Tiba Ramadan barulah nak ingat anak yatim

Tiba Ramadan barulah nak ingat anak yatim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AWAL bulan ini, dunia dikejutkan ddengan kejadian gempa bumi kuat berukuran 7.8 pada skala Richter yang melanda tengah dan selatan Turkiye serta utara Syria. Tragedi dahsyat ini mengorbankan berpuluh-puluh ribu mangsa dan hampir 100,000 orang cedera. Keadaan bertambah buruk ekoran berlakunya gegaran susulan yang berterusan termasuk dengan magnitud 7.5 pada skala Richter, ditambah keadaan suhu yang sangat rendah.

Sukar untuk kita bayangkan keadaan mangsa yang cedera dan terperangkap bukan setakat berjam-jam, malah berhari-hari di dalam runtuhan-runtuhan bangunan tanpa makanan dan air. Lebih menyayat hati apabila melihat bayi dan kanak-kanak kecil turut menjadi mangsa bencana ini. Ramai yang kehilangan ibu, bapa dan saudara terdekat dalam sekelip mata. Ibarat anak-anak yatim mangsa perang, ada yang terpisah daripada keluarga ketika diselamatkan dan ramai hilang segala-galanya.

Seluruh dunia bergegas menghantar pelbagai bantuan, namun kerosakan infrastruktur teruk menyebabkan bantuan yang tiba sukar untuk sampai kepada mangsa yang memerlukan dengan segera. Misi kemanusiaan perlu diselaraskan oleh pihak berwajib negara masing-masing agar tidak berlaku perkara memudaratkan. Malah, jika hal ini tidak diuruskan dengan baik, berlaku masalah koordinasi yang mengakibatkan bantuan tidak sampai kepada golongan sasar. Ia bertambah parah apabila ada pihak yang mengambil kesempatan menangguk dalam air keruh.

Namun, persoalan yang bermain di fikiran saya ialah bagaimanakah nasib anak-anak yatim ini setelah perhatian dunia terhadap tragedi berlalu? Akankah ada pihak yang tampil membela nasib mereka nanti dan membenteng mereka daripada dipergunakan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab? Siapakah yang akan membiayai pendidikan mereka sehingga ke peringkat tinggi? Atau mereka akan dilupakan dan hanya diingati pada musim-musim tertentu?

Amat malang sekali jika masa depan anak-anak ini tidak dirancang dengan teliti. Umumnya, isu kebajikan anak-anak yatim memerlukan penyelesaian bersifat jangka panjang sehingga mereka tamat pengajian tinggi. Walau dalam apa keadaan dan di mana sekali pun, anak yatim mesti diberi perhatian dan dibantu termasuk di negara kita kerana hal ini dituntut oleh agama. Mereka bukan hanya memerlukan bantuan asasi tetapi juga kasih sayang serta sokongan moral berterusan untuk membina jati diri yang kuat.

Sebenarnya, walaupun ramai yang sering bercakap tentang kewajipan menjaga dan membantu anak-anak yatim, namun hanya yang senasib mengetahui susah senang menjadi anak yatim. Ramai anak yatim terpaksa menjalani hidup berliku, diherdik, disindir, dipulau malah dipergunakan oleh mereka yang sepatutnya bertanggungjawab menjaga anak yatim. Banyak lagi perkara boleh dilakukan untuk memperkasakan anak-anak yatim selain mengumpulkan mereka di rumah-rumah kebajikan. Lebih buruk lagi, terdapat kes di mana anak yatim dieksploitasi oleh pusat dan pihak yang mendakwa kononnya menjaga mereka.

TAJUK CERAMAH

Sering kali kita terlalu sibuk memperjuangkan perkara sukar untuk dicapai sehingga melupakan kewajipan yang mampu dilakukan. Mungkin hal sebegini dipandang remeh, melainkan dalam kes-kes tertentu yang menarik perhatian masyarakat. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, setelah kematian ibu atau bapa, ramai adik-beradik terpaksa berpisah kerana dijaga oleh pihak berlainan. Bayangkan kepiluan di hati mereka dan ini akan meninggalkan kesan psikologi berpanjangan jika tidak ditangani dengan tuntas.

Usaha memerkasakan anak-anak yatim tidak patut sekadar dijadikan slogan atau tajuk ceramah semata-mata tetapi mesti diterjemahkan melalui langkah-langkah lebih proaktif demi memastikan kebajikan mereka terjaga. Tidak cukup dengan hanya menganjurkan majlis berbuka puasa mewah meraikan anak-anak yatim sepanjang bulan Ramadan sedangkan mereka dilupakan setelah berakhirnya bulan mulia itu. Begitu juga dengan bantuan yang mencurah sewaktu bencana tetapi dilupakan selepas masa berlalu.

Hal kebajikan anak yatim begitu dekat di hati saya kerana saya sendiri merasai betapa peritnya hidup tanpa ayah. Kehidupan saya berubah secara drastik kerana kami hilang punca pendapatan setelah ayah tiada.

Saya bernasib baik kerana mempunyai ibu yang cekal dan boleh mengatur hidup kami. Namun, bukan mudah untuk membiasakan diri dengan suasana yang sangat berbeza setelah hilang tempat bergantung.

Apatah lagi apabila kami mudah diperlekehkan dan dihina. Itulah kenyataan pahit yang mungkin tidak disedari oleh masyarakat sekeliling.

Di negara kita yang makmur ini pun, masih ramai anak yatim yang tidak dipedulikan dan ditindas dengan sewenang-wenangnya. Realitinya, bukan mudah untuk anak yatim mendapat pembelaan dan bantuan.

Sehinggakan ramai yang tercicir dalam pelajaran akibat kesempitan hidup atau tiada peluang untuk menyambung pelajaran di peringkat lebih tinggi. Di pusat-pusat pengajian tinggi pula, ada yang terpaksa mengikat perut kerana kos hidup yang tinggi serta alat keperluan pengajian yang banyak bagi sesetengah jurusan.

Semoga dalam pelaksanaan Malaysia Madani, hal-hal ini akan diberi perhatian oleh pihak berwajib. Anak yatim harus diperkasakan dalam bidang pelajaran kerana itulah kunci kejayaan hidup yang sebenarnya.

Memiliki duit setinggi gunung tidak akan membawa makna tanpa ilmu yang lengkap di dada. Buka peluang yang luas serta pembiayaan selayaknya agar kami dapat menyambung pelajaran dengan selesa. Mereka yang menunjukkan prestasi baik dalam bidang pelajaran sepatutnya diberikan bantuan mencukupi secara automatik tanpa terpaksa ke hulu ke hilir untuk memohon bantuan. Islam menuntut umatnya untuk tidak mengabaikan nasib anak-anak yatim, apatah lagi membiarkan mereka ditindas sesuka hati. – UTUSAN

PENULIS ialah pelajar program asasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×