidak mementingkan diri sendiri. Tetapi berapa ramai yang menggunakan perkataan ‘perjuangan’ dan ‘pengorbanan’ itu memahami maksudnya?
Sayangnya dalam dunia hari ini, sikap tidak mementingkan diri dan yang ikhlas dalam perjuangan dan pengorbanan semakin pupus. Perkataan-perkataan itu hanyalah permainan di bibir. Keikhlasan dengan memahami erti serta semangat perkataan-perkataan itu sudah lama lenyap di hati. Jadi, sudah tiba masanya untuk kita bersama-sama kembalikan semula erti sebenar perjuangan dan pengorbanan tersebut dengan semangat penuh keikhlasan.
Kini tibalah masanya untuk saya menawarkan diri memimpin dan membangkitkan semangat baharu supaya kita dapat membentuk suatu kekuatan bagi UMNO. Saya mempunyai impian bagi membawa sayap Puteri UMNO menjadi tonggak utama untuk mengembalikan kepercayaan dan keyakinan serta amanah yang perlu dilaksanakan kepada ahli UMNO khususnya dan pengundi kepada parti yang disayangi demi agama, bangsa dan negara.
Tidak cukup hanya menjadikan kami Puteri UMNO sebagai pengikut semata-mata atau sekadar penyeri majlis. Perubahan landskap politik hari ini harus dijadikan titik mula untuk Puteri UMNO diletakan sebagai peranan utama barisan hadapan dan bersama-sama menguatkan kembali parti. Mesej kita kepada rakyat adalah UMNO is back, and we are here to stay.
UMNO bukan hanya sebuah parti politik. UMNO adalah sebuah institusi yang tercetus selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua oleh golongan bijak pandai Melayu, dan dilahirkan di Istana Johor. Tugas pertama selepas penubuhan UMNO ialah menentang rancangan British untuk membentuk Malayan Union yang akan mengakibatkan ancaman pada kuasa orang Melayu dan raja-raja Melayu. Dua tahun selepas itu, British mengalah dan Persekutuan Tanah Melayu diwujudkan diikuti merdeka, sembilan tahun kemudiannya.
PROFESIONAL
Sewaktu negara-negara lain di Asia memperoleh kemerdekaan mereka melalui tumpah darah, kematian, kemusnahan dan kekacauan, UMNO telah mengemudi laluan diplomasi dan rundingan secara aman untuk memastikan negara tercinta ini ditadbir sendiri tanpa campur tangan pihak luar.
UMNO berjaya membangunkan kaum Melayu dari sektor pertanian di luar bandar ke suatu golongan profesional berpendidikan tinggi dan dihormati, atas dasar pendidikan UMNO dan azam untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang progresif dan berpendidikan.
Mulai hari ini, apa sahaja yang telah pun berlaku, dan apa sahaja yang akan berlaku, mestilah berdasarkan tanggungjawab bersama. Mudah untuk menuding jari dan bermain permainan menyalahkan satu sama lain. But no man is an island – it is team effort that wins the day.
Oleh itu, saya ingin menyeru supaya kita rapatkan saf dan menuju ke arah kemenangan bersama. Kemenangan ini hanya dapat dicapai apabila kita bergerak sebagai satu pasukan. Saya berdoa agar pemimpin dan ahli Puteri UMNO akan menyahut seruan saya untuk memperjuangkan parti keramat ini. – UTUSAN
PENULIS ialah Setiausaha Pergerakan Puteri UMNO dan Ketua PuterI UMNO Bahagian Seputih.










