JOHOR BAHRU: Seorang pemandu lori didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan memberi rasuah RM100 kepada anggota polis di Segamat, tahun lalu.
Walau bagaimanapun, P. Sattiasegar, 45, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Tertuduh didakwa memberi suapan wang tunai berjumlah RM100 kepada anggota polis berpangkat koperal bertugas Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat sebagai dorongan melepaskan kelindan lelaki warga asing disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63 di Jalan Pogoh, Kampung Pogoh, Segamat pada pukul 12.45 tengah hari, 28 Ogos 2024.
Sattiasegar didakwa di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa SPRM, Fazal Lisam Abidin memberitahu mahkamah bahawa kesalahan di bawah seksyen berkenaan tidak boleh dijamin, namun peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), K. Bharathi yang mewakili tertuduh memohon mahkamah membenarkan anak guamnya dibebaskan dengan ikat jamin kerana tertuduh menanggung keluarganya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Ogos depan sebaik tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen.-UTUSAN










