Sikap kapitalis meresapi peniaga kecil, sederhana

Sikap kapitalis meresapi peniaga kecil, sederhana

KITA sering beranggapan premis perniagaan kecil menyediakan makanan berharga murah dengan pelbagai pilihan juadah. – UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMBELI makanan atau barangan melalui peniaga-peniaga kecil dan sederhana yang selalunya kita jumpa seperti di tepi jalan, depan pejabat, tempat rekreasi, kawasan pantai, pasar malam dan kendera saji, pasti memikirkan harga berpadanan. Berpadanan itu maksudnya persepsi kita terhadap premis perniagaan yang kecil bukan kedai besar, ada payung atau terbuka, makanan dibungkus dan variasi pilihan.

Malah ada dalam kalangan kita menjadikan premis sedemikian sebagai tempat untuk mendapatkan makanan yang murah harganya bagi memastikan perut kenyang dan boleh terus bekerja setiap hari. Dalam masa sama, kita mengeluh sama ada dengan memikirkan keluhan itu kecil atau besar, kita sedar dan hadap harga makanan atau barangan sudah berbeza, yang pastinya tidak turun.

Bahkan, kita seolah-olah reda sahaja dengan saiz ayam kecil sedikit berbanding sebelum ini tetapi harganya dari RM3 jadi RM4 seketul. Kadang-kadang pernah jumpa gerai yang jual sampai RM6 seketul, tetapi saiznya satu atau dua sentimeter lebih besar.

Kemudian, kalau beli nasi kukus ayam berempah, ini adalah menu yang paling lazim dijual dekat gerai-gerai kecil. Dahulu harganya boleh dijual RM4 atau RM5 sebungkus, atau RM6 sekali set dengan air teh O atau sirap limau ais.

Kalau pergi dekat kawasan riadah atau rekreasi, anak-anak atau adik kita nampak ada mainan. Seperti sewaan belon sabun dan mainan-mainan lain. Situasi sama juga kita lalui dalam fikiran yang tidak terluah.

Sewaan belon sabun sebelum ini hanya RM3, kemudian naik RM5, sekarang RM7 dan RM8 pun ada peniaga yang buat.

Mainan kanak-kanak pula seperti pistol, lastik kipas berlampu dan sebagainya, pasti tak banyak jumpa yang harganya bawah RM10, malah ada yang RM30, RM40 dijual di atas lantai atau tanah beralaskan tikar, sehingga RM70 pun ada.

Apa sebenarnya yang menyebabkan, peniaga bertindak menjual harga barangan dan menaikkan harga makanan sedemikian? Kalau disebabkan harga ayam RM9.40 sekilogram (kg), purata seekor sekitar RM17 hingga RM18, atau RM20 jika beratnya lebih 2.2kg. Kemudian ayam dipotong kepada 14 atau 15 bahagian. Jadi, nasi dengan ayam dijual sehingga RM7 atau RM8 dengan sayur dua keping potongan timun?

Berapa harga asas seketul ayam yang belum dimasak? Harganya sekitar RM1.20 hingga RM1.50 seketul. Serendah itu, tetapi wajarkah bila harga nasi kukus ayam berempah dijual pada harga demikian?

Berapa harga beras untuk 10kg? Berapa pula saiz atau berat untuk sebungkus nasi? Berapa harga minyak masak? RM30 sebotol 5kg. Harga gas pula RM26.60 untuk tong 14kg. Telur pula paling mahal 63 sen. Tetapi berapa harga telur mata atau telur dadar di warung atau restoran? Itu baharu makanan.

Teh tarik, kopi O, sekarang berapa harganya? Air suam pun dijual sampai RM2 secawan.

Kalau mainan lato-lato adalah alat yang tengah sohor sekarang, berapa harga kos lato-lato? Sekitar RM1 hingga RM3 satu set, tetapi berapa pula dijual kepada pelanggan? RM10 hingga RM12.

Bila kita perhatikan situasi-situasi berkenaan, sedar atau tidak, itulah sikap kapitalis yang sudah mula menyerap dalam kalangan peniaga-peniaga kecil. Kalau harga bahan naik 20 sen, ‘dihentaknya’ jualan naik sampai RM1, konon-kononnya tampung kenaikan harga barang.

Begitu juga dengan peniaga dalam talian. Kalau hari esok harga ayam turun sampai RM6 sekilogram, telur 30 sen sebiji, susu pekat RM2 setin, adakah harga nasi kukus ayam berempah akan turun sampai RM4 sebungkus atau teh tarik jadi 80 sen secawan? Tidak akan berlaku.

Kalau dahulu Rafizi Ramli (sekarang Menteri Ekonomi) pernah kata kenaikan harga minyak punca harga barang naik. Bila harga minyak turun, harga barang turunkah? Bila harga bahan asas turun, harga jualan akan turunkah?

Itulah sikap kapitalis yang mula meresap dalam kalangan peniaga kecil dan sederhana. Sampai orang label ‘nak cepat pergi haji’, ‘pergi haji balik hari.’ Sekarang warung pun jual kopi macam cafe bertema, ada Americano, Latte dan sebagainya, supaya dapat jual harga RM6 hingga RM10 secawan. Harga di mesin vending? Hadap sahajalah. – UTUSAN

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Selangor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×