BEBERAPA hari lalu, saya berbual dengan beberapa teman senior dalam industri muzik. Mereka ini boleh dianggap sebagai data raya industri, tahu luar dan dalam serta eksploitasinya. Mereka sangat maklum akan hakikat seni muzik menjadi tunggang hingga hilang seninya.
Akan tetapi, banyak ‘budak-budak TikTok’ yang lahir era televisyen realiti tidak kenal mereka. Karya-karya mereka tidak melalui televisyen realiti yang tidak ada realiti. Bagaimanapun, mereka inilah antara pendiri seni dalam muzik yang tidak percaya televisyen realiti sebagai mekanisme pembangunan seni.
Dalam kalangan mereka ada komposer, ahli akademik, penulis lirik dan ahli muzik. Hidup mereka biasa-biasa sahaja, tidak kemilau seperti banyak ‘bayang-bayang’ yang selalu kelihatan di gelanggang. Dan tidak ada percikan sensasi yang menjadi resipi mencipta populariti.
Pertemuan ini sebenarnya bukan luar biasa. Kami selalu berjumpa dan topik perbualan berkisar dunia muzik. Banyak perkara di sebalik tabir dan terlindung diperkatakan.
Sekalipun saya bukan orang muzik dan banyak tidak tahu mengenai bidang ini, akan tetapi meminati muzik sebagai satu cabang seni. Muzik sama dengan bidang-bidang lain yang mendirikan apresiasi saya terhadap seni, misalnya filem, sastera dan lukisan.
Daripada mereka, saya berpeluang meninjau sudut pandang orang yang ahli dalam bidangnya. Mereka ini kalau menegur, tidak ada siapa yang hendak pertikai. Mereka dalam kalangan yang ahli dan menguasai daripada perkara sehalus-halus hingga sebesarnya.
Mereka melahirkan rasa bimbang dengan kecenderungan yang tidak beradab – menunggang seni untuk keuntungan semata-mata. Hal ini berlaku dengan berleluasa, direstui dan secara terang-terangan. Direstui oleh masyarakat yang pasif dan daif serta tidak mempunya rasa yang seni.
Dalam kalangan masyarakat yang bercita rasa rendah, mereka menerima muzik dan manusia di sekitarnya dari sudut yang sensasi. Seni yang sebenar bagi mereka suatu yang sangat asing berbanding sensasi dan tidak beradab. Realitinya, masyarakat yang seperti itulah ekosistem industri muzik ketika itu.
Seniman yang ahli dalam bidangnya sangat bimbang dengan sekian banyak program mengilap pelapis baharu yang menyelewengkan seni sebagai komoditi, menjadikan suasana industri muzik lebih riuh sekalipun tidak kualiti.
Benarlah seperti kata orang bijak pandai, hanya sampah yang terapung dan mudah dihanyutkan arus. Maknanya, yang tidak berkualiti atau langsung tidak rasa seni itu akan terapung dan memancing mata khalayak.
Sementara individu yang ahli dan memahami muzik pula tidak tergamak menjadikan sesuatu itu sebagai bahan sensasi. Mereka malu kepada diri sendiri. Hal ini bertepatan dengan sifat suatu yang seni itu tidak meledakkan sensasi. Maka dengan sendirinya yang berkualiti tersingkir, terpinggir dan tenggelam.
Misalnya, sejak lebih dua minggu lalu, garis masa di media sosial penuh dengan perihal sebuah program televisyen realiti yang tiba-tiba menjadi sensasi dan kontroversi. Bukan kerana seni, akan tetapi kerana sensasi. Kerana celupar dan ‘drama’ yang sengaja diada-adakan.
UPAH KECIL
Kemudian isu remeh itu bersahutan dalam kalangan masyarakat hingga menenggelamkan hakikat kehidupan yang memeritkan – kos sara hidup melambung dan upah kecil. Hebat sungguh mereka ini.
Kawan-kawan saya menggelengkan kepala, kerosakan terlalu teruk apabila seni muzik berada di tangan pihak yang mengira untung ringgit dan sen. Publisiti melambung-lambung diberikan sekalipun semua sedia maklum itu bukan seni. Itu sensasi yang sengaja diada-adakan.
Racun hedonisme pun menjadi semakin tebal dan terapung. Kesengajaan mencipta sensasi menjadi prasyarat baharu untuk meledakkan populariti atas nama seni muzik. Di depan khalayak yang sebahagiannya sangat pasif dan daif, itulah seni muzik, fikir mereka.
Saya selalu percaya, karya seni yang baik dan manusia yang mengulati hidupnya dalam seni adalah pendiri tamadun. Mereka pencerah pemikiran kerana keupayaan menyapu ke tepi segala sampah sarap di laman pemikiran bangsa.
Bidang seni adalah suatu yang tinggi arasnya. Tidak semua orang boleh mengaku atau terlibat dalam seni sekiranya tidak mencapai tahap tertentu. Sudah tentu orang yang lalu lalang di tepi jalan tidak boleh singgah dan mengaku akan kepakaran yang dimiliki.
Bayangkan untuk menjadi tukang karut dikir barat pun ada kriteria tertentu. Tidak boleh semua orang redah untuk menjadi tukang karut. Kalau diterima juga, memang jadi mengarut hasilnya. Sebabnya dikir barat itu satu seni dan semestinya hanya disertai oleh mereka yang berkebolehan.
Ironinya, dalam dunia seni muzik, kita boleh disertai oleh sesiapa sahaja. Maka dalam keadaan sedemikian, apalah yang boleh diharapkan ada ketinggian nilai seninya? Bukan sahaja tidak ada nilai seni sebaliknya membawa kerosakan sekali gus memijak bidang itu.
Akan tetapi individu seperti inilah yang berada di depan. Dilambung-lambungkan oleh sesetengah pihak dalam media. Melalak, memekik dan bercelupar seolah-olah prasyarat untuk meletakkan diri sebagai ‘orang seni.’
Hiburan bukan seni akan tetapi dalam seni ada sisi yang memberikan hiburan. Begitu juga dengan hedonisme, itu bukan seni. Tetapi ada seni yang diperalatkan hedonisme. Salah satunya, seni muzik di negara kita.
Hedonisme adalah kerosakan, ia dibawa oleh budaya pop yang mudah menyihir generasi muda.
Jangan mudah menyalahkan kapitalis. Memang sudah menjadi kerja kapitalis, menjual pelampung di tepi kapal yang karam. Mereka sentiasa berada di tempat dan masa yang tepat. Apabila masyarakat tidak peka dengan peleburan seni yang sebenar, kapitalis hanya memberikan sesuatu yang menepati cita rasa.
Saya masih ingat lagi pada 1990-an dahulu, kalau bercakap tentang muzik, nama-nama yang terpantul adalah yang besar dan hebat belaka. Itu adalah zaman kemuncak yang didukung oleh khalayak yang bercita rasa tinggi. Pakejnya lengkap – karya berkualiti, seniman yang hebat dan khalayak yang ada rasa seni yang tinggi.
Pada dekad 1990-an, yang berada di gelanggang semuanya yang faham bidang dan berkualiti. Kalau setakat perasan hebat, boleh duduk di tepi gelanggang sahaja jawabnya. Duduk diam-diam, dan jauh sekali boleh menjadi tikus yang membaiki labu. Itu dahulu. Masa itu belum ada tikus. – UTUSAN
PENULIS ialah Editor Kuseman.com.










