Rasuah: Kasihan atau tabik Malaysia… - Utusan Malaysia

Rasuah: Kasihan atau tabik Malaysia…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIRI pendakwaan rasuah di negara ini membuka lagi episod terbaharunya 2023. Kali ini libatkan kes Program Jana Wibawa mengakibatkan Malaysia terus menjadi tumpuan antarabangsa.
Padahal Indeks Persepsi Rasuah (CPI 2022) menyaksikan Malaysia sekali lagi mencatatkan penurunan mata. Transparency International-Malaysia (TI-M) dalam laporan terbaharunya bulan lalu menyenaraikan Malaysia mendapat mata CPI 47, tahun lalu.
Ini bermakna, negara merekodkan penurunan enam mata dalam CPI tahunan Transparency International sejak tiga tahun lalu. Pada 2019, Malaysia mencatat mata CPI 53, namun berkurang kepada 51 pada 2020 dan 48 pada 2021.
Siapa patut dipersalahkan? Ada pihak menuding jari pada orang politik. Apabila siasatan atau pendakwaan dilakukan terhadap suspek terutama ahli politik, segera dilabelkan pendakwaan terpilih. Ungkapan ini biasa didengar daripada mereka yang didakwa sejak 2018 lagi. Namun apabila masuk mahkamah terbongkar sana sini.
Andainya (dibaca 3x), jika ada salah oleh pihak Timbalan Pendakwa Raya atau Peguam Negara sekalipun konon ‘memilih mendakwa atau pertahankan pemimpin politik atau menteri yang rasuah’, pihak yang membuat dakwaan boleh mengambil tindakan. Kalau ada bukti, siasat dan ambil tindakan. Tidak perlu ‘main sindir-sindir’ sebab tidak wajar sama sekali amalan rasuah dibenarkan berlaku.
Konsep mendakwa pihak musuh politik disebut selective prosecution tidak wajar mengisi laporan berita. Rakyat semestinya mahu melihat di bawah pentadbiran yang baharu ini semua aset dan wang negara yang diseleweng atau dijual dan dicuri, dikembalikan kepada kantung perbendaharaan Malaysia. Dan penguatkuasaan dipertingkatkan lagi supaya tidak berlaku lagi salah guna kuasa untuk melarikan dana milik negara – sama ada berbentuk aset atau share holder syarikat milik kerajaan yang dijual kepada pihak yang mempunyai hubungan rapat dengan anggota pentadbiran kerajaan.

PROFIL TINGGI
Lantaran itu, kes jenayah khasnya kes-kes rasuah berprofil tinggi melibatkan khazanah rakyat bernilai berbilion ringgit harus ada lunas penyegeraan tempoh.
Isu akan timbul jika kes-kes rasuah besar lambat diselesaikan, sekali gus imej negara tergantung dan dikritik masyarakat.
Usah gusar kepada undang-undang rasuah, inilah penyelamat kita. Asalkan sesuatu kes itu berasaskan prinsip keluhuran undang-undang, maka tugas badan kehakiman jangan berhenti. Peranan badan anti rasuah juga usah terhenti.
Ini bukan bermakna satu-satu kes rasuah melibatkan individu atau pemimpin berprofil tinggi dijatuhi hukuman mahkamah telah menjatuhkan imej Malaysia. Tetapi sebenarnya imej Malaysia melonjak tinggi di mata dunia disebabkan usaha badan kehakiman dan penguat kuasa rasuah yang berjalan penuh dedikasi.
Lihat hal ini secara reverse psychology. Jangan lihat keadaan semerta yang cuba dicetuskan pihak tertentu. Dahulunya kerajaan ‘Apartheid’ Afrika Selatan, mereka segan hendak ambil tindakan terhadap golongan kulit putih tertentu yang lakukan rasuah. Namun apabila dijalankan tindakan oleh pihak berkuasa tempatan dan jabatan kehakiman, dunia menghargai Afrika Selatan kerana berani memulihkan keadaan dan memerangi rasuah.
Di Malaysia, walaupun ada kes-kes besar yang telah diputuskan oleh mahkamah, perlu terus wujud prinsip berterusan dalam melestarikan integriti. Ini demi membasmi rasuah secara holistik.
Majoriti rakyat Malaysia diyakini tidak tergolong dalam kalangan pihak yang mengatakan lantaran tindakan SPRM itu, imej Malaysia akan luntur. Majoriti kita tidak yakin pandangan begitu. Malah yakin ia sebenarnya langkah perundangan.

100 HARI
Kita terus menanti penguatkuasaan yang tegas dalam soal membanteras rasuah kerana proses demokrasilah yang mewujudkan undang-undang. Dan ini dibuat sendiri oleh mereka yang berkuasa dahulu. Tinggal lagi untuk laksanakannya sahaja. Harus proses mensucikan dari rasuah ini berjalan terus.
Jangan gentar akan tuntutan rule of law. Lagipun selepas seseorang didapati bersalah di Mahkamah Tinggi, ada lagi proses keadilan untuknya di Mahkamah Rayuan, diikuti terakhir di Mahkamah Persekutuan.
Keputusan bersalah itu belum muktamad lagi. Proses perimbangan cukup nisbahnya.
Malaysia perlukan pemimpin yang tidak ada ‘bagasi politik’ (political baggage) . Imej dan karektornya mungkin nampak sederhana, tetapi apa yang kita perlukan sekarang ialah “hasil kerja berdasarkan keputusan” demi membantu rakyat yang semakin sengsara, dengan kadar pengangguran dalam kalangan lepasan universitinya amat tinggi.
Dalam tempoh 100 hari pertama pentadbiran kerajaan, suhu politik negara kelihatan tenteram dan stabil. Dari faktor ketenteraman politik ini, kita menginginkan proses pemulihan negara juga berlangsung secara tertib, terurus dan terancang.
Barisan pemimpin ter­baik ialah yang sentiasa ber­sederhana. Hidup dalam bidang kelayakan mereka sendiri.
Negara ini tidak mampu lagi diliputi rasuah kiri kanan atas bawah. Rakyat dan dunia akan pandang kita hina-hina berterusan. Anak cucu kita akan digelumangi budaya jijik. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.