KEMAJUAN teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) memang mengubah landskap geografi dunia. Ia menjadikan dunia makin kecil, dunia tanpa sempadan dan maklumat boleh didapati dengan hanya gunakan sebatang jari.
Demikian juga dengan jenayah. Jenayah siber juga makin global sifatnya. Lebih-lebih lagi jenayah dalam talian atau scammer. Buktinya, gempa bumi yang melanda tenggara Turkiye dan Syria kini menjadi lubuk rezeki bagi penjenayah untuk membuat penipuan.
Modus operandi mereka, mengiklankan derma dan sumbangan menerusi akaun bencana palsu.
Ini dilaporkan oleh BBC dan disiakan oleh Utusan Malaysia, semalam. Penjenayah siber ini mengambil kesempatan daripada simpati masyarakat antarabangsa dengan menggunakan gambar-gambar bencana yang memaparkan wajah kanak-kanak yang sengsara dan pasukan penyelamat untuk meraih simpati.
Para scammer juga menggunakan kapsyen gambar dan video termasuk frasa ‘mari kita bantu Turkiye’, ‘berdoa untuk Turkiye’ dan ‘menderma untuk mangsa gempa bumi’.
Sehubungan itu, pakar keselamatan antarabangsa memberi amaran berhubung kewujudan jenayah itu yang kini berleluasa di laman sesawang. Trend scammer ini juga berlaku dalam negara di mana golongan asatizah turut jadi mangsa.
Antara yang pernah jadi mangsa ialah pendakwah bebas Datuk Dr. Abdul Basit Abd. Rahman dan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Abdullah Bukhari Abdul Rahim al-hafiz. Gambar mereka digunakan dalam iklan oleh scammer untuk mencari dana tertentu.
Pada 7 Februari lalu, Utusan Malaysia melaporkan polis merekodkan angka kerugian RM2.98 bilion melibatkan 90,321 pelbagai kes penipuan di seluruh negara dalam tempoh empat tahun lalu.
Daripada kerugian tersebut, kes penipuan telekomunikasi atau Macau Scam mencatatkan kerugian terbesar RM1.06 bilion membabitkan 25,884 kes.
Polis merekodkan RM767.86 juta mangsa rugi bagi 2019; RM657.66 juta (2020), RM699.28 juta (2021) dan RM855.62 juta sepanjang tahun lalu.
Dalam tempoh sama, kata sumber polis, sebanyak 25,591 kes penipuan komersial dicatatkan bagi tahun lalu manakala 26,293 kes bagi 2021 dan 20,466 kes (2020) serta 17,673 kes pada 2019.
Walaupun jumlah kes pada tahun lalu menurun sebanyak 702 kes berbanding tahun sebelumnya namun jumlah kerugian meningkat sehingga RM150 juta dalam tempoh terbabit. Ini menunjukkan penjenayah atau scammer akan sentiasa cuba mencari peluang menjalankan kegiatan apa sahaja jenis penipuan demi mengaut keuntungan dengan cepat.
GUNA TIKTOK, TWITTER
Bagi memudahkan transaksi, scammer-scammer ini dikatakan menggunakan akaun Paypal dan mata wang kripto manakala media sosial yang paling banyak digunakan adalah TikTok dan Twitter.
Penipuan ini kononnya mengumpul wang untuk mangsa yang terselamat, namun, semuanya masuk ke poket sendiri. Pakar keselamatan berkata, pihaknya mengenal pasti beberapa kaedah utama yang digunakan oleh scammer dan alat yang boleh digunakan untuk menyemak akaun asli sebelum menderma.
“Di TikTok Live, pencipta kandungan boleh menjana wang dengan menerima hadiah digital. Kini, akaun TikTok menyiarkan foto kemusnahan, rakaman TV yang menunjukkan usaha menyelamat, sambil meminta derma,” menurut pakar keselamatan lagi.
Dalam Islam, perbuatan menipu atau makan harta secara batil adalah dilarang.
Ini ditegaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu. (al-Nisa’: 29)
Untuk itu, umat Islam perlu berwaspada terhadap sebarang taktik oleh golongan scammer ini. Niat membantu mangsa tragedi Turkiye dan Syria itu memang bagus.
Cuma kita perlu pastikan, segala sumbangan disalurkan secara betul. Pendek kata, jangan pantang jumpa iklan-iklan meminta sumbangan, kita terus tekan butang memberi.
Islam mengajar kita untuk tabayyun atau selidik dahulu kesahihan. Ia supaya setiap sumbangan yang disalurkan itu sampai kepada pihak yang sepatutnya bukan disekau oleh kumpulan penjenayah terutama scammer.
Penipuan dalam talian menzalimi banyak pihak terutamanya mangsa tipu. Islam menegah perbuatan curang dalam urusan yang berkait dengan harta orang lain dan memberi ancaman dengan balasan buruk di dunia dan azab di akhirat.
Ini dijelaskan dalam firman Allah yang bermaksud: Kecelakaan besar bagi orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan). (al-Mutaffifin: 1)
Tafsir Fi Zilal menafsirkan ayat 1 hingga 6 surah ini meletakkan dan mengkategorikan ayat ini di bawah tajuk ‘Allah isytiharkan perang ke atas penipu-penipu dalam dunia perniagaan. Ini termasuklah penipuan siber dan para scammer.
Peringatan demi peringatan tentang jenayah ini sentiasa dibuat. Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) misalnya turut menyentuh hal ini di dalam khutbah bertajuk ‘Lindungi Harta, Awasi Scammer’. Ia antara lain menjelaskan memelihara harta adalah salah satu daripada maqasid syariah dan perbuatan mengambil harta dan merampas hak orang lain adalah batil, haram, berdosa dan sangat dilarang melakukannya.
Perbuatan tersebut akan mengancam keharmonian dan pastinya akan membawa mudarat yang besar dalam kehidupan umat Islam dan seluruh masyarakat.
Malangnya, peringatan dan ancaman keras oleh Allah itu tidak menggerunkan hati para penjenayah. Malah, adakalanya mereka bangga jika dapat memperdaya orang dengan memperoleh hasil beratus-ratus ribu ringgit.
Nabi Muhammad SAW telah menyebut tentang orang yang menipu dalam sabda baginda yang bermaksud: Mahukah kamu aku tunjukkan perihal dosa-dosa besar? Kami menjawab: Ya, tentu mahu ya Rasulullah.
Rasulullah menjelaskan: Menyengutukan Allah, durhaka kepada kedua orang tua. Oh ya, (ada lagi) Iaitu perkataan dusta. (Muttafaq Alaih)
Adapun, beberapa situasi sahaja yang dibolehkan untuk seseorang itu melakukan perbuatan menipu.
Ia sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Ummu Kalthum binti ‘Uqbah bin Abi Mu’aith (dia temasuk muhajirat yang pertama berbaiah dengan Nabi SAW) beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Tidak termasuk pendusta orang yang mendamaikan dua orang yang berselisih, dia mengatakan yang baik lalu berhasil dengan baik.
Kata Ibnu Syihab: Aku tidak pernah mendengar Rasulullah SAW membolehkan orang berdusta melainkan dalam 3 keadaan: Ketika dalam peperangan, dalam mendamaikan dua orang yang berselisih dan percakapan suami kepada isterinya dan percakapan isteri kepada suaminya. (Riwayat Muslim) – UTUSAN
Mohd. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.










